Sunday, October 15, 2006

Rakyat jelata terus menerima tekanan

Sebagaimana yang dijangka apabila harga petrol dan bahan bakar naik sebanyak 30 sen pada bulan Febuari lalu, ianya pasti akan memberi impak kepada barangan dan kos lain.Terbukti satu-demi satu harga barangan dan perkhidmatan turut naik bagi mengimbangi kesan kenaikkan petrol itu.

Sungguhpun kerajaan pada peringkat awal konon-kononnya memberi amaran agar para pengusaha dan peniaga tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan masing-masing, kini saranan itu seakan dipersetankan, tidak dipedulikan dan diambil endah.

Kita menyaksikan kenaikkan mendadak harga-harga barangan dan perkhidmatan berligar dan bermain-main di depan kepala kita. Lalu sedikit demi sedikit kos hidup kita semakin meningkat, dan dalam pada itu peluang kenaikkan gaji (terbaru bagi kakitangan kerajaan) seolah disepikan tanpa pembelaan. Maka jadilah hidup kita semakin susah dan sempit.


Hari ini satu lagi beban baru bakal menghempap kepala kita. Kini harga air pula dijangka akan naik sehingga 15% melibatkan para pengguna di Lembah Kelang (setelah tariff letrik naik baru-baru ini sehingga TNB meraut keuntungan 52% atas nestapa rakyat!).

Bagi mereka yang biasa membayar bil air sebanyak RM17, tak lama lagi anda akan dikenakan caj baru iaitu antara RM18 ke RM18.50 bagi penggunaan anda.

Ringkasnya mereka yang menggunakan air melebihi 20 meter padu sebulan (tetapi tak lebih dari 35 meter padu) akan mengalami kenaikkan kos sebanyak 6%. Manakala yang mengguna lebih dari 35 meter padu akan mengalami kenaikkan kos sebanyak 15%.

Kesan kenaikkan ini sesungguhnya bagaikan serampang dua mata. Pertama ianya akan terus membakar kocek kita dan keduanya kesan langsung adalah kos barangan dan perkhidmatan dijangka naik lagi kerana para pengusaha dan pengilang juga akan mengalami kenaikkan kos yang sudah pasti akan mengakibatkan mereka memindahkan kenaikkan itu kepada kita selaku pengguna.

Lalu bagaimana?

Lepas ni jangan minum air?!

No comments: