Perang lawan Ah Loong pula
Sebelum ini kita pernah mendengar PM Dollah Badawi mengisytiharkan Perang Melawan Rasuah, iaitu pada tahun 2004 lalu setelah berjaya dinobatkan sebagai PM. Hari ini kita dengar perang baru pula.
Semalam di padang golf di Alor Gajah, Melaka, TPM Najib Tun Razak pula mengisytiharkan perang baru. Kali ini kita diajak berperang lawan Ah Loong ataupun loan shark ataupun ceti haram.
Sesungguhnya bahana Ah Loong ini serius dan dapat dilihat dimana-mana. Menurut laporan pada tahun lalu sahaja terdapat 450 kes dimana ejen-ejen Ah Loong ini telah melakukan peras ugut terhadap para peminjam yang gagal menjelaskan pinjamannya.
Dan baru beberapa hari lepas kita melihat sepasang suami isteri telah membunuh tiga orang anak mereka, dan mereka sendiri cuba membunuh diri masing-masing lantaran takut dan tidak tahan lagi akan tekanan dan ugutan ejen-ejen Ah Loong ini.
Kita tidak perlu berjalan ke tengah bandaraya (yang dinding-dinding dan tempat-tempat awam termasuk bus stand dan lain-lain dipenuhi dengan sticker tawaran perkhidmatan Ah Loong)(disamping perkhidmatan urut) malah di rumah-rumah kita pun akan disumbatkan ke dalam petis surat kita kad-kad atau risalah berkenaan perkhidmatan Ah Loong ini. Akhbar-akhbar tempatan termasuk yang nyamuk juga meraih untung besar dari iklan-iklan mereka.
Soalnya dari manakah kita mahu mulakan peperangan itu? Mengapakah ramai yang cenderung untuk meminjam dari Ah Loong ini?
Jika kerajaan serius mereka perlu mengkaji perkara ini dan terus bertindak, nama pun ceti haram, kalau dah haram mengapa sebebas-bebasnya mereka ini diberi kesempatan untuk mengiklan dan menawarkan perkhidmatan mereka?
Saya kira kos hidup yang semakin memuncak juga merupakan faktor penyumbang kepada larisnya perkhidmatan Ah Loong ini. Duit ditangan semakin mengecil lalu untuk menghadapi kos hidup yang bertingkat-tingkat dan semakin menambah itu maka tiada cara lain melainkan menyerah leher kepada Ah Loong. Yang parah lagi mereka yang berjudi, hutang keliling pinggang, maka Ah Loong lah rakan karib mereka.
Benar jika masyarakat tidak melanggan perkhidmatan mereka pasti mereka akan bungkus dan gulung tikar, tetapi kerajaan juga perlu bertindak, jika sikeparat ini punca keruntuhan masyarakat maka kepala-kepala mereka perlu dicekup dan dinyahkan dari masyarakat. Realitinya dengan bertabur iklan-iklan mereka itu saya kira kerajaan gagal lantas membuka pintu kepada rakyat yang lemah untuk terjun ke dalam lubang yang disediakan oleh sikeparat-keparat ini.
Susah sangatkah nak mengesan mereka ini? Saya kira ada tangan-tangan yang sebenarnya bersekongkol dengan mereka sebagaimana pengusaha vcd haram, pelacuran, dadah, perjudian haram (yang berlesen tak haram!) dan seumpamanya yang masih berada di pasaran sehingga hari ini walaupun berbuih mulut kita mengisytiharkan pelbagai kempen dan peperangan.
Nah sekarang perang lagi satu. Entahlah sampai bila. Agaknya kita perlu mencadangkan agar modus operandi mereka yang membunuh jelitawan dari Monggolia itu digunakan untuk memusnahkan Ah Loong-Ah Loong ini barulah berkesan agaknya?!
No comments:
Post a Comment