Friday, December 15, 2006

Tol naik juga lagi

Kerajaan menanggung beban rakyat kata Samy Vellu. Bagi meringankan beban rakyat kerajaan memberi subsidi RM0.50sen bagi setiap sebuah kenderaan. Lagi pun kadar tol di Malaysia adalah antara yang paling rendah dalam dunia, tambah Presiden MIC itu lagi.

Kesimpulannya dah kerajaan terpaksa naikkan kadar tol antara 30 sen ke seringgit lantaran terikat dengan perjanjian konsesi dengan para pemegang konsesi, maka rakyat suka tak suka terpaksa menerimanya dengan hati terbuka. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing.



Demikianlah hidup di Malaysia. Kenaikkan kos hidup rakyat selama ini bukannya isu reka-rekaan. Ianya hakikat yang membebankan penghidupan mereka sejak kenaikkan harga minya, letrik, air dan lain-lain. Dalam pada itu mereka terpaksa terus mengharungi hidup dengan anak, isteri masing-masing.

Dalam senak dan tangis itu kini mereka dihadiahkan dengan satu lagi bebanan. Tol pula naik, dan naik pula begitu drastic sekali sehinggakan akan membakar hangus apa sahaja lebihan yang ada dalam tangan rakyat kebanyakkan (jika masih ada yang tinggal).

Mungkin para juara dan protagonis boleh tegang-tegang urat menjerit dan menepuk-nepuk dada mengatakan bahawa rakyat perlu belajar berjimat cermat, cari laluan alternatif, kerajaan dah banyak berkorban untuk rakyat.

Bagi saya semua itu sudah basi dan memualkan sebagaimana marah dan kesalnya saya dengan alasan-alasan dangkal yang diberikan oleh Samy Vellu di atas.

Bagi saya lagi dengan beban baru ini terbukti kerajaan sudah tidak berdaya membela nasib dan kebajikan rakyatnya. Menangislah kita merayu, protes di tengah jalan, menyatakan bahawa periuk nasi kita semakin bocor dan lolos, mereka seolah tidak ambil pandang, memekak telinga, seolah lupa bahawa kuasa yang ditangan kitalah yang sebenarnya meletakkan mereka di tempat mereka.

Semalam saya khabarkan diblog ini betapa senang-senang kerajaan menghumbankan RM11 billion wang rakyat untuk menyelamatkan dua-tiga kerat syarikat korporat yang nazak. Yang menurut Ketua Pembangkang dalam akhbar hari ini sepatutnya dipertanggungjawabkan ke atas pengurusan dan badan korporat itu, bukannya rakyat yang mencucui kekotoran mereka!

Apa pun sementara menunggu-nunggu tarikh pilihnaraya umum, bagi anda yang di Lembah Kelang, yang terjerat dengan lebuhraya tol disekeliling anda itu, bersedialah dengan wang lebih ketika merancang untuk berjalan dan menjalankan tugas.

Jangan lupa bila tiba giliran mandat diserahkan kembali ke tangan kita, gunakanlah ia dengan penuh bijaksana dan keinsafan. Ikuti ulasan Cikgu Azmi, Presiden TERAS di WTV8 berkenaan isu ini http://wtv8.tv dalam rancangan Ulasan Akhbar Hari Ini.

No comments: