Tuesday, August 08, 2006

Drama yang tidak meyakinkan

Saya juga semalam duduk di depan kaca TV kerana mahu mendengar kenyataan PM Dollah Badawi berhubung isu-isu semasa terutama berkenaan kritikan dan teguran bekas PM Tun Dr Mahathir Mohammad terhadap beliau.

TV3 menamatkan siaran Buletin Utamanya sekitar jam 8.30 semalam untuk memberi laluan kepada siaran ini. Saya menyangkakan pastilah ianya akan merupakan siaran secara langsung, rupanta tidak. Ia merupakan siaran yang telah dirakam (dan sudah pasti telah dilakonkan beberapa kali), mungkin Dollah tidak selesa dengan siaran langsung, tak mengapalah.

Cuma saya perhatikan isu-isu atau persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk Annuar Zaini (moderator malam itu) samada tidak dijawab tepat atau kalau dijawab pun seakan tersangkut-sangkut, tak sempurna. Dan banyak juga isu yang dibangkitkan oleh Tun, termasuklah berkenaan jambatan bengkok, Proton, MV Augusta, Kalimullah yang tidak disentuh.

Barangkali tujuan utama rancangan tersebut adalah untuk membuktikan yang Dollah tak takut, Dollah tak lembik dan Dollah tak lembut. Dollah sebenarnya berani dan tegas. Tetapi apabila akhbar THE STAR meletakkan tajuk:





Saya rasa ianya agak keterlaluan. Dolah did not TELL ALL. Beliau sekadar mendedahkan bagaikan main acah-acah. Nampak tak, nampak tak begitu, tetapi beliau tidak selak sepenuhnya bagi menampakkan segala-galanya. Ini tidak beliau lakukan mungkin kerana beliau tidak merasakan ianya perlu atau mungkin juga kerana beliau sendiri tidak berapa tahu dan mahir secara mendalam khasnya berkenaan penglibatan anak dan menantunya dalam dunia korporat walaupun beliau kelihatan seakan mencuba-cuba untuk menunjukkan yang beliau juga tahu dan mahir.

Secara peribadi saya merasakan program malam tadi lebih akan menyusahkan Dollah dari menyelamatkannya. Beliau telah mendedahkan lebih banyak lagi kelemahan yang beliau tidak sedari yang pasti akan dipergunakan sepenuhnya oleh musuh-musuhnya.

Contohnya ketika menyebut darihal penglibatan Khairy, beliau berkata Hishamuddin Tun Hussien (Ketua Pemuda Umno) lah yang sebenarnya mahukan Khairy. Sehingga Hisham pernah memberitahu beliau bahawa beliau (bukannya Pemuda tetapi beliau) mahukan Khairy sebagai Naib dan Pak Lah diminta jangan ganggu.

Mengapa Hisham mahukan Khairy? Mengapa tidak Norza? Mengapa tidak Pirdaus? Mengapa tidak Khir Toyo? Kerana Norza, Pirdaus , Khir dan lain-lain bukan menantu Dollah. Dan sudah pasti Hisham yang memilki agenda sendiri mahu menghibrkan hati pemimpin nombor satunya. Jadi walaupun yang lain lebih lama, lebih berpengalaman, lebih dikenali, lebih matang namun mereka semua bukannya ada talian dengan boss nombor satu, maka terpaksalah mereka diketepikan.

Takkanlah Dollah lupa, Khairy naik ke kerusi nombor dua (menang tanpa bertanding) setelah mereka yang lain yang telah dicalonkan menarik diri belaka. Siapa yang sanggup melawan menantu boss!

Anak lelakinya pula yang memiliki kepentingan besar dalam Scomi Group dikatakan oleh beliau hanya menerima kontrak sekitar 20% dari kepentingan tempatan. 20% itu berapa nilainya agaknya? 20% itu pasti yang berkenaan Petronas sahaja. Tun telah memberi perincian berkenaan penglibatan anak lelaki Dollah ini semasa di Kota Bharu beberapa minggu lepas. Jelas Dollah sebenarnya telah mengiakan dakwaan Tun itu kalau kita teliti benar-benar.

Kesimpulannya kemusykilan semakin bermain dan bersarang di kepala saya setelah mendengar penjelasan lebih 40 minit dari Dollah itu yang telah mendapat liputan penuh akhbar-akhbar tempatan. Apa-pun saya terpaksa memberi kredit kepada Dolah kerana sanggup ke hadapan (walaupun tidak live) bagi mencuba menjawab kritikkan dan komen terhadap beliau. Beliau telah mencuba, malangnya beliau belum berapa berjaya.

No comments: