Wednesday, December 13, 2006

Utusan: Kebebasan yang sebenarnya telah lama hilang

MP Tutup Sebelah Mata (Jasin) mengatakan bahawa penggabungan Utusan-NSTP kelak bukannya sesuatu yang baik. Kata beliau orang-ramai lebih suka membaca akhbar arus perdana Utusan, NST, Berita Harian berbanding warta kerajaan. Bermakna kalau berlaku penggabungan ini akhbar-akhbar media perdana kelak bagaikan warta ataupun suara kerajaan semata-mata.

Aziz Sri Gading pula berkata Utusan telah banyak berjasa kepada bangsa dan negara, sekiranya ia digabungkan dengan NST kelak ramai yang akan marah. Kata beliau lagi penggabungna ini berkemungkinan mengakibatkan Tusan Malaysia akan hilang sebagaimana Utusan Melayu.



Manakala Senator Abd Ghani lebih kasar lagi apabila menyatakan bagaimana sebuah akhbar yang memperjuangkan imej Melayu dan Islam (?) boleh bergabung dengan akhbar yang menghidangkan arak dan pernah menyiarkan kartun menghina Nabi?

Suara-suara ini merupakan keluhan ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagaimana dilaporkan oleh UTUSAN hari ini.

Isunya apakah kebebasan Utusan akan tergugat apabila berlaku penggabungan nanti? Apakah Utusan yang ada pada hari ini yang saham terbesarnya dipegang oleh Umno itu sebenar-benarnya bebas?

Sesungguhnya mengikut lipatan sejarah akhbar Utusan, dahulunya Utusan Melayu (Jawi) dan kemudiannya Utusan Malaysia (rumi) yang diuruskan oleh Utusan Melayu Berhad pernah satu ketika merupakan akhbar Melayu yang benar-benar bebas dan terbuka. Diawal-awal penubuhannya ia merupakan lidah pembicara bangsa, berani melaporkan darihal perjuangan agama dan bangsa tanpa berpihak kepada mana-mana fahaman atau ideologi.

Menerusi akhbar inilah penulis dan wartawan Melayu yang tersohor dan terkenal telah menyumbang jasa dan pemikiran masing-masing sehingga memartabatkan bangsa dan menggerakkan anak-anak bangsa untuk berjuang menuntut kemerdekaan. Antara yang pernah memerah keringat untuk Utusan yang bebas itu adalah Yusof Ishak, Dahari Ali, Keris Mas, Othman Wok, Salim Kajai, SN Usman Awang, Mazlan Nordin, Samad Ismail dan ramai lagi.

Dan sudah pastilah tidak lengkap tanpa menyebut nama Said Zahari yang menyandang jawatan Pengarang pada tahun 1959 sehinggalah berlaku mogok Utusan pada tahun 1961 dan Pak Said dihalau dari Malaya, pulang ke Singapura dan kemudiannya ditangkap di bawah ISA dan merengkuk ddalam tahanan selama 17 tahun!

Akan tetapi kebebasan Utusan itu akhirnya tamat apabila setelah Merdeka, Umno membuat keputusan utnuk mengambil-alih pengurusannya. Umno ketika itu tidak mampu bertahan menghadapi akhbar Melayu yang terbesar di tanahair yang bebas lagi berani. Lalu dibuat keputusan untuk mengambil alih syarikat Utusan. Itulah yang telah mencetuskan mogok Utusan dari 21 Julai ke 21 Oktober 1961.

Kata Pak Said sebagaimana dinukilkan dalam bukunya: MENITI LAUTAN GELORA-SEBUAH MEMOIR POLITIK:

Apa yang kami mahu hanyalah hak menentukan Utusan Melayu tetap hidup sebagai sebuah akhbar kebangsaan Melayu yang bebas, tidak dikuasi oleh mana-mana parti politik. Kami berpendirian bahawa Utusan Melayu yang bebas daripada penguasaan seperti itu sahajalah yang benar-benar boleh berkhidmat kepada seluruh bangsa Melayu, agama dan tanahair, bukannya kepada satu kelompok orang Melayu yang menganggotai satu-satu parti politik sahaja. Hanya dengan dasar yang bebas sahajalah Utusan Melayu boleh mencerminkan fkiran rakyat, membela nasib rakyat dan memperjuangkan kepentingan rakyat dengan jujur, ikhlas dan berani

Kesimpulannya bergabung atau tidak bergabung Utusan dan NST, hakikatnya Utusan telah 45 tahun menjadi organ tak resmi Umno dan kerajaan. Oleh itu isu kebebasan sebenarnya tidak berbangkit. Cuma yang menjadi masalah adalah apakah nasi para pekerjanya, apakah mereka nanti akan menjadi mangsa MERGER ini kerana kerakusan orang-orang korporat yang terlibat atau bagaimana. (Saya tahu ramai rakan-rakan dalam Utusan mengunjungi dan membaca Blog ini, terima kasih)

Ikutilah ulasan Pak Said Zahari mengenai isu ini di WTV8 http://wtv8.tv/

No comments: