Tuesday, August 08, 2006

Konflik Lubnan terus menuntut pembelaan

Sesiapa sahaja yang berkesempatan mengikuti ucapan Perdana Menteri Lubnan Fouad Siniora yang disiarkan secara langsung oleh BBC, CNN dan al Jazeera semalam pasti akan merasa sebak dan sedih atau barangkali ada juga yang menitiskan airmata.

PM negara yang sedang diserang dan dimusnahkan oleh rejim haram Zionis Israel itu berucap di hadapan Menteri-menteri Luar Negara-negara Arab dalam satu persidangan khas yang diadakan di Beirut. Beliau menyatakan betapa rakyat Lubnan akan terus berdiri tegak dan menghadapi serangan biadap dan tidak bertanggungjawab Israel ini sehingga ke penghujungnya.

Beliau memohon agar negara-negara Arab campurtangan, mendesak agar gencatan senjata segera diadakan, dan menghulurkan bantuan bagi membangunkan semula negara itu.

PM tersebut membuat rayuan dengan penuh emosional dengan memetik kata-kata Saidina Ali (yang tidak sempat saya pickup) dan dipenghujung rayuannya itu beliau telah membaca ayat-ayat Quran berikut:

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. (3:139)

Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (4:104)

Sementara itu Lubnan terus dibedil dan nyawa terus terkorban. Majlis Keselamatan PBB masih bersidang untuk bersetuju terhadap deraf rundingan damai yang baru diperingkat deraf dan belum pun diluluskan.

PM Lubnan juga menyebut darihal kemusnahan yang sedang berlaku di Palestin.
Kesimpulannya tidak ada kuasa atau mana-mana pihak pun yang mampu berhadapan dengan regim Zionis ini melainkan umat Islam dan negara-negara Islam seluruhnya bersatu teguh menghadapi mereka. Lepaskanlah gengaman tangan lembut Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya itu. Kini nasib dan masa depan umat Islam sedang hancur dan musnah. Dan kemusnahan yang tidak berperikemanusiaan ini dilakukan oleh Israel yang turut dibela dan dilindungi oleh AS dan sekutu-sekutunya.

Ketua-ketua negara Islam perlu bertegas dalam hal ini. Barat perlu diberi pilihan samada cenderung kepada Israel ataupun kita.

Tak tahulah bagaimana krisis ini akan berkahir nanti tapi yang pastinya umat Islam di Luban dan Palestin sedang disembelih saban hari. Malah semalam turut dilaporkan beberapa kakitangan pejabat PM Palestin Ismael Haniyeh telah dikejarkan ke hospital kerana difahamkan ditimpa keracunan kerana memakan makanan yang direserve untuk PM itu.

Bagi kita disini, berdoalah dan hulurkanlah bantuan kepada pihak-pihak yang dapat menyalurkan bantuan tersu ke mereka yang memerlukan. Saya difahamkan semalam YB ahli Parlimen Kubang Kerian Sdr Salahuddin Ayub dengan disertai beberapa doktor perubatan berbekalkan wang sumbangan dan bantuan kemanusiaan telah berlepas ke Beirut untuk bertemu dengan pimpinan Islam di sana serta menghulurkan bantuan.

Ya Allah selamatkanlah Lubnan dan Palestin dan seluruh dunia Islam serta umat manusia sejagat.

No comments: