Surat terbuka kepada Harakahdaily
Saya dimaklumkan oleh beberapa pembaca blog ini bahawa tulisan saya sejak kebelakangan ini dimuatkan dalam Harakahdaily. Ada yang menyatakan rajin juga saya mengirim tulisan ke Harakahdaily dan ada juga yang menyindir nak mencuri peminat dari sana ke?
Saya memang pembaca setia Harakahdaily lalu apabila dibawa keperhatian saya maka saya segera memeriksa dan saya dapati ianya memang ada ditempatkan di sana tetapi di bawah ruangan SURAT PEMBACA dan ini membuatkan saya merasa agak terkilan. Setahu saya surat dari pembaca bermaksud pembaca yang mengirim tulisan mereka, dan dalam hal ini saya rasa saya tidak pernah mengirim tulisan saya untuk ditempatkan di bawah ruangan tersebut.
Memang sebagai seorang BLOGGER kita tidak mengenakan sebarang hakcipta yang terpelihara. Alam blog adalah satu alam yang bebas dan tiada sekatan atau ikatan (akhbar Suara Keadilan juga sering mengambil tulisan saya, tetapi tidaklah sebagai surat dari pembaca), namun apa pun dimana-mana sahaja pasti apa yang dinamikan etika.
Saya mengakui bahawa tiga laman tetap dimana saya ada mengirim tulisan saya (dan malah diundang dan digalakkan oleh webmasternya) adalah Laman Marhaen, Tranungkita dan Umno-Reform, tetapi tulisan-tulisan saya itu tidak pernah dianggap sebagai surat dari pembaca.
Saya berterima kasih atas minat sahabat-sahabat dari Harakahdaily itu, tetapi kalau mahu ditempatkan di bawah ruangan surat dari pembaca, maka eloklah tunggu sehingga saya sendiri mengirimnya untuk ruangan itu. Sekian terima kasih.
No comments:
Post a Comment