Pengisytiharan Negara Islam Najib dicabar MCA
Baru sehari Malaysia diisytiharkan Negara Islam oleh TPM Najib Tun Razak, ianya sudah diserang. Antara yang terawal menyerang adalah Ketua Pembangkang Lim Kit Siang yang tidak pernah senang dengan apa sahaja yang berbunyi Islam. Walaubagaimanapun kalau serangan datang dari Kit Siang, ianya bukanlah sesuatu yang aneh kerana memang beliau dianuegerahkan kelebihan membangkang apa sahaja yang melintang di hadapan.
Yang memeranjatkan apabila rakan karib Umno, parti komponan kedua terkanan iaitu MCA mengeluarkan kenyataan yang bunyinya bagai bunyi yang dibuat Kit Siang. Kalau Kit Siang bising itu lumrah tetapi bila Setiausaha Agung MCA (adik kepada Presiden MCA) Ong Ka Chuan menyanggah kenyataan TPM yang juga Timbalan Presiden Umno dengan mengatakan:
Malaysia was a secular state based on the consensus and social contract agreed upon by the nations forefathers.
Malaysia adalah sebuah negara sekular berdasarkan persepakatan dan kontrak sosial yang dipersetujui oleh para pengasas negara.
Kenyataan Ka Chuan di dalam NST hari ini yang disertakan dengan bukti-bukit sejarah jelas menunjukkan yang MCA tidak menerima malah menolak kenyataan Najib Tun Razak semalam yang saya rasa bukannya dibuat atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Presiden Umno tetapi sebagai TPM lebih tepat lagi mewakili PM kerana beliau berucap dalam seminar IKIM itu membaca teks ucapan PM.
Selain Ka Chuan ahli Parlimen Kota Melaka yang juga ahli Jawatankuasa Pusat MCA Wong Nai Chee turut menolak kenyataan Najib dengan mengatakan tafsiran Najib itu tidak selaras dengan maksud dan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Rupanya selain MCA banyak lagi kumpulan dan individu bukan Islam menolak kenyataan Najib termasuklah Majlis Perundingan Buddha, Kristian,Hindu, Sikh dan Tao, Majlis Peguam dan rakan blogger Jeff Ooi (yang menerbitkan keratan akhbar kenyataan Tun Hussien dan Tunku yang menegaskan Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara Islam).
Sungguh tersusun (seolah terancang) dan bersepadu sekali nampaknya serangan terhadap TPM hanya semata-mata kerana pengisytiharan Malaysia sebuah Negara Islam.
Kalau kenyataan ini terbit dari mulut Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang atau Tuan Guru Nik Abd Aziz, lalu ia diserang oleh pihak-pihak ini, ianya sesuatu yang biasa. Tetapi apabila seorang Timbalan Perdana Menteri diserang bukan hanya oleh sebuah parti cavunis umpama DAP tetapi juga oleh kaum kerabatnya dalam BN dan NGO-NGO bukan Islam, ternyata kedudukan TPM yang juga Timbalan Presiden Umno tercabar dan dicabar.
Walaupun saya secara peribadi mungkin tidak selesa dengan versi berbeza Najib apabila membandingkan Islam BN dan Islam di Kelantan, tetapi dalam hal prinsip umpama mempertahankan Islam, saya rasa sungguh terancam dan terganggu dengan kenyataan-kenyataan pihak-pihak ini. Bangkitlah Pemuda Umno, Putera Umno dari tidur masing-masing. Pertahankanalah pemimpin tertinggi anda (dalam ketiadaan Dollah) dari serangan bertalu-talu ini.
Saya rasa jika Najib tidak dibela, maka sahlah dulu, kini dan selamanya Malaysia akan dinobatkan sebagai sebuah Negara Sekular, yang meletakkan Islam semata-mata dalam Perlembagaan Negara sebagai agama resmi sahaja dan tidak lebih dari itu. Sekurang-kurangnya Najib telah mencetuskan sesuatu bagi orang-orang Melayu dan umat Islam di Malaysia untuk berfikir, ke mana kita mahu bawa nasib dan masa depan Islam di bumi kita sendiri ini.
Orang Kelantan sejak 1990 Membangun Bersama Islam, orang lain bagaimana?
No comments:
Post a Comment