Jangan perjudikan hak kebebasan bersuara rakyat
Flaming Blog kata NST. Bermakna laman-laman blog di Malaysia hangat membakar dan dalam suasana pihak-pihak tertentu mendakwa laman-laman web dan blog digunakan untuk menabur fitnah dan mencetuskan ketegangan bermakna begitulah wajah mereka di Malaysia.
Bagi saya kita perlu halusi isu ini. Jangan kerana satu dua laman blog yang mungkin terlalu personal atau tersasar penulisannya maka kita menghukum kesemua penggiatnya. Bagi saya sesiapa sahaja yang menabur fitnah dan mencetuskan ketegangan kaum dan agama sewajarnya diambil tindakan, tidak kiralah ia blog atau lama web hatta akhbar dan saluran TV sekali pun, tiada sesiapa yang kebal dalam hal ini.
Masalahnya adakah ini bermakna kita sudah menutup ruang untuk sebarang bentuk DISSENT ataupun perbezaan pandangan?
Dalam NST hari ini AJK Pusat parti Gerakan Toh Kin Woon menyarankan agar kerajaan menghentikan serangannya terhadap bloggers. Kata beliau dalam rangka negara ini membangun kerajaan tidak sepatutnya mengancam hak kebebasan individu. Beliau menyentuh isu penahanan webmaster PKR Nathaniel Tan dan tindakan ke atas Malaysia Today.
Kata Toh lagi hak politik dan masyarakat sivil umpama hak kebebasan bersuara, berbeza pendapat dan berhimpun adalah sama pentingnya dengan hak ekonomi seperti hak untuk pekerjaan, perumahan, rawatan perubatan dan pendidikan.
Kagum saya melihat seorang pemimpin BN dari parti komponan seperti Gerakan boleh mengeluarkan pandangan yang begitu terbuka dan luas sedangkan Menteri Umno di muka depan akhbar yang sama mengancam untuk bertindak terhadap para bloggers bagi membuktikan yang kerajaannya tidak lemah.
Sayang Umno yang lebih tua usianya dari kemerdekaan negara itu terus menerus mengguna pakai kaedah pecah dan perintah penjajah British dan tidak mampu berfikir di luar kotak (isitlah popular pimpinan Umno sendiri). Kalau negara mahu duduk sebaris dengan negara dunia pertama, mentaliti rakyat dan pemimpinnya juga mesti mentaliti kelas pertama. Tetapi kalau perbezaan pandagan dikira sebagai ancaman, pendedahan penyelewengan dan rasuah serta salah guna kuasa dikira ancaman kepada keselamatan negara, maka lanskap negara sahaja yang akan kelihatan gagah membangun tetapi mentaliti pemimpinnya jauh corot secorot Robert Mugabe di Zimbabwe ataupun Kim Ill Sung di Korea Utara.
No comments:
Post a Comment