Monday, July 30, 2007

Malaysia mula melahirkan GODFATHER nya sendiri

Kadang-kadang kita seolah tidak mahu percaya, tetapi inilah nasib yang menimpa kita pada hari ini. Kadar jenayah semakin meningkat, kegiatan samseng dan gangterisma semakin menjadi-jadi. Mungkinkah tekanan hidup ekoran kenaikan kos serba-serbi mendorong sikap dan tingkah-laku sebegini.

Saya mungkin bukan keseorangan dalam merasakn yang penghidupan diri dan keluarga saya semakin hari semakin tidak selamat. Kes kecurian, pecah rumah, ragut, samun berlaku bagaikan perkara biasa. Demikian juga jenayah terhadap individu seperti pemerkosaan, rogol, bunuh dan seumpamanya. Ini tidak termasuk kes buang bayi dan bunuh anak sendiri.


Apa nak jadi?

Saban hari juga kita dengar pihak yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang dan mengawal keselamatan rakyat juga terlibat dalam kegiatan jenayah. Akhbar The Star hari ini melaporkan lanjutan kes seorang pegawai kanan polis di Bukit Aman yang dikatakan menjadi GODFATHER kepada sebuah syarikat perladangan kelapa sawit. Harapkan pagar, pagar makan padi.

Dan menyebut berkenaan pagar, tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, tetapi kalau kita perhatikan sejak kebelakangan ini beberapa kawasan perumahan di sekitar Lembah Kelang kini dipagari kawasan belakang perumahan mereka. Ini bagi mengelakkan rumah mereka dibolos masuk oleh pencuri. Nak menunjukkan betapa tidak selamatnya kawasan-kawasan perumahan tertentu hari ini.

Kita sudah puluhan tahun memerangi penyalahgunaan dadah umpamanya. Entah berapa leher telah kita gantung kerena menyeludup dadah, namun gejalanya makin subur dan terus berkembang-biak. Dengan terang-terangan hari ini kita boleh melihat si kaki dadah menyuntik najis ddadah tanpa segan-silu di depan mata kita.

Cetak rompak. VCD dan DCD cetak rompak walaupun kita dengar gudang dan stornya diserbu namun terus-menerus laris dipasaran, dijaja dari kedai kek kedai, warung ke warung, restoran ke restoran. Si penjaja tadi lengkap dengan walkie talkie untuk memaklumkannya tentang serbuan pihak penguatkuasa jika ada.

Dan hari ini juga kita membca di akhbar betapa di Johor Bharu seguni perut babi ditinggalkan di bawah meja tempat pihak JPJ mengadakan Operasi Tutup, iaitu operasi mengesan dan menyaman kenderaan lori yang lebih muatan.

Kesimpulannya organaised crime atau sindeket samseng secara tersusun sudah menjadi semakin bermaharajalela dalam negara. Dari samun dan rompak ke rogol dan bunuh sehinggalah dadah, VCD haram malah kenderaan perdagangan, semuanya sudah melibatkan GODFATHER (sebuan novel karangan Mario Puzo (tahun 70an) yang mengisahkan operasi sindeket samseng terbesar di NY, dan novel ini kemudiannya dijadikan filem yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia, tetapi VCDnya boleh pula didapati)

GODFATHER ini semuanya hidup dan berkuasa kerana lantaran amalan rasuah yang berleluasa. Saya tidak bermaksud menabur fitnah, tidak juga mahu mencetuskan ketagangan, tetapi tanyalah sesiapa pun di luar sana, inilah realiti hidup kita hari ini. Pada siapa lagi mahu kita letakkan harapan jika semuanya sudah menjadi GODFATHER belaka?!

No comments: