Pelumba Haram bukannya Mat Rempit
Yang selalu berhadapan dengan penyanggak sosial ini adalah anggota polis. Merekalah yang terpaksa menghadapi karenah dan perangai buruk anak-anak muda yang jelas melanggar undang-undang dan peraturan dengan mengamalkan budaya gila-gila bila menunggang motorsikal masing-masing.
Walaupun Pemuda dan Putera Umno ghairah mahu mendakap dan membelai mereka (mereka inilah bakal menerajui Pemuda Umno di masa depan kata Ketua Putera Azeez semasa Perhimpunan Umno baru-baru ini), tetapi menurut OCPD Seberang Prai Utara ACP Wan Abdullah mereka ini adalah masalah kepada masyarakat.
Kata Wan Abdullah dengan memberi gelaran Mat Rempit kepada golongan ini, mereka menganggap ia sebagai satu penghormatan, lalu mereka lebih berbesar kepala mengamalkan budaya gila mereka itu. Tambah Wan mereka menunggang motorsikal mereka dalam keadaan merbahaya tanpa menghiraukan keselamatan pengguna yang lain, oleh itu adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk melindungi masyarakat dari penyanggak ini.
Saya rasa sudah sampai masanya kita menghentikan sama-sekali budaya ini. Lupakan sahaja usaha untuk membikin trek atau gelanggang untuk mereka, kerana itu bukan yang mereka mahukan. Sesungguhnya bagi mereka apa yang mereka amalkan kini itulah kemuncak segala nikmat bagi mereka, boleh memperagakan apa sahaja aksi yang mereka mahu, di hadapan khalayak ramai dan kemudiannya mengalahkan pihak polis. Kerana itulah istilah pelumba atau penunggang haram itu memang cocok bagi mereka.
Sebagaimana kempen hentikan merokokj (yang entah apa nasibnya itu) kita perlu lancarkan kempen hentikan pelumba atau penunggang haram ini.
Pihak polis boleh melancarkan operasi besar-besaran bersama anggota badan siasah dan NGO (BN dan pembangkang) kita seret mereka ini keluar dari jalanraya.
Ini tidak, kita seolah mahu mengambil kesempatan politik untuk memikat puak-puak yang melanggar undang-undang ini. (Azeez pernah mengatakan bahawa mereka ini kelak akan digunakan semasa kempen pilihanraya).
Sesungguhnya masalah ini serius dan ianya khusus membabitkan anak-anak muda Melayu. Jika salah pendekatan kita maka selama-lamanyalah anak bangsa kita akan menjadi duri dalam daging masyarakat. Sebagaimana kata ACP wan, para penunggang dan pelumba haram ini kini semakin mengganas dan terlibat dalam jenayah.
Cepalah kita cegah barah ini sebelum ianya meruntuhkan nama baik dan peradaban kita.
(saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota polis peronda lebuhraya yang telah sudi membantu keluarga kami yang terkandas di Lebuhraya PLUS berhampiran Tapah pagi semalam, Alhamdulillah terselamat walaupun tayar depan pecah semasa memandu)
No comments:
Post a Comment