Wednesday, October 04, 2006

Semalam minta maaf hari ini tidak

Semalam semua akhbar saluran perdana tempatan memilih untuk meletakkan tajuk muka depan menggambarkan seolah-olah Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew melalui perutusan suratnya, telah memohon maaf kepada PM Dollah Badawi di atas kenyataan beliau menyatakan bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan.

Tajuk UTUSAN umpamanya semalam menyebut:

Ekoran dakwaan masyarakat Cina Malaysia dipinggir secara sistematik: kuan Yew minta maaf

Tiba-tiba dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini kita dimaklumkan bahawa Menteri Luar Syed Hamid Albar tidak menganggap surat Lee itu sebagai permohonan maaf yang sebenar.



Kata Syed Hamid:

Saya tidak menganggap ia surat permohonan maaf kerana beliau (Kuan Yew) hanya menjelaskan apa yang dikatakan. Dalam surat itu Kuan Yew hanya menyatakan permohonan maaf kerana menyebabkan timbul ketidakselesaan kepada Perdana Menteri sahaja.

Semalam di dalam BLOG ini saya menulis:

Kesimpulannya bagi saya Kuan Yew tidak merasakan dirinya bersalah. Beliau meminta maaf semata-mata kerana meletakkan Dollah dalam keadaan tidak selesa.I am sorry that what I said has caused you a great deal of discomfort. Bermakna dia tidak berasa bersalah atas kenyataannya itu tetapi sekadar memohon maaf kerana Dollah terasa AMAT TIDAK SELESA.

Saya hairan mengapa BERNAMA diizinkan melepaskan surat Kuan Yew itu semalam sedangkan ulasan Syed Hamid dan Dollah tidak diminta terlebih dahulu. Sepatutnya tindak-balas kerajaan perlu cepat, kalau pun terdesak sangat mahu keluarkan kandungan surat Kuan Yew itu ianya perlu disusuli dengan respon segera kerajaan. Ini tidak. Dan hari ini akhbar-akhbar tempatan terpaksa merobah TUNING masing-masing.

Saya perhatikan BERITA HARIAN SINGAPURA cepat memberikan reaksi. Tajuk salah sebuah beritanya:

Umno sambut baik permohonan maaf

Benarkah demikian?

BH Singapura memetik kenyataan Ketua Penerangan Umno Muhammad Taib yang juga dipetik UTUSAN hari ini:

Umno menyambut baik tindakan dari Kuan Yew itu.

Dan BH Singapura turut memetik kenyataan Ketua Pemuda Umno Hishamuddin Tun Hussien:

Kami menerima permohonan maaf itu terutama apabila ia datang daripada seorang yang amat bijak.

Soalnya adakah Umno dan Kerajaan menerima permohonan maaf Kuan Yew itu atau bagaimana?

Kelihatan seolah Umno dan kerajaan sendiri seolah kusut dan CONFUSED dalam menangani isu ini. Cuba perhatikan laporan BH Singapura hari ini, yang memetik kenyataan Dollah semalam di Putrajaya:

Saya telah mengambil maklum mengenai apa yang beliau (Encik Lee) telah katakan dalam surat itu, semua yang telah di nyatakannya.

Saya percaya kenyataan serupa itu tidak menyumbang kepada hubungan baik antara jiran. Walau apa juga alasan yang beliau berikan, kenyataan seumpama itu boleh menghasut rakyat Malaysia. Jadi saya fikir adalah penting beliau pastikan tidak membuat kenyataan seumpama itu lagi.

Adakah ini bermakna Dollah menolak permohonan maaf itu atau bagaimana?

Dalam hal ini saya tertarik dengan perenggan akhir laporan UTUSAN mengenai sidang akhbar PM di Putrajaya itu semalam:

Beliau enggan menjawab pertanyaan lanjut mengenai surat Kuan Yew itu kerana tidak mahu ada perbahasan mengenainya

Demikianlah PM kita, rakyat jelata jelas marah dengan tindakan Kuan Yew, tidak berpuas hati dengan surat beliau itu, tiba-tiba PM Malaysia mudah-mudah sahaja mengatakan tidak perlu lagi ianya diperbahaskan!

Mungkinkah ketika sidang akhbar itu Khairy tidak berada disebelahnya!?

No comments: