Azam dari rumah terbuka Pak Said
Semalam saya sempat menghadiri rumah terbuka Hari Raya salah seorang tokoh penulis, nasionalis antara yang paling saya kagumi iaitu Pak Said Zahari.
Pak Said adalah bekas Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu pada tahun 1959 dan pada bulan Febuari 1963 telah ditahan di dalam Operasi Cold Store di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri oleh kerajaan Malaya dan kemudiannya disambung oleh kerajaan Singapura di bawah Lee Kuan Yew selama 17 tahun.
Menurut rekod beliau adalah tahanan ISA yang kedua paling lama selepas Chia Thye Poh.yang ditahan selama 23 tahun.
Suasana Hari Raya di rumah Pak Said di USJ11 sungguh meriah dengan kehadiran ramai bekas-bekas tahanan ISA dizaman beliau terutama yang ditahan sekitar tahun 1960an. Antaranya termasuklah Sdr CC Yong yang ditahan selama 10 tahun bermula 1967.
Mereka semua berkongsi pengalaman ditahan di bawah akta puaka itu. Dalam kehangatan bualan kami bermain-main di kepala saya darihal kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Polis. Nampaknya Malaysia adalah sebuah Negara Polis bukan hanya di zaman Dollah Badawi atau zaman Tun malah sejak zaman Tunku lagi. Ianya demikian kerana Negara bebas tidak akan bertindak menahan rakyatnya tanpa bicara dalam tempoh yang begitu panjang dan tidak berperi-kemanusiaan.
Dalam majlis tersebut itu juga saya sempat bermesra dengan seorang lagi penulis dan bekas editor Sin Chew Jit Poh yang juga bekas tahanan ISA, Sdr Lee Ban Chen yang sangat saya hormati kerana penulisannya yang sangat kritikal dan analytical. Kami berjanji untuk saling bertukar-tukar pandangan selepas ini, saya tersentuh kerana Sdr Lee mengakui ada membaca tulisan-tulisan saya.
Dalam pada itu saya juga sempat bermesra dengan penulis Sdr Raja Ahmad Aminullah dan aktivis sosial Puan Siti Nor Hamid Tuah serta Dr Yeoh Seng Guan dari SUARAM.
Banyaklah yang telah kami perkatakan dari isu kongsi raya dan deeparaya, sehinggalah isu IFC dan konflik Tun dan Pak Lah. Dalam hal ini saya melihat banyak perbincangan dan dialog yang mesra dan mebina perlu diadakan atas semangat kasih dan sayangkan Negara tercinta ini.
Saya nyatakan pada Sdr Lee bahawa dialog antara agama sepatutnya diadakan antara aktivis bukan Islam dan mereka yang berwibawa darihal Islam. Masalahnya adalah apabila aktivis bukan Islam berdailog dengan golongan Islam Liberal yang tiada AUTHORITY darihal Islam selain merupakan penganut Islam semata-mata.
Menurut Sdr Lee pihak tersebut menutup pintu dialog, saya nyatakan bahawa sesiapa sahaja yang menutup pintu dialog seumpama inilah sebenarnya tidak menjuarai Islam.. Saya nyatakan pada Sdr Lee lihat sahaja Tuan Guru Nik Abd Aziz bersedia berjumpa dengan rombongan Ketua-ketua Sami Buddha seluruh Kelantan dan Terengganu baru-baru ini (malah kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukkan untuk para pekerja di kuil-kuil Buddha di Kelantan). Sdr Lee akui tetapi katanya beliau masih belum berpuas hati kerana masih banyak yang belum ditangani.
Saya bertekad untuk merintis jalan bagi merealisasikan dialog ini, mungkin antara Tuan Guru dan aktivis bukan Islam diketuai Sdr Lee kerana bagi saya Tuan Guru sebagai MB sebuah negeri dan memiliki kelulusan dan ilmu yang diiktiraf seharusnya dilibatkan. Tujuannya bukan apa tetapi bagi mendengar kedua-dua pihak dan akhirnya mewujudkan semangat faham-memahami dan toleransi antara kedua-dua pihak.
Insyallah saya akan mencuba.
No comments:
Post a Comment