Thursday, December 28, 2006

Jangan dihanyutkan arus puaka ini

Menurut BERNAMA harga simen tempatan telah naik sejak 1 Disember 2006 lalu. Kenaikkannya adalah sekitar 75sen ke RM1.75 di Semenanjung manakala antara RM2.95 ke RM5.70 di Sabah dan Sarawak.

Bagi Perlis, Kedah, P.Pinang dan Perak harga runcit sebag simen seberat 50kg adalah RM10.85 (dulu RM9.90), manakala di Melaka, Pahang, Selangor,N.Sembilan dan KL sebag RM10.95.

Di Terengganu dan Kelantan harganya kini RM11.65 manakala Johor RM11.20.

Sudah pastilah kesan langsung dari kenaikkan ini adalah kenaikkan harga rumah dan bangunan serta lain-lain binaan termasuklah jalan.

Lalu apa lagi yang tidak naik?

Kita perlu serius melihat kenaikkan-kenaikkan ini dalam suasana kita dibelit dengan kenaikkan inflasi dan pelaburan asing atau FDI ke negara kita semakin menguncup. Saya bimbang memikirkan nasib dan masadepan saya dan keluarga. Harapan yang kita berikan terhadap kerajaan untuk membela dan melindungi kita seakan telah dipergadaikan.

Dalam sekelip mata pada tahun 2006 ini sahaja hidup kita begitu terhimpit dan pelbagai adjustment terpaksa dibuat dalam perbelanjaan keluarga kita masing-masing.

Saya merasakan inilah kali pertama dalam hidup saya berhadapan dengan suasana segetir ini dan saya percaya saya bukan keseorangan dalam negara tercinta ini. Sahabat-sahabat kita di Johor umpamanya yang masih diliputi musibah pasti lebih teruk lagi.

Saya melihat kerajaan yang ada pada hari ini begitu lemah dan tidak bermaya dalam mengurus dan membela nasib rakyatnya. Minyak naik, harga barangan naik, simen naik, tol akan naik dan rakyat sekadar dinasihatkan bersabar dan berjimat cermat.

Inilah ujian terbesar Allah swt terhadap kita semua dan memang telah tiba masanya untuk kita berikhtiar, berdayung keluar dari lingkungan kemelesetan ini bagi memastikan kita tidak karam atau hanyut dalam arus yang mencabar ini.



Setiap kita memegang dayung dan terpulanglah pada setiap kita untuk membuat keputusan. Kita boleh memilih untuk enggan berdayung dan biarkan sahaja sampan hidup kita ini dibawa arus puaka ini entah ke mana. Atau kita boleh mengambil keputusan untuk berdayung dan melawan arus ini, apabila kita sederap bersama membuat demikian dengan penuh cekal dan berani, tidak mustahil kita akan berjaya keluar dari jeratnya.

Ayuh berdayunglah kita sebelum terlambat.

No comments: