Monday, January 21, 2008

Sudahkah pembangkang bersedia bagi menghadapi pilihan raya umum?

Ramai bertanya apakah parti-parti pembangkang khasnya PAS, PKR dan DAP sudah bersedia bagi menghadapi pilihan raya umum kali ini?

Saya sendiri tidak mempunyai jawapan kerana jika persediaan yang dimaksudkan adalah bersedia sebagaimana BN bersedia, maka sudah pastilah jawapannya tidak. Kerana parti-parti pembangkang serba kekurangan terutama dari segi kewangan dan kemudahan. Contohnya saya diberitahu oleh seorang rakan wartawan, perhimpunan kaum India semalam di Cheras, sebenarnya menghimpunkan ahli-ahli MIC iaitu 2 bas dari setiap kawasan parlimen emngikut pengakuan mereka yang hadir.

Memang dari sudut kewangan dan kemudahan parti-parti pembangkang bagaikan langit dan bumi kalau mahu dibandingkan dengan BN. Sudahlah kewangannya kukuh, segala harta benda dan kemudahan awam disalah guna sebagai bilik gerakan dan pejabatnya! Seperkara lagi semasa pilihan raya olok-olok mereka, segala pegawai yang dilatih oleh SPR telah mereka gunakan.

Namun demikian dalam serba kekurangan, parti-parti pembangkang bergelut juga untuk membuat persiapan masing-masing dan saya kira mereka telah bersedia menurut kemampuan mereka masing-masing. Yang lebih dipihak mereka adalah semangat. Semangat perjuangan inilah, yang kental, yang ikhlas dan jujur, tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit dan kekayaan. Berbekalkan semangat perjuangan inilah mereka bekerja berhadapan dengan gergasi hodoh bernama BN.

Kita masing-masing mahu membuat perubahan. Tidak cukup dengan kita menunggu dan menuntut persediaan dari para pejuang dipihak pembangkang semata-mata. Kita semua seharusnya bersama-sama membantu menyumbang tenaga, kepakaran dan wang ringgit. Ini bukan pertarungan main-mainan. Ini pertempuran antara yang hak dan batil. Jika kita mahukan yang hal muncul berjaya, maka sewajarnyalah kita membantu.

Saya harian dalam tempuh hampir 4 tahun lebih kita bekerja tanpa mengira penat-lelah untuk bersedia bagi menghadapi pilihan raya umum ke 12 ini, tiba-tiba di fasa akhir ini ada pihak yang lebih berminat menuding jari menyalahkan pihak itu dan ini, pemimpin itu dan ini. Dan malah kita pula bagaikan menjadi alat melagakan pihak itu dan ini. (Tak putus-putus contohnya saya menerima SMS mengutuk pimpinan PAS dengan berbagai kutukkan)

Sesungguhnya diperingkat ini kita sepatutnya “close ranks”, bersatu dan bekerja bagaikan satu binaan kukuh untuk menghadapi musuh bernama BN itu. Kita pertahankan semua pemimpin kita dan kita bergerak mengikut arahan, tanpa mendahului kepimpinan. Musuh politik kita hanyalah satu iaitu BN. Jika kita belum cukup matang atau dewasa untuk menerima dan bekerja kea rah itu, lebih baik kita duduk berihat dari membenarkan diri kita menjadi alat menganggu perjuangan.

Ayuh kita bersatu, bekerja mendukung perjuangan yang benar ini. Saya masih ingat pesanan Allahyarham Pak Nik Rashid, semasa saya pelajar dahulu: Allah swt menjadikan kita satu mulut untuk bercakap dan dua tangan untuk bekerja, oleh itu kurangkanlah bercakap dan lebihkanlah bekerja!

No comments: