Laporan polis terhadap Malaysia Today
Mat Taib membuat laporan Polis terhadap laman web Malaysia Today yang dikendalikan oleh penulis dan pengkritik politik terkenal negara Raja Petra Raja Kamarudin. Menurut laporan polis Mat Taib yang juga Ketua Penerangan Umno Malaysia itu posting Malaysia Today pada 11 Julai lalu serta komen-komen terhadap posting itu kononnya mengandungi unsur-unsur yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan menghina institusi Yang Dipertuan Agong.
Saya menerima beberapa email dan sms meminta saya respon dan mengulas perkembangan ini, adakah ini sebahagian dari siri-siri serangan terhadap para bloggers and penulis politik di alam maya ini?
Saya tidak pasti. Tetapi perkembangan ini insyallah tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus menulis. Cuma bagi saya kebebasan itu memang boleh dikawal, tetapi kawalan mestilah berdasarkan peruntukkan undang-undang yang tidak sekali-kali menafikan hak seseorang itu. Contohnya saya boleh menulis mengkritik PM Dollah Badawi di dalam blog saya, tetapi apa pun kritikan saya itu ianya sewajarnyalah berdasarkan fakta dan bukan bikinan imaginasi saya. Jika kritikan itu tidak berasas maka saya mendedahkan diri saya kepada peratauran dan undang-undang yang ada yang melindungi seseorang itu dari difitnah oleh mana-mana individu atau pihak lain.
Demikian juga saya boleh menulis mengkritik mana-mana individu, kumpulan atau parti dalam negara tetapi kritikan saya itu perlulah bermoral dan dilakukan dengan penuh berhati-hati, sentiasa sensitif terhadap realiti masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara. Saya tidak boleh menulis mengadu-domba antara satu kaum dengan yang lain atau satu agama dengan agama yang lain meskipun Umno pernah beberapa ketika terlibat dalam insiden seumpama ini (Peristiwa 13 Mei, Persitiwa di TPCA, persitiwa di hadapan Dewan Perhimpunan Cina, dan lain-lain.)
Ringkasnya sebagai seorang penulis warganegara Malaysia saya perlu akur bahawa negara ini mempunyai peraturan dan undang-undang serta adat dan budaya rakyat yang berbilang kaum. Saya berhak mengkritik undang-undang dan peraturan tadi tetapi saya tidak berhak meletakkan diri saya mengatasi undang-undang sehingga saya boleh mengkritik apa sahaja tanpa memikul tanggungjawab dan bertanggungjawab.
Sebuah laman blog biasanya menyediakan ruangan komen dari para pengunjungnya. Mereka yang mahu menurunkan komen di blog saya contohnya boleh sahaja klik diruangan komen dan menurunkan komen masing-masing. Begitu juga di Malaysia Today. Cuma sebagai pemilik blog saya berhak menapis dan memilih komen yang mahu saya keluarkan.
Kebiasaannya saya menerbitkan semua komen yang saya terima termasuklah yang mengkritik pandangan dan peribadi saya kecuali yang saya fikirkan mempunyai elemen hasutan, lucah dan terlalu biadap.
Di Malaysia Today Raja Petra mewajibkan mereka yang mahu menurunkan komen di laman webnya untuk mendaftar dengan beliau terlebih dahulu bermakna di sana ada mekanisma untuk menyaring, tetapi walaupun demikian setahu saya beliau melepaskan begitu sahaja segala komen yang diterimanya termasuklah yang jatuh dalam kategori yang saya biasa tolak.
Apa pun harapan saya agar pihak polis menyiasat terlebih dahulu kerana laporan polis telah dibuat (walaupun banyak laporan polis sebelum ini yang dibuat pihak pembangkang dan NGO langsung tak diberi perhatian oleh mereka). Kalau ada asas aduan Mat Taib itu maka biarkan proses undang-undang berjalan tanpa gangguan mana-mana pihak.
Jika ada pertuduhan maka Raja Petra berhak membela dirinya di mahakmaha terbuka, jika tidak, tidaklah.Sebagaimana BPR Peguam Negara mengisytiharkan tidak ada kes terhadap Johari Baharom, begitulah lebih kurang.
Saya sendiri akan terus menulis mengikut selera dan citarasa saya (tanpa dipengaruhi perkembangan ini) dan jika dirasakan tergelincir dan menyakiti mana-mana pihak maka pihak tadi berhak membuat laporan terhadap saya. Selagi tidak maka hak saya untuk menulis tidak boleh dihalang atau disekat oleh sesiapa pun.
Hanya yang menjadi keraguan saya adakah Mat Taib marahkan komen-komen dalam tulisan berkenaan atau sebenarnya merasa tergugat dengan pendedahan-pendedahan lain yang lebih besar dan hebat dalam Malaysia Today lalu mencari pasal untuk meghumbankan masalah dan melumpuhkan Raja Petra, wallahualam.
No comments:
Post a Comment