Wednesday, August 23, 2006

Mana pergi Khairy malam tadi?

Semalam pimpinan Pemuda dari parti-parti pembangkang dan kerajaan telah berhimpun di DBP bagi menjayakan Perhimpunan Gabungan Pemuda Malaysia atas tema: Hargai Kemanusiaan Kembalikan Keamanan.

Perhimpunan bersejarah itu adalah bagi menyatakan pendirian dan komitmen bersama Pemuda Malaysia terhadap konflik yang berlaku di Lubnan dan Timur Tengah terutama yang berhubung dengan kezaliman dan kebiadapan regim haram Zionis Israel.

Sebelum ini masing-masing Pemuda pernah mengadakan himpunan dan bantahan serta demonstrasi di sekitar Kuala Lumpur. Masing-masing telah menyerahkan memorandum bantahan kepada Keduataan Amerika Syarikat dan lain-lain kuasa asing yang berkaitan.



Cuma yang ketara ABSENT semalam adalah Naib Ketua Pemuda Umno yang juga menantu PM iaitu Khairy Jamaluddin. Ketiadaan beliau dirasai kerana sebelum ini hampir kesemua demonstrasi bantahan anjuran Pemuda Umno dan Pemuda BN diketuai oleh beliau. Tiba-tiba apabila dianjurkan himpunan kemuncak ini, Khairy menghilangkan diri.

Kenapa?

Ada yang mengatakan Khairy tidak hadir kerana beliau belum berjaya menyelesaikan satu lagi konflik besar yang sedang hangat memuncak. Bukan antara Lubnan dan Israel tetapi antara Pemuda Umno dan Pemuda MCA malah seluruh masyarakat Cina ekoran kenyataan beliau semasa merasmikan Mesyuarat Agung Pemuda Umno bahagian Jerlun baru-baru ini.

Dalam ucapannya itu Khairy dikhabarkan telah mengguris perasaan masyarakat Cina apabila beliau berkata bahawa masyarakat Cina Malaysia cenderung mengambil kesempatan daripada perpecahan dalam Umno untuk membuat tuntutan bagi memenuhi kepentingan mereka. Kata Khairy tuntutan Suqiu pada 1999 serta memorandum yang dikemukakan oleh pemimpin MCA kepada Perdana Menteri awal tahun ini berhubung kepentingan masyarakat Cina adalah bukti kenyataan beliau.

MCA dan Gerakan, iaitu kedua-dua parti komponan BN dikatakan tidak selesa dengan kenyataan Khairy itu.

Malah baru sebentar tadi Malaysiakini melaporkan yang Biro Politik Pemuda MCA yang bermesyuarat di Bangunan Parlimen telah memutuskan Khairy bertanggungjawab dalam isu ini dan beliau perlu secara peribadi bertanggungjawab untuk menyelesaikannya.

Kata Ketua Pemuda MCA itu:

He should not repeat the same remarks. If he said he is misunderstood, tell us why he was misunderstood

Beliau (Khairy) jangan mengulangi lagi kenyataan yang serupa. Jika beliau terkeliru maka belia mesti beritahu kami bagaimana boleh jadi demikian.

Kenyataan keras dari Pemuda MCA ini adalah merupakan tamparan hebat kepada menantu PM itu yang selama ini telah cuba menonjolkan imejnya sebagai pemimpin masa depan Pemuda Umno. Malah sejak akhir-akhir ini beliau telah menggunakan kedudukkannya untuk menepis serangan bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir terhadap beliau dan bapa mertuanya.

Sebelum ini apabila ditanya pemberita berhubung kenyataan Khairy itu Ketua Pemuda Umno Malaysia Hishamuddin Tun Hussien menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab peribadi Khairy untuk menjelaskan kepada pemimpin-pemimpin komponan BN berhubung maksud kenyataan beliau itu.

Jelas kini Khairy benar-benar berada dalam kemelut yang serius. Pemimpin muda dalam Umno tidak seharusnya dilihat mencurigai kesetiaan kawan-kawan mereka dalam BN. Dengan keterlanjuran beliau itu Khairy telah merenggangkan hubungannya dengan Pemuda MCA kecuali Timbalan Ketua Pemuda MCA Ling Hee Leong (anak bekas Presiden MCA) yang merupakan kawan baiknya (yang kebetulan jutawan besar macam beliaun juga).

Khairy perlu merayu agar bapa mertuanya campur tangan dan menyelamatkan keadaan. Tidak pernah dalam sejarah Pemuda Umno, pemimpinnya digasak sebegini rupa oleh Pemuda MCA dan parti komponan lain.

Agaknya pasal tulah maka Khairy tak sanggup angkat muka untuk hadir malam tadi, kasihan.

No comments: