Tuesday, October 31, 2006

37 tahun meninggalkan kita

Hari Raya kedua, tanggal 25 Oktober lalu berlalu sebagaimana hari raya biasa. Tetapi sedar tak sedar rupa-rupanya pada tanggal tersebut 37 tahun lalu (1969) seorang pejuang kemerdekaan, seorang ilmuan Islam, nasionalis dan Putera Melayu yang terbilang iaitu Dr Burhanuddin al Helmy telah pulang ke rahmatullah pada usia 58 tahun.



Almarhum kira-kira sebulan sebelum itu (22 September 1969) baru sahaja menerima surat penarikan balik sekatan dan larangan yang dikenakan ke atasnya setelah dibebaskan bersyarat dari tahanan ISA. Almarhum ditahan di bawah akta zalim itu pada 28 Januari 1965 dan dibebaskan bersyarat pada bulan Mac 1966.

Penglibatan politik Almarhum di tanahair bermula sejak tahun 1939 apabila melibatkan diri dengan pertubuhan Kesatuan Melayu Muda KMM di Singapura. Dari situ Almarhum terus menyumbangkan tenaga dan pemikirannya sehinggalah zaman penjajahan Jepun dimana lantaran pengetahuannya dalam bidang agama yang tinggi Almarhum telah dilantik sebagai Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu di Markas Jepun di Taiping, Perak.

Ramai yang menuduh Almarhum sebagai tali barut Jepun, namun hasil dari kajian terhadap tulisan beliau membuktikan sebaliknya. Almarhum pernah menulis:

Kekejaman, kebengisan, kedurjanaan, kezaliman fasis Jepun tiada siapa yang tidak kenal dan tidak perlu dituliskan pemerintahan tangan besi Firaun kurun kedua puluh. Gerakan kebangsaan diharamkan sama-sekali oleh Jepun. Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa dalam istana Firaun. Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar mengambil bahagian di hutan rimba jadi anti fasis, ada yang menjalankan gerakan rayap semut putih, harimau dan sebagainya.

Selepas Jepun menyerah kalah Almarhum menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1946 dan terus dilantik sebagai Timbalan Presiden ketika mesyuarat penubuhan parti itu pada 17 Oktober 1945 dan kemudiannya menjadi pemimpin tertingginya dan terus bergiat dalam parti tersebut sehinggalah ianya diharamkan oleh penjajah British berikutan pengisytiharan Darurat pada bulan Julai 1948.(Walaubagaimanapun PKMM terus bergerak di Singapura dan disitulah Almarhum meneruskan gerakannya).

Pada bulan Disember 1950 Almarhum ditangkap kerana terlibat dalam demonstrasi Kes Natrah di Singapura dan merengkok dalam penjara sehingga 1953. Kemudiannya Almarhum telah menyertai Parti Islam Se Malaya (PAS) dan pada 25 Disember 1956 ketika berusia 46 tahun telah diangkat sebagai Yang Dipertua Agung (Presiden) PAS dengan Almarhum Prof Zulkiflee Mohammad sebagai Timbalannya.

Gandingan kedua-dua pemimpin ini telah melontarkan PAS ke arus perdana politik Negara sehinggalah PAS berjaya menguasai dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu serta 13 kerusi Parlimen pada Pilihanraya Umum pertama Negara kita yang merdeka iaitu pada tahun 1959 dengan Almarhum sendiri berjaya melangkah kaki ke Dewan Rakyat sebagai ahli Parlimen Besut.

Lantaran imejnya yang disegani dan dihormati ramai itu maka bayangan Almarhum sangat membimbangkan kerajaan Perikatan yang diterajui Umno. Lalu pelbagai usaha dilakukan untuk membunuh karier politik Almarhum. Terbukti konspirasi jahat ini berkesan dengan mulanya mengheret Almarhum ke mahkamah kerana dituduh pecah amanah kerana menjadi Pengarah sebuah syarikat yang kononnya haram. Almarhum didenda $25,000 dan terus terlucut jawatan ahli Parlimennya.

Dengan itu juga Almarhum tidak dapat bertanding dalam Pilihnaraya Umum kedua pada 26 April 1964. Kemudiannya Almarhum dituduh pula terlibat dengan pihak Indonesia untuk menggulingkan kerajaan Persekutuan dan akhirnya akibat tohmahan itu beliau ditahan di bawah ISA sebagaiman yang disebutkan di atas.

Demikianlah perjalanan hidup seorang tokoh agama, bangsa dan Negara yang sungguh terbilang. Menurut isterinya yang tercatat dalam buku Dr Ramlah Adam: Burhanuddin al Helmy Satu Kemelut Politik: Almarhum sentiasa mengamalkan solat tahajud dan beristikharah serta membaca al Quran setiap hari demi mencari keredaan Allah terhadap hidupnya, Subhanallah! Almarhum pernah menulis:

Iman berdiri di atas tubuh. Tubuh berdiri di atas bangsa dan bangsa berdiri di atas watan. Salah satu daripada yang empat ini tidak boleh bercerai tinggal di dalam susunan binaannya tetapi watan menjadi pokok. Ada watan ialah dengan kuat bangsa. Kuat bangsa keluar dari tubuh diri yang sihat kuat dan perkasa, seperti pekerja, pahlawan, perajurit dan lain-lain.

Maka dalam jiwa pekerja, pahlawan dan perajurit itulah terletaknya iman.

Mudah-mudahan Allah swt menempatkan Almarhum dikalangan para syuhada dan sollihin.

No comments: