Wednesday, December 20, 2006

Umnokah yang dayus itu?

Dalam akhbar Utusan hari ini Menteri KEKWA dipetik sebagai berkata:

Dayus jika biar Utusan Melayu dikawal pihak lain

Disamping itu menteri yang pernah menjadi salah seorang pemimpin parti pembangkang itu juga dilaporkan sebagai berkata:

Kalau cadangan penggabungan itu dilaksanakan juga saya adalah orang yang pertama yang akan mengisytiharkan ini adalah langkah yangtidak mengenal bangsa.



Sedap dan keras bunyinya seolah mahu menggambarkan betapa serius dan marahnya Pak Rais berhubung isu penggabungan Utusan-NST yang masih diperingkat rundingan itu. Dalam rancangan Ulasan Akhbar Hari Ini di WTV8 http://wtv8.tv/ Ketua Pengarang akhbar Siasah Sdr Mohd Sayuti Omar menyatakan keraguan beliau darihal kesungguhan kenyataan Rais itu.

Rais memang popular dengan kenyataan yang panas dan keras-keras tetapi sejarah membuktikan yang beliau juga mempunyai kecenderungan itu merobah yang panas dank eras menjadi dingin dan lembik dalam sekelip mata sahaja, itulah Rais kalau ramai yang masih ingat.

Pernah semasa menyinsing lengan bertarung bersama Tengku Razaleigh, Pak Lah (ya Pak Lah PM kita) Radhi Sheikh Ahmad (ya Setiausaha Agung Umno sekarang), Ibrahim Ali dan lain-lain menentang Dr Mahathir sebagai Presiden Umno, Rais mengeluarkan kata-kata yang panas dank eras juga.

Malah tidak ada yang selebih panas dan keras apabila menjadi orang nombor dua Ku Li dalam Parti Melayu Semangat 46 setelah memilih keluar meninggalkan Umno, apabila Rais mengatakan bahawa beliau telah membakar jambatan antaranya dengan Umno! Bermakna NO TURNING BACK, jambatan penghubung antara beliau dan Umno telah hangus beliau bakar dengan tangannya sendiri.

Kini apa sudah jadi? Bukan hanya Rais sudah kembali mendakap Umno, jambatannya yang telah hangus dan berkecai itu telah beliau pungut kembali abu dan debunya dan entah macam-mana dicantum-cantumnya kembali demi untuk rebah ke atas riba Umno, itulah Rais.

Jadi kerana itu Sayuti tidak berapa yakin yang apa yang disuarakan oleh Rais itu benar-benar mencerminkan isi hatinya. Mungkin yang berkata-kata itu adalah isi perutnya, entahlah.

Bagi saya tak perlulah Umno jika jujur mahu memperjuangkan nasib Utusan membuat kenyataan-kenyataan seperti ini. Bukankah Utusan itu milik Umno, batalkan sahaja perundingan untuk bergabung itu, selesai masalah. Agaknya yang dayus sebagaimana dibayangkan oleh Rais itu adalah pemimpin-pemimpin Umno sendiri?

No comments: