Friday, July 13, 2007

Orang merokok tidak boleh jadi calon PAS di Kelantan


Saya dahulu pun merokok juga. Dan ramai diantara saudara-mara, kawan-kawan termasuklah rakan-rakan bloggers yang kuat merokok. Bagi para perokok yang tegar, ianya sudah menjadi tabiat dan memang sukar mahu dikurangkan apalagi berhenti langsung.


Yang nyata merokok memudaratkan kesihatan. Ia merupakan faktor penyumbang terbesar kepada berbagai jenis penyakit kronik termasuklah barah paru-paru dan lain-lain lagi. Dan hakikat ini rata-rata disedarai oleh para perokok, masalahnya mereka tidak memiliki daya kekuatan untuk berhenti (ajaibnya mereka boleh berhenti semasa berpuasa). Kerajaan Malaysia sendiri telah berbelanja jutaan ringgit mendidik rakyatnya agar berhenti merokok. Sejauh mana keberkesanannya, tidak pula diketahui tetapi yang pastinya syarikat-syarikat pengiklanan dan promosi untung sakan!













Dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini disiarkan kenyataan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat yang menyebut bahawa PAS tidak akan memilih calonnya dari kalangan perokok. Tujuannya agar calon tadi mampu memperlihatkan keperibadian yang baik dan menjadi tauladan kepada masyarakat.



Kata Tuan Guru:

Merokok disebut haram dan juga makruh. Bagi saya di bumi Kelantan yang sudah lama kita perjuangankan Islam, ia sudah menjadi haram.



Bagi saya inilah contoh pemimpin yang action oriented, semua akur bahaya merokok, tetapi dalam bab perlaksanaan masing-masing malu-malu alah. Pemimpin adalah contoh kepada masyarakat, dan apa juga perubahan mestilah bermula dari pimpinan. Kalau berdegar kita bercakap mahukan masyarakat yang sihat dan ceria tetapi kita sendiri bergelumang dengan tabiat yang buruk, bagaimana kita mahu menjadi contoh kepada masyarakat.






Peraturan mengawal premis merokok contohnya dibuat di Dewan Rakyat, tetapi masih ramai ahli Parlimen yang sungguhpun menyokong peraturan itu tetapi dia sendiri seorang perokok!


Langkah yangdiambil oleh Tuan Guru di Kelantan ini saya rasa sesuatu yang berani dan membuktikan kesungguhan dalam mengamalkan prinsip dan peraturan Islam. Akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan kartun Senyum Kambingnya seakan mempersendakan kenyataan MB Kelantan itu apabila diterbitkan dialog:

Kambing A: Perokok tak dipilih jadi calon PAS dalam pilihnaraya
Kambing B: Undi perokok tak mahu juga ke?


Sepatutnya Utusan Malaysia sebagai akhbar dengan slogan Penyibar Fikiran Rakyat, memberikan sokongan dan mengalu-alukan langkah MB Kelantan itu. Sepatutnya begitu juga sikap pimpinan BN dan Umno, tetapi langkah proaktif itu cuba dijadikan bahan senda gurau pula.

Untuk pengetahuan kedua-dua kambing ini, jangankan perokok, orang yang minum arak, yang tidak solat, tidak menutup aurat hatta yang bukan Islam pun ramai yang mengundi PAS. Rakyat Malaysia yang sudah hamper 50 tahun Merdeka ini mengundi parti dan calon yang boleh mereka percayai. Kalau kebetulan calon PAS itu Nik Abdul Aziz yang jelas seorang yang alim, seorang yang tidak rasuah, tidak pilih-kasih, tidak salah guna kuasa, sudah pastilah Nik Abdul Aziz lebih layak dipilih.

Begitu juga contohnya kalau calon itu Zakaria Md Deros yang terlibat dengan berbagai skandal, jangankan orang yang ke masjid, orang yang kaki botol dan kaki betina pun tidak akan berselera untuk memilih beliau, kalau mereka sesugguhnya inginkan pemimpin yang baik dan boleh membawa kebaikan kepada mereka dan kaum keluarga mereka.

Kesimpulannya dalam kita ghairah mahu membentuk modal insan yang berfikiran kelas pertama, maka wajiblah kita juga memastikan yang pemimpin-pemimpin kita terdiri dari kalangan yang lebih baik akhlak dan perwatakannya dari kita. Kalau kita kaki botol takkanlah kita nak memilih kaki botol juga, kalau kita tahi judi takkanlah kita nak memilih yang tahi judi juga, begitulah juga kalau kita perokok tak semestinya kita meilih yang merokok juga.

Marilah Pilihanraya Umum ini nanti kita semua menuntut standard sedemikian dari calon-calon parti-parti yang bertanding. Selidik rekod dan latabelakang masing-masing, kerana itulah sebagaimana usaha Tuan Guru MB Kelantan tadi, kalau perkara sekecil merokok pun tidak dapat dipatuhi, kata beliau:

Kita tidak perlu cari yang tidak mendengar kata

Renungkanlah bersama sempena hari Jumaat yang mulia ini.

No comments: