Wednesday, August 16, 2006

Nazri menjiwai watak Brutus

Sering kalau Wak Dogol dan Pak Dol yang berceloteh dan berbual-bual kosong di warung-warung kopi, bersyarah sambil menghirup teh tarik atau kopi-o menghabiskan waktu lapang mereka, memang akan terpacul keluarlah kata-kata separuh masak, yang merepek dan tak masuk akal. Ini berlaku kerana mereka adalah insan kebanyakkan yang barangkali kurang ilmu dan pelajaran, kurang membaca dan menelaah, kurang pendedahan dan berbagai-bagai kekurangan lagi.

Jadi apabila seorang yang bertaraf Menteri, berpendidikan tinggi, berilmu dan macam-macam yang baik-baik lagi turut menuturkan celoteh umpama Wak Dogol dan Pak Dol tadi maka layaklah kita berasa malu dan mungkin juga terhina kerana negara melahirkan pimpinan yang tiada kualiti dan kaliber.

UTUSAN hari ini melaporkan:

Beliau (Nazri) berkata, tindakannya MENGHENTAM Dr. Mahathir bukan bermakna perasaan hormat dan sayang kepada bekas pemimpin itu sudah hilang sebaliknya ia dibuat kerana lebih sayangkan parti.

Saya sebenarnya sayangkan Tun kerana banyak kenangan manis saya bersama Tun tetapi demi lebih sayangkan parti saya terpaksa pertahankan apa yang dibuat kerajaan kerana kami sebagai wakil rakyat ada tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

Ini mengingatkan kita kepada karya Shakespeare: The Tragedy of Julius Caesar dimana watak Brutus menyebut:

If then that friend demand why Brutus rose against Caesar, this is my answer: not that I loved Caesar less, but that I loved Rome more

Brutus adalah anggota senat yang telah terlibat dalam komspirasi membunuh Maharaja Caesar. Walaupun hubungan beliau dengan Caesar akrab namun beliau terlibat dalam konspirasi menikam Caesar dari belakang.

Lalu apabila bersyarah sebelum mayat Caesar dikebumikan beliau mengatakan yang beliau melakukan (menikam dan membunuh Caesar itu) bukan kerana beliau tidak sayangkan Caesar tetapi kerana beliau lebih mengasihi Rom.

Tetapi Nazri harus ingat bahawa dalam karya Shakespeare ini Brutus adalah pengkhianat, Caesar adalah wira. Mungkinkah beliau juga pengkhianat?

(Menurut riwayatnya akibat dari tindakan membunuh Caesar itu isteri Brutus kemudiannya membunuh diri dan Brutus sendiri telah membunuh diri!)

Mungkin Nazri berbangga membawa watak Brutus dalam konflik Pak Lah vs TDM ini.

Wak Dogol dan Pak Dol mungkin tidak baca Shakespeare, tetapi lazimnya orang-orang kebanyakkan seperti Wak Dogol dan Pak Dol, mereka jenis manusia yang jujur, tidak berbohong dan tidak menipu orang, walaupun mungkin tidak secerdik dan sehebat Nazri, mereka ini cukup berpengalaman untuk kenal antara pengkhianat dan yang jujur antara pembodek dan yang ikhlas.

Jadi Nazri perlu berhati-hati kalau dah menjiwai watak Brutus itu, bimbang nanti orang lain pula akan tikamnya dari belakang.

Saya juga hairan nampaknya Nazri lebih banyak menghabiskan masanya menjawab dan mengkritik serta menyerang Tun. Bila masa pula dia menjalankan tugasnya sebagai Menteri?

Sepatutnya biarlah kerja, menepis, membodek, mencantas seumpama itu diserahkan kepada Mat Taib sahaja selaku Ketua Penerangan (kerana Mat Taib pun memang tak ada kerja), tak perlulah Nazri sibuk-sibuk melonjak diri mahu menjadi juara. Tun pun tak pernah menghala serangan kepada beliau, tetapi beliau pula terlonjak-lonjak mahu mengangkat diri sebagai wira. Biasanya yang terlonjak-lonjak dan tak tahu duduk diam ni ada di dalam kandang di Hulu Kelang.

No comments: