Tuesday, October 03, 2006

Dollah berjaya jinakkan Kuan Yew?

KUAN YEW MINTA MAAF demikianlah tajuk besar muka depan akhbar UTUSAN hari ini. Menurut laporannya Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, telah membawa surat dari bekas PM Singapura itu yang kini Menteri Mentornya ke Wisma Putra. Wisma Putra kemudiannya difahamkan telah mengemukakan surat itu untuk pengetahuan dan tindakan Pejabat PM.

Tanpa membaca secara terperinci surat jawapan Kuan Yew itu pasti persepsi pertama rakyat kebanyakkan adalah bahawa Dollah Badawi telah berjaya menyedarkan Kuan Yew lalu dengan penuh insaf Kuan Yew akhirnya mengaku salah dan memohon maaf melalui suratnya itu.



Kesalahan Kuan Yew kerana menuduh Malaysia meminggirkan bangsa Cinanya (sebagaimana kenyataannnya dalam sebuah majlis forum IMF di Negara beliau baru-baru ini)

Bagi saya persepsi yang dimaksudkan ini tidak menggambarkan Kuan Yew yang sebenarnya. Kuan Yew yang kita kenali sekian lama. Kuan Yew bukan jenis pemimpin yang mudah mengalah malah tidak keterlaluan kalau saya katakan yang Kuan Yew sepanjang karier politiknya tidak pernah memohon maaf kepada mana-mana pihak, kerana beliau sejak dahulu menganggap dirinya manusia par excellence, tanpa cacat dan tanpa kekurangan.

Dalam sejarahnya Kuan Yew pernah mengkhianati para pejuang sosialis di Negara beliau. Beliau naik melalui bantuan mereka, beliau membuat pakatan dengan mereka untuk naik sebagai Ketua Menteri Singapura tetapi apabila beliau menang, mereka ini telah diambil tindakan (ramai yang dipenjarakan). Suara kumpulan sosialis ini dikunci mati di Singapura sehingga hari ini.

Kemudian Kuan Yew pernah berbuat baik dengan YTM Tunku PM Malaysia yang pertama. Lalu Singapapura memperolehi kemerdekaan melalui Malaysia. Kuan Yew kemudian menyusun langkah untuk bertapak diseluruh Malaya. Dalam Pilihanraya Umum 1964 partinya telah meletakkan calon di kebanyakkan kerusi majority Cina di Malaya bagi meluaskan pengaruh mereka walaupun pihak Perikatan menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian.

Usaha Kuan Yew itu ternyata gagal dan beliau ditolak oleh rakyat Malaya, lalu merasakan yang beliau tidak dapat meluaskan penmgaruhnya ke Malaya Kuan Yew mencetuskan berbagai masalah sehingga akhirnya Tunku bersetuju melepaskan Singapura.

Kemudian Singapura yang merdeka mendatangkan pelbagai masalah kepada Malaysia. Ini termauklah masalah bekalan air dan tuntutan Pulau Batu Putih dan pencerobohan ruang udara, demikian juga isu CPF dan lain-lain.

Tetapi Kuan Yew tidak pernah merasakan dirinya bersalah.

Jadi bila Kuan Yew tiba-tiba memohon maaf pada Dollah saya menganggap ianya agak janggal dan berbagai tandatanya timbul dibenak kepala saya. Namun bila kita baca kenyataan penuh Kuan Yew itu barulah kita akan sedar bahawa pernyataan maafnya lebih kurang macam pernyataan Pope Benedict baru-baru ini.

Kuan Yew tidak menyebut yang beliau menarik balik kenyataan itu atau berjanji tidak akan mengulanginya. Sila baca terjemahan surat tersebut yang disiarkan sepenuhnya dalam BERITA HARIAN SINGAPURA hari ini di http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,82769,00.html?

Dalam kenyataannya mengulas isu ini sebagaimana disiarkan oleh WTV8 http://wtv8.tv/
Bekas ahli Parlimen Pokok Sena Hj Mahfuz Omar menyatakan bahawa beliau melihat seolah ada permainan atau pakatan antara Kuan Yew dan Dollah. Cuba kita teliti baris akhir surat Kuan Yew itu:

Saya meminta maaf bahawa apa yang saya telah katakan menyebabkan anda terasa amat tidak selesa. Selepas tempoh satu dekad mengharungi hubungan bermasalah dengan orang yang anda gantikan, ini adalah perkara yang tidak sama sekali saya inginkan.

Kuan Yew membantu Dollah dengan membelasah bekas PM kita, Tun Dr Mahathir di dalam suratnya itu. Kata Kuan Yew:

Tetapi anda perlukan sebuah pemerintah yang dapat menyampaikan, bukan sekadar mempunyai keberanian, tetapi mempunyai kebolehan untuk menyatakan TIDAK dengan cara yang tenang, sopan hingga tidak menyebabkan mereka melakukan sesuatu yang bodoh.

Berkenaan jambatan dan jambatan separuh untuk merobohkan Koswe, anda membuat keputusan bagi pihak kerajaan anda yang jelas menyatakan Malaysia menghormati persetujuan mengikut undang-undang yang telah dicapai dan bertindak mengikut ketetapan undang-undang antarabangsa.

Ini membuat rujukan kepada Itlos dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa sebagai sesuatu yang tidak harus dilakukan. Penghormatan terhadap undang-undang adalah asas kepada hubungan jangka panjang antara kita.

Inilah agaknya sebab mengapa Dollah tidak menelefon atau bertindak pantas apabila Kuan Yew mengeluarkan kenyataan itu.

Bagi saya Kuan Yew sendiri mengakui bahawa beliau telah membuat kenyataan ini di hadapan delegasi asing yang menghadiri mesyuarat Dana Kewangan Antarabangsa/Bank Dunia (menurut surat berbahasa Inggerisnya: I made the remarks in a free flowing dialogue session).

Oleh itu jika beliau benar-benar bertanggungjawab dan mengakui salah beliau sepatutnya menarik balik kenyataan itu kerana jelas apa yang telah beliau perkatakan itu bagi delegasi asing yang hadir sudah pastilah kenyataan yang benar dan tepat.

Kesimpulannya bagi saya Kuan Yew tidak merasakan dirinya bersalah. Beliau meminta maaf semata-mata kerana meletakkan Dollah dalam keadaan tidak selesa.

I am sorry that what I said has caused you a great deal of discomfort.

Bermakna dia tidak berasa bersalah atas kenyataannya itu tetapi sekada memohon maaf kerana Dollah terasa AMAT TIDAK SELESA.

Oleh itu saya semakin percaya bahawa isu ini sebenarnya adalah kerjasama atau pakatan atau namakan apa sahaja antara dua orang rakan karib untuk menyerang dan mematikan nafas politik musuh bersama mereka iaitu Tun Dr Mahathir.

(Untuk makluman bersama surat Kuan Yew itu BERITA HARIAN Singapura menerbitkan semula petikan ucapan-ucapan Tun semasa beliau PM dahulu khususnya berkenaan nasib Melayu di Singapura)

No comments: