Thursday, January 31, 2008

Dipecat tetapi disemadi di Makam Di Raja

Saya percaya ketika menulis artikel ini jasad Almarhum Dato Ishak Baharom sedang disemadikan di Makam Di Raja Selangor di Shah Alam.

Sebaik "dipecat" dari jawatan Mufti Selangor pada tahun 1997 wajah Almarhum tidak lagi mendapat tempat di kaca TV atau media arus perdana. Satu-satunya ulamak besar yang dilahirkan oleh negeri Selangor ini terus dipinggirkan oleh kerajaan negerinya sendiri. Betapa sedihnya seorang bertaraf bekas Mufti tidak dibenarkan memberi kuliah atau berkhutbah di negerinya sendiri!

Namun Almarhum bukan calang-calang ulamak. Beliau tetap "consistent" dengan sikap dan pendiriannya dari semasa beliau menjawat jawatan Mufti selama 12 tahun sehinggalah beliau dipecat dari jawatan itu.

Antara faktor pemecatan beliau adalah kerana beberapa lanngkah berani yang telah diambilnya atas nama Mufti Selangor. Langkah berani itu dikatakan kontroversial oleh mereka yang cemburu pada Islam. Ketika Almrhum Muftilah fatwa mengharamkan rokok dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Selangor. Beliau terlibat secara langsung dalam mengambil tindakan terhadap pertandingan ratu cantik yang melibatkan wanita Islam serta operasi pembenterasan maksiat sehinggalah tindakan beliau itu tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Peristiwa yang berlaku di "Restoran The Ship" di Damansara Utama, dimana serbuan dibuat oleh pihak berkuasa agama ketika berlangsungnya majlis maksiat di sana, merupakan insiden yang telah mengakibatkan Almarhum dipecat.

Pihak tertinggi di Selangor ketika itu malangnya menyebelahi penganjur maksiat dan tergamak memecat seorang Mufti.

Hari ini jasad ulamak besar ini dimakamkan dikomplek Makam di Raja sekaligus memberikan penghormatan tertinggi kepada beliau sungguhpun masa hidupnya beliau dipinggir dan dimusuhi. Begitulah berakhirnya hayat seorang yang mulia. Yang pentingnya adalah di alam akhirat nanti yang sudah pasti menjanjikan tempat yang lebih indah dan selesa bagi mereka yang berkorban diri untuk agama Nya di dunia.

Dalam Utusan Malaysia hari ini dimuatkan pandangan seorang bekas Mufti dan seoang Mufti berkenaan Almarhum:

"Beliau adalah guru yang sangat alim dan tinggi akhlaknya. Malah Allahyarham yang saya kenali juga seorang yang berpendirian tegas serta tidak berkompromi terutamanya yang menyentuh soal amar makruf nahi mungkar" (bekas Mufti Wilayah, Datuk Hashim Yahya)

"Allahyarham ialah seorang ulama yang cukup gigih, berani, tegas dalam berdakwah sehingga disegani kawan dan digeruni lawan. Malah sepanjang beliau berkhidmat dahulu pun, beliau sanggup menegakkan kebenaran Islam tanpa memikirkan apa yang bakal dihadapi kesan daripada tindakannya itu." (Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria)

Wednesday, January 30, 2008

Dato Hj Ishak Baharom dalam kenangan

Pada tanggal 16 Mac 1998 Harakah melalui “English Section” nya telah menerbitkan artikel saya yang berikut di muka depannya:

The Selangor Mufti – The Changing of the guards

Saya menulis berkenaan pengumuman Mufti baru oleh kerajaan negeri Selangor berikutan pemecatan ke atas Mufti sebelumnya iaitu Dato Ishak Baharom. Saya menulis:

The former soft spoken and friendly Mufti Dato Ishak Baharom is a legend that could not be easily forgotten nor replaced. He shall go down in the annals of Selangor and Malaysian history as the first and only Mufti who was terminated for upholding the true teachings of Islam.



Dalam artikel tersebut juga saya menonjolkan beberapa contoh keberanian Dato Ishak dalam menegakkan kebenaran walaupun terpaksa menanggung risiko yang tinggi. Salah satunya adalah semasa keluar dalam program popular ketika itu Forum Perdana Ehwal Islam. Saya menulis:

Once during a forum in Bangi the moderator, Dr Hasan Ali, posed a question to all the panelists on their views regarding those who belittle and make fun of the Hudud Laws. Dato Hj Ishak being one of the panelists without any hesitation applying the Quran and Sunnah, labelled these groups as murtad in the first instance. Another panelist, Dr Harun Din later remarked that never in his personal experience has he heard a daring and straight forward remark ever been given by any Mufti in Malaysia.

Dato Ishak ketika itu telah dipecat walaupun kerajaan negeri sebenarnya baru sahaja memperbaharui kontraknya untuk satu penggal yang baru. Alasan yang diberikan kononnya faktor usia. Saya menulis:

In one ceramah in Subang Airport Mosque he revealed that his contract did expire but it was renewed earlier on for another term and if age factor was the reason, then there are a few more Muftis who should also be asked to leave. A Mufti in one state is almost 80.

Dan dipenghujung artikel itu saya menulis:

Right now Selangor has lost the services of a noble and distinguished aleem. Though Dato Hj Ishak might no longer be the Mufti officially, in the eyes of the rakyat in Selangor and dep in the hearts of many he shall always remain one.

Siang tadi kira-kira jam 3.00 petang Dato Hj Ishak Baharom telah pulang ke rahmatullah pada usia 80 tahun akibat komplikasi tekanan darah. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh ulamak besar ini, Alfatihah.

Rashid SPR nak saman rakyat!

Sekali lagi Rashid Abd Rahman, Pemgerusi SPR tidak dapat bertahan dari mengawal mulutnya. Hari ini dalam akhbar The Star beliau kononnya meminta kerajaan memberikannya lebih kuasa untuk menyaman para pembohong yang katanya mendakwa pilihan raya dalam Negara kita tidak bebas dan adil.

EC wants power to sue “liars”

demikianlah tajuk laporan akhbar The Star itu.

Kata Rashid lagi mereka yang mendakwa pilihan raya yang dijalankan di Malaysia tidak adil sebenarnya dalah penderhaka kepada Negara.

Nampaknya semakin dekat pilihan raya, Rashid semakin menunjukkan belangnya. Sya rasakan lebih wajar beliau selaku pengadil besar dalam proses pilihan raya Negara ini mengunci mulutnya dan duduk dian-diam menjalankan tugasnya. Kalau beginilah telatahnya, bayangkan bagaimana pula beliau selepas parlimen dibubarkan nanti.

Dalam pada itu Rashid turut berleter berkenaan dengan kawalan terhadap media terutama semasa kempen pilihan raya.

Saya melihat Rashid ini memiliki kecenderungan untuk tidak berlaku adil jika beginilah aksinya dan parti-parti pembangkang perlu menyediakan apa sahaja “senjata” perlu bagi menghadapi si mulut besar ini. Memang media selama ini semasa kempen pilihan raya melacurkan diri mereka untuk BN, takkanlah Rashid tak tahu. Dari beliau sibuk minta kuasa nak menyaman orang lebih baik beliau minta kuasa untuk bertindak terhadap media.

Pilihan raya 1990 dahulu, takkan Rashid yang ketika itu Setiausaha SPR tak ingat, pada hari mengundi semua akbar saluran perdana memaparkan gambar Ku Li dngan tanjak “salibnya” di muka depan mereka. Apa yang SPR lakukan. Malah hari ini pun semua akhbar saluran perdana memiliki ruangan pra pilihan raya. Cuba kita hotung berapa berita yang “pro” pembangkang terkandung dalam laporan-laporan itu?

Rashid mahu kuasa lebih saman rakyat, rakyat mahu kausa lebih jahit mulut Rashid!

Tuesday, January 29, 2008

Kerajaan BN pimpinan Dollah “lemah”: Tun Dr M

“Saya masih tidak bersetuju dengan beberapa dasar beliau (Dollah) terutama dalam membenarkan Malaysia tunduk mengikut kemahuan Singapura”, begitulah kenyataan terbaru bekas PM Tun Dr Mahathir. Tun membuat kenyataan tersebut dalam satu temuramah khas bersama wartawan asing sempena pelancaran buku beliau yang dijadulkan esok.





Kata beliau lagi kita (Malaysia) tidak lagi bebas sebagaimana dahulu terutama dalam menyatakan sikap terhadap isu-isu antarabangsa. Kenyataan ini merupakan tamparan hebat ke atas imej PM Dollah Badawi, seolah menggambarkan yang beliau gagal dalam isu-isu antarabangsa. Sememangnya isu-isu besar terutama di Palestin, Iraq dan Afghanistan seakan dibiarkan begitu sahaja walaupun kita memegang kerusi Pengerusi OIC.

Tun turut mengulas tentang pilihanraya umum yang bakal menjelang.
Katanya kerajaan “lemah” yang ada pada hari ini dijangka terus menang namun tidaklah dengan majority sebesar sebelum ini. Masannya sudah tiba bagi rakyat untuk memberikan “signal” kepada BN.

Apabila ditanya patutkah PM Dollah memberi laluan kepada pemimpin yang baru, kata Tun terpulanglah kepada beliau untuk memutuskan. Rakyat juga boleh membantu, dengan membuat keputusan (pada pilihan raya umum ini).

Perkembangan terbaru ini saya yakin makin mengusutkan lagi BN dan kepimpinan Dollah. Bayangkan apabila orang yang beliau gantikan tidak lagi memberikan keyakinan terhadap kepimpinan beliau, dan itu baru dalam tempoh tak sampai 5 tahun! Dulu kalau kita ingat Almarhum Tunku Abd Rahman pun pernah menyerang kerajaan Tun Dr M, tetapi Tun tidak menggantikan Tunku. Tunku digantikan oleh Tun Razak dan kemudiannya Tun Hussien dan kemudian baru Mahathir.

Oleh itu krisis keyakinan terhadap kepimpinan Dollah ini hendaklah terus didedahkan, semoga rakyat semuanya dapat sedar dan akhirnya bersama membawa perubahan demi kebaikkan Negara dalam pilihan raya akan datang.

Demi Ketua Rempit Ustazah bakal tersungkur

"Siapa kata rekod saya buruk" demikianlah tiba-tiba reaksi ahli Parlimen Baling Dr Mashitah Ibrahim sebagaimana dipaparkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini. Dalam demam pilihan raya ini tiba-tiba "ustazah glamour" yang pernah mengalahkan bekas Imam Besar Masjid Negara itu kelihatan berada dalam keadaan defensif. Malah katanya lagi, beliau bersedia mempertahankan kerusi parlimennya itu.






Kenapa angin tidak bertiup, tiba-tiba pohon di Baling ini boleh bergoyang?

Kini barulah beliau barangkali sedar jangan sekali-kali mengambil senang gelora dalam Umno terutama apabila tiba pilihan raya. Kalau semasa pemilihan dalam parti pun ada sampai berbunuh-bunuhan (kes di Gemenceh dulu angkara berebut jawatan), berpatah arang dan berkerat rotan, inikan pula nak melobi menjadi calon.

Mungkin semasa 2004 lalu "Ustazah glamour" ini berguna bagi mematahkan pengaruh PAS dan menumbangkan bekas Imam Besar Masjid Negara, tetapi hari ini segala-galanya sudah berubah. Mungkin bekas Imam Besar Masjid Negara akan cuba mencabar lagi, tetapi "Ustazah galmour" sudah tidak berapa penting lagi. Kini masanya untuk menaikkan kroni dan kawan-kawan rapat. Kalau ada yang menghalang hatta Ustazah atau siapa sahaja sekalipun, maka mereka itu tidak akan terkecuali dari dicantas.

Semasa Perhimpunan Umno lepas, semasa melancarkan majalah Pemuda Umno Ketua Putera Umno berucap:

Mat Rempit dan Minah Rempit hari inilah yang bakal menjadi pemimpin pada tahun 2020 nanti

Jadi kalau "Ustazah glamour" menghalang, Ustazah pun akan dirempuh oleh Ketua Mat Rempit tak kiralah rekod baik atau buruk. Demikianlah hakikatnya menjadi pemimpin dalam Umno. Maka merayulah Ustazah tadi, tetapi hanya yang rapat dengan pemimpin yang akan memutuskan. Mudah-mudahan Ustazah tidak diketepikan begitu sahaja.

Tolak calon-calon "batang pisang"

Pengarang Kumpulan NST Syed Nadzri dalam ruangannya di akhbar tersebut hari ini menulis di bawah tajuk:

Of banana trunks, songkok and the polls

Ternyata kehangatan bahang pilihan raya terus mendapat tempat dan ruang dalam media arus perdana. Tulisan Syed Nadzri yang terbit hari ini tidak terkecuali. Beliau mengulas satu kenyataan yang lazim didengar di desa dan kampung apabila sahaja memperkatakan darihal calon Umno dalam pilihan raya. Ianya dipopularkan di negeri "benteng" Umno iaitu Johor oleh bekas MB nya Allahyarham Tan Sri Othman Saat. Yang dimaksudkan adalah ungkapan:

Umno kalau letak calon batang pisang pun boleh menang.

Sebelum ini bekas PM Tun Dr Mahathir pun pernah mengulas bahawa persepsi dikalangan orang-orang Melayu memanglah begitu, bahawa letak tunggul kayu pun ia boleh menang asalkan ia calon Umno!

Tanggapan ini menjadi popular barangkali sejak 1959 (pilihan raya umum pertama selepas Merdeka) oleh kerana realitinya ketika itu (kecuali di Kelantan dan Terengganu) Umno ini memang gagah dan sinonim kepada orang-orang Melayu. Orang-orang Melayu hanya mengenal Umno, menentang Umno seakan satu tindakan durhaka kepada bangsa, agama dan negara. Parti yang lain walau dipimpin oleh "tok wali" mana sekalipun, namun jika namanya bukan Umno maka ia akan ditolak orang Melayu, kecil atau besar, tua atau muda, kaya atau miskin.

Walaubagaimanapun sejak kebelakangan ini fahaman ini semakin longgar dan luntur sehingga tulis Syed Nadzri ,mendorong Presiden Umno Dollah Badawi sendiri untuk berkata:

Zaman letak songkok pasti menang dalam pilihan raya kerana bertanding atas tiket BN sudah berlalu.

Khabarnya menurut satu kajian yang dibuat oleh parti berkenaan, 60 peratus responden berpandangan bahawa mereka akan mengundi berdasarkan kewibawaan atau kredibiliti sesorang calon dan tidak lagi buta-buta kerana partinya. Jika benar demikian maka Umno perlu bangkit dari zon keselesaannya dan terpaksa melakukan "overhaul" dan perubahan besar, sesuatu yang pasti sukar dalam parti yang telah berdarah-daging dengan kepercayaan tahyul bahawa orang Melayu tidak sekali-kali akan membelakangkang mereka walau dalam apa keadaan sekalipun, bagaikan kata-kata Laksamana Hang Tuah:

Takkan Umno hilang di dunia!

Saya berbangga jika benar demikianlah pendirian orang Melayu hari ini. Bermakna mulai pilihan raya akan datang orang-orang Melayu tidak lagi taksub pada satu-satu simbol atau parti. Orang Melayu kini sudah bersedia untuk mengundi berdasarkan kewarasan pemikiran mereka dan tidak lagi pada hawa nafsu dan sentimen melulu. Orang Melayu kini akan menyaring,mengkaji dan menapis calon-calon yang bertanding. Pilihan mereka hanyalah pada calon yang bersih, berakhlak mulia dan bermoral tinggi.

Dalam ertikata lain orang-orang Melayu akan memberikan kepercayaan kepada calon-calon (tidak kira parti) yang bertaqwa, iaitu takut kepada Allah dan tidak kepada manusia, harta benda atau pangkat dan kedudukkan. Calon-calon pilihan adalah mereka yang mampu berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara secara tulus dan ikhlas dan tidak rasuah serta menyalahgunakan kuasa, apalagi hidup berfoya-foya, maksiat dan seumpamanya. Benarkah demikian?

Tidak salah untuk kita berharap demikian (disamping berdoa), jika berlaku insyallah tertebuslah maruah bangsa dan agama yang selama ini tercalar angkara pemimpin bongkak yang terus-menerus bertanggapan seperti di atas.

Ayuh kita tpastikan ditolak kali ini calon-calon batang pisang, tunggul kayu dan bersongkok (semata-mata) tak kira dari mana!

Fakta berkenaan Mydin salah?

Artikel saya "Mydin terus menyokong Kelantan" menerima rekasi berikut dari seorang pengunjung Blog ini, Sdr Ahmad Nizam A Rahman:

Sejak bila plak Mydin diasaskan di Kelantan nih ? Tak betul kenyataan ni. Perbetulkan kenyataan anda. Kalau pun buku yang salah, anda perlu menyelidik, dimana Gedung Mydin ini di asaskan ? Setahu saya, sebelum Mydin dibuka di Kota Bharu, sudah pun ada di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur. Lagipun, kalau nak dibandingkan, Mydin lebih mendapat keuntungan besar apabila membuka gedung hypermarket di Kuala Terengganu. Perkembangan yang baik jika buka di Kelantan. Memajukan sektor industri konsumer di Kota Bharu, selain memberi pekerjaan "tahap rendah" kepada orang Kelantan.01.29.08 - 8:29 am

Terima kasih di atas komen Sdr. Saya sebenarnya menulis artikel di atas berdasarkan maklumat dari sebuah akhbar "online" negara yang memetik kenyataan Datuk Ameer Ali Mydin sendiri. Ia bukannya datang dari mana-mana buku dan mustahil Pengarah Urusan Mydin sendiri tidak tahu akan sejarahnya sendiri.

Walaubagaimanapun komen Sdr itu mendorong saya untuk memperolehi maklumat tambahan. Saya tidak tahu mana rujukkan sdr. tetapi harap kunjungi laman web syarikat tersebut di www.mydin.com.my . Sila klik ke "company profile" dan kemudian "history". Di sana tertulis:

MYDIN and its first store was introduced by Tuan Mydin Mohamed in 1957. The first store started by selling toys from Thailand in Kota Bharu, Kelantan. The second branch in Kuala Terengganu in 1979

Dan saya harian kenapa sdr. menganggap tawaran Mydin untuk memberikan peluang pekerjaan kepada lebih 3,000 anak Kelantan sebagai "pekerjaan tahap rendah". Modal utama Umno selama ini kononnya kerajaan PAS tidak mampu merangsang ekonomi sehingga membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak negeri lalu ramai anak Kelantan berhijrah ke luar Kelantan. Tiba-tiba bila ada peluang, kenapa kita pandang rendah pula? Atau memang kita pandang semuanya negatif?

Saya pernah mendengar komen Tengeku Razaleigh Hamzah ketika merasmikan program "Little Kelantan" di Jalan Cochrane tak berapa lama dulu. Kata Ku Li anak-anak Kelantan yang ramai di Lembah Kelang ini, akan pulang ke Kelantan apabila ada "Raya". Pertama Hari Raya dan kedua Pilihan Raya. Mereka inilah kata Ku Li bila pulang berpilihan raya akan mengundi PAS!

Monday, January 28, 2008

Mydin terus menyokong Kelantan

Gedung perniagaan Mydin atau Mydin Wholesale Emporium Sdn Bhd akan membuka hypermarket yang terbesar di Malaysia di negeri dimana ianya diasaskan iaitu di Kelantan.

Pengarah Urusannya Datuk Ameer Ali Mydin telah menandatangani perjanjian dengan Tunjong Development Corporation Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan bagi membina sebuah gedung bernilai RM100 juta di atas tanah seluas 7.2 hektar. Gedung itu nanti berkeluasan 650,000 kaki persegi dan akan memberi peluang pekerjaan kepada lebih 3,000 orang rakyat negeri tersebut.





Menurut Datuk Ameer memandangkan gedung beliau dilahir dan diasaskan di negeri ini maka logiklah gedungnya yang terbesar dibina di negeri Kelantan. Kerja-kerja tanah dijangka dimulakan Julai ini dan gedung tersebut dijangka beroperasi bermula Juali 2009.

Syabas diucapkan kepada Mydin, satu-satunya hypermarket yang masih dikuasai dan dimiliki oleh anak tempatan dan kini bertapak dan terus maju di seluruh Negara termasuklah di Kelantan. Rupanya Kelantan yang tiada kemajuan, miskin, terkebelakang mampu menarik minat pelabur tempatan, dan gedung baru Mydin ini adalah bukti hidup kepada semua terutama yang memandang serong bahwa Kelantan juga mampu maju dalam rangka Membangun Bersama Islam!

Kerajaan Malaysia keenam paling cekap di dunia!

Ramai yang ternanti-nanti perjumpaan kakitangan awam dengan Perdana Menteri yang dijadualkan hari ini sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam kelapan tadi. Ada yang yakin ketika perjumpaan itu nanti, demi meringankan beban yang ditanggung oleh kakitangan awam ekoran kenaikkan kos hidup, PM Dollah Badawi akan mengumumkan pembayaran honorarium kepada semua kakitangan awam sebagaimana yang dituntut CUEPACS.

Memandangkan kerajaan tidak membayar bonus pada hujung tahun lalu, CUEPACS telah menuntut agar kerajaan sebaliknya membayar honorarium kepada semua kakitangan awam iaitu sebanyak RM2,000.

Dengan kenaikkan kos hidup yang ternyata menekan itu, kenaikkan gaji kakitangan awam tahun lepas jelas tidak mencukupi untuk membantu kakitangan disektor ini berhadapan dengan harga barangan dan perkhidmatan yang terus-menerus naik.

Lalu apabila berjumpa di Putrajaya siang tadi saya dapat membayangkan betapa hancurnya hati seluruh kakitangan awam apabila PM tidak pun menyentuh berkenaan tuntutan berkenaan. Apa yang disebut adalah bahawa kerajaan Malaysia adalah yang keenam paling terbaik di dunia dari sudut kecekapan menurut World Competitiviness Year Book yang dikelaurkan oleh IMD yang berpusat di Switzerland.

(* saya tarik balik para ini kerana tersilap petik, harap maaf - Roslan SMS)

Apa pun yang patut menerima kredit bagi saya adalah kakitangan awam, jika benar sudah baik maka wajarlah kerajaan berbelanjan untuk mereka. Malah CUEPACS puns ebelum ini telah menyatakan jika tidak dapat RM2,000 dapat RM1,000 pun tidak mengapa asalkan ia diberi dan meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.

Saya tidak pasti apakah pengumumannya, jika ada, sengaja dilewat-lewatkan sehingga menjelang pilihan raya atau memang tidak ada? Inilah perkara pokok yang perlu diberi perhatian kepada mana-mana kerajaan yang mahu berjuang untuk kebajikan rakyatnya. Mungkinkah Negara Berkebajikan yang mahu diperjuangkan PAS bakal mengambil kira perkara ini?

Anwar dan Permatang Pauh

Kerusi Parlimen Permatang Pauh adalah merupakan kubu kuat Dato Seri Anwar Ibrahim sejak beliau menyertai Umno dan kini disandang oleh isterinya Dr Wan Azizah. Dan sejak pilihan raya 1999 kerusi tersebut terus kekal dan kini merupakan satusatunya kerusi Parlimen milik PKR.
Umno kelihatan mengasak dan memberikan tumpuan yang besar terhadap kerusi Parlimen ini. Semalam Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia mengumumkan bahawa Ketua Pemudanya Hishamuddin Tun Hussien telah dilantik sebagai "bapa angkat" atau penyelaras jentera pilihan raya umum Permatang Pauh. Demikianlah hebat dan bersemangatnya Umno mahu menundukkan Ketua Umum PKR itu.

Saya merasakan dari menjadi "bapa angkat" kalau benar-benar "jantan" sepatutnya Hishamuddin bertanding sahaja di Permatang Pauh barulah boleh dikira pendekar muda yang gagah. Kalau sekadar "bapa angkat" sahaja tidak bermakna, dan malah ia merupakan penghinaan kepada rakyat di Permatang Pauh, apa perlu rakyat di Permatang Pauh kepada seorang bapa yang datangnya dari luar Pulau Pinang?

Selain memberi tumpuan kepada kerusi berkenaan saya perhatikan juga serangan terus dilancarkan oleh Umno terhadap Anwar. Di Ipoh semalam Ketua Penerangan Umno Malaysia Muhammad Mohd Taib telah menyifatkan Anwar sebagai "Ketua Kuman". Kononnya Anwar sedang menyibarkan kuman dimerata-merata untuk merosakkan nama baik parti pemerintah dan kerajaan.

Sebelum itu Khairy pula menyifatkan Anwar pula sebagai "badut" dalam arena politik tempatan. Senafas dengan Mat Taib, Khairy mengatakan sungguhpun Anwar laksana "badut" di sini, di luar negara beliau sibuk memperlekeh dan memburuk-burukkan imej negara.

Seorang panggilnya "ketua kuman", seorang lagi panggilnya "badut" apa pun realtinya bagi saya Umno termasuklah Mat Taib dan Khariy kesemuanya takut pada Anwar. Kalau benar Anwar ini sebagaimana yang mereka dakwa itu, maka benarkanlah ia bertanding lalu boleh nanti Umno jika benar hebat mengalahkannya digelanggangnya sendiri secara demokratik. Sebaliknya kesungguhan untuk memanggil pilihan raya awal seawal Mac, adalah bukti "ketua kuman" dan "badut" ini sebenarnya adalah ancaman pada Umno, dan tidak mustahil memiliki kemampuan bukan hanya mempertahankan Permatang Pauh malah merobohkan keangkuhan dan kesombongan Umno dan BN selama ini.

Lalu atas kebaculan Umno, maka pilihan raya terpaksa dipanggil awal bagi menafikan Anwar hak untuk bertanding. Dollah, Mat Taib, Khairy dan lain-lain tak perlulah beri alasan yang Anwar bukannya faktor dalam menentukan tarikh pilihan raya. Jikla benar ia dipanggil pada bulan Mac, maka yang nyatanya Umno dan pemimpinnya semua bacul belaka, dan hanya berani menyerang dari belakang dan tidak melalui pintu hadapan.

Lawan tetap lawan!

TERKINI DARI WTV8

Anda boleh dapatkan klip-klip video terkini WTV8 di manggatv.com dengan melayari http://www.manggatv.com/



Antara klip terbaru yang boleh didapati adalah:

1) Nik Aziz ziarah keluarga Sharlinie
2) Habeas Corpus Hindraf 5
3) Anwar mahu Bantu Suruhanjaya Di Raja

Disamping klip lama “Eksklusif Bersama Raja Petra” yang masih hangat dan diminati ramai. Jadikan WTV8 Saluran Alternatif Anda!

http://www.wtv8.tv/

Sunday, January 27, 2008

Zam terkubur di Merbok ditangan Umno bukan BA

Lobi-melobi dan cantas-mencantas dalam politik Umno semakin membuak-buak dan hangat membahang ekoran semakin hampirnya tarikh pilihan raya. Bukan pembangkang seperti PAS atau PKR atau DAP yang memperkatakan isu ini tetapi akhbar-akhbar media perdana milik BN dan kaum kerabatnyalah yang mensensasikan isu itu barangkali terdorong juga oleh lobi mereka-mereka yang kuat mempengaruhi masing-masing media.

Memandangkan Umno telah menangguhkan pemilihan dalam partinya, maka perhatian semua kini tertumpu kepada kemamapuan masing-masing pemimpin untuk layak dinaikkan sebagai calon BN. Inilah masa dan ketikanya bagi mereka yang memegang teraju dalam parti khasnya Umno untuk memilih siapa-siapa yang mereka rasakan akan menguntungkan masadepan politik mereka dan mencantas sesiapa sahaja yang lebih merupakan biawak hidup atau sudah tersenarai dalam mereka yang “lawan taukeh”.





Sesiapa sahaja yang dicalonkan nanti dan menang sebagai wakil rakyat Umno, maka laluan mereka untuk menguasai parti diperingkat bahagian akan menjadi lebih mudah. Takkanlah contohnya ahli parlimen sesuautu kawasan itu tidak nanti ditabalkan sebagai sekurang-kurangnya Ketua Bahagian Umno.

Politik lobi-melobi dan cantas-mencantas ini adalah mainan dalam gelanggang Umno.

Tiba-tiba hari ini bila ada desas-desus kononnya Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin tidak akan dicalonkan semula untuk bertanding di kerusi Parlimen Merboknya di Kedah, anak Kedah berketerunan Melayu/India ini terus melenting sambil berkata sebagaimana dipetik dalam Mingguan Malaysia:

Ini semua kerja pembangkang. Dia pi (pergi) bohong kata kita nak tangguh atau takut pilihan raya. Pada hal, pemimpin mereka sendiri yang takut dan buat cerita macam-macam.

Kenapa sampai begitu jauh sekali pergi lentingannya itu?!

Saya percaya parti-parti pembangkang lebih berminat bertempur dengan beliau di Merbok berbanding dengan calun baru sebab sudah pasti banyak rekod dan tindakkan beliau selama ini yang boleh didedahkan kepada pengetahuan rakyat. Pembangkang tidak ada masa untuk berpoltik dalam hal ini, janganlah Zainuddin buat-buat atau reka cerita. Pada saya yang heboh melaga-laga dan membakar isu ini adalah kalangan di dalam kelambu beliau sendiri di Merbok itu. Jaga Zainuddin, berbilah-bilah keris Umno di Merbok sedang dihunus untuk menikam belakang anda.

Semoga BA akan bertemu beliau di Parlimen Merbok nanti.

(Khabarnya kata Zainuddin kali ini beliau akan menghilangkan wang pertaruhan calon BA, hebat mengalahkan hero filem Tamil!)

Saturday, January 26, 2008

Mansuh sahaja Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan!

Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin bahawa setiap warganegara Malaysia berhak bersuara dan mengeluarkan pendapat disamping berhak berhimpun secara aman. Inilah asas atau tunjang sistem demokrasi yang kita amal dan pertahankan dalam negara kita selama ini. Sekiranya hak ini disekat, sekiranya hak ini dikenakan dengan pelbagai syarat dan peraturan kecil yang tidak munasabah, maka peruntukkan hak asasi yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan negara Malaysia yang Merdeka ini sekadar alat soleh untuk mencomelkan para rupa yang pada hakikatnya hodoh bagaikan jembalang.

Sebentar tadi Himpunan Aman PROTES telah digagalkan oleh kuasa yang ada pada pihak polis, kononnya bersandarkan pada perintah mahkamah yang diperolehi, yang melarang perhimpunan itu.

Berpuluh-puluh pimpinan NGO dan parti-parti politik yang cuba berhimpun untuk menjayakan program tersebut telah ditahan antaranya Sdr Muhammad Sabu, Sdr Tian Chua, Dr Hatta Ramli, Dr Badrul Amin, Sdr Arultchelvan, Dr Dzulkifli Ahmad dan ramai lagi.

Hakikatnya kos hidup dan harga barangan serta perkhidmatan telah meningkat dan menjejaskan kehidupan rakyat. Dan dengan kenaikkan harga minyak yang dijangka diumumkan tidak berapa lama lagi, kos hidup akan terus melambung dan menghimpit kehidupan rakyat. Atas dasar ini rakyat keluar menyatakan bantahan mereka, itupun salah? Itupun sudah tidak dibenarkan lagi? Mereka bukannya keluar dengan senjatapi atau besi, kayu dan parang. Mereka keluar dengan tangan kosong atas keyakinan hak mereka untuk bersuara dan berhimpun dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pada saya kerajaan ini tidak bermaruah kerana telah memperkosa hak kepunyaan rakyat itu. Kalau beginilah kerajaan BN maka masukkan sahaja dalam manifesto mereka nanti bahawa kerajaan BN akan memansuhkan samasekali Artikel 10, bukankah lebih mudah dan terang.

Tahniah BN hari ini Artikel 10 telah berjaya kamu perkosa dan bunuh mati!

Lobi-melobi semakin hangat dalam Umno

Semakin hampir pilihan raya semakin cemas parti-parti politik dalam memastikan kesediaan jentera masing-masing serta beresnya urusan calon dan pembahagian kerusi. Di media arus perdana, yang cuba digambarkan adalah kononnya gelabah parti-parti pembangkang PAS, PKR dan DAP. Kononnya kemungkinan pihak itu dan ini memboikot dan ada kerusi yang bakal ditandingi tiga penjuru.

Sebenarnya itu semua adat resam berpolitik di Malaysia dan malah dalam kem BN pun tidak terkecuali. Bagi parti-parti pembangkang disaat-saat ini lebih cepat mereka bersedia sebagaimana PKR dan DAP umumkan darihal selesainya pembahagian kerusi antara mereka di Pulau Pinang baru-baru ini, lebih baik pandangan rakyat terhadap mereka.

Umumkan satu negeri ke satu negeri dan akhirnya peringkat kebangsaan semuanya selesai sebelum BN umumkan tarikh pembubaran parlimen, jika mampu begitu pastinya licin dan cantik, dan barulah rakyat yakin dan mula menaruh harapan.

Sejak kebelakangan ini di dalam kandang Umno masing-masing heboh memperkatakan darihal pemimpin itu dan ini akan beralih kerusi dari DUN ke Parlimen dan sebaliknya. EXCO Johor Halimah Sadique contohnya dipaparkan di muka depan Utusan baru-baru ini akan beralih ke Parlimen dari kerusi DUN nya. Mungkinkah beliau bakal dilantik sebagai Timbalan Menteri atau Menteri Penuh, entahlah?

Tetapi antara MB yang dikatakan akan beralih ke Pusat adalah MB Pahang, Perlis dan Selangor. Masing-masing seakan membayangkan kesediaan untuk meninggalkan “power base” maing-masing diperingkat negeri, tetapi adatlah, mana ada MB Umno yang mahu meninggalkan kuas besar yang mereka pegang diperingkat negeri untuk beralih ke Pusat. Di Pusat belum tentu lagi nasib mereka.

Jangan contohnya Adnan atau Shahidan atau Khir jika berlaku peralihan bercita-cita nak terus jadi Menteri. Belum tentu lagi. Mereka harus tinjau apa yang pernah berlaku pada MB dan Ketua Menteri sebelum ini yang dibawa ke Pusat. Dizaman Tun Dr M contohnya apabila Ramli Ngah Talib ditarik dari Negeri ke Pusat, belia membayangkan akan jadi Menteri Kabinet, tiba-tiba disepak sebagai Timbalan Menteri, duduk pula di bawah ketiak Menteri MCA!

Jangan lupa nasib yang menimpa Ketua Menteri Melaka, Abu Zahar Isnin. Beliau menyangka bila Tun Dr M tarik beliau ke PUsat maka sudah pastilah beliau akan merasa kerusi kabinet. Rupa-rupanya Menteri tidak Timbalan Menteri pun tidak, beliau diterajang memegang jawatan Setiausaha Parlimen. Bayangkan dari taraf Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, jatuh menjadi Yang Berhormat Setiausaha Parlimen, kasihan.

Khir agak-agaknya kalau ditarik ke pusat jadi apa?

Kerana itulah disaat ini lobi-melobi dikalangan Umno dikatakan sangat hangat. Siapa yang kenal PM akan gunakan kabel PM, kalau tidak guna kabel isteri PM, kalau tidak guna kabel menantu atau anak PM. Sampai tukang bawa fail dan tukang gunting PM pun khabarnya tidak terlepas dari turut dilobi lantaran kecamuknya politik mengejar kuasa dan kedudukkan dalam Umno dan BN.

Kesimpulannya ramailah nanti yang akan menjadi “casualty” atau mangsa dalam percaturan kuasa sesame Umno ini. Yang cedera dan gugur pasti akan mebalas dendam, yang masuk senarai orang-orang PM pasti akan menari-nari melonjak gembira. Bagi rakyat yang prihatin dan tahu akan isu yang terpapar di hadapan kita, teruskan tugas dan tanggugjawab masing-masing. Tuntutan untuk perubahan “total” telah tiba masanya, jangan berlenggah lagi!

Jangan kerana Feng Shui Dollah panggil pilihanraya bulan Mac

Semalam semasa ditemuramah oleh CNN di Daovs PM Dollah Badawi kononnya membayangkan akan memanggil pilihan raya awal. Beliau berkata adalah baik bagi kerajaannya untuk mendapatkan mandate dari rakyat bagi meneruskans egalan program pembangunan yang dirancangnya. Jika kita masih ingat semasa ditemuramah secara eksklusif oleh Anuar Zaini satu ketika dahulu Dollah pernah menyatakan bahwa beliau jika diumpamakan bagais eorang epmain bolasepak, baru sahaja masuk ke padang. Maksudnya belum “warm up” lagi, oleh itu beliau perlu sedikit masa, janganlah mengharapkan sesuatu yang terlalu cepat dari beliau.

Kini beliau sudah hampir ke “maghrib” penggalnya, bukan lagi peringkat “warm up”, masing-masing menunggu wisel penamat ditiupkan, tiba-tiba Dollah meminta “extra time” kerana program pembangunannya memerlukan masa dan tempuh yang lebih untuk dilihat keberkesannya.

Begitulah PM kita, apa nak dihairankan. Cumanya kita berharap, apa pun waktu pilihan Dollah, beliau seharusnya berani berhadapan dengan lawannya secara “gentleman”. Kalau mahu panggil pilihan raya awal sekalipun, biarlah semua pihak layak dan boleh bertanding mencabarnya. Janganlah panggil pilihan raya sedangkan Ketua Umum PKR Dato Seri Anwar Ibrahim, umpamanya tidak layak untuk bertanding!

Semasa ditemuramah CNN beliau menyatakan bahawa Anwar bukanlah faktor untuk beliau memanggil atau tidak pilihan raya. Baiklah kalau begitu panggil sahaja selepas April, biar Anwar layak. Jangan pukul dan serang beliau tetapi akhirnya tidak membenarkan beliau bertanding, itu bacul namanya.

Apa istimewanya Mac kalau nak disbanding dengan Mei 2008? Kecualilah Dollah mendengar nasihat pakar telek dan Feng Shui yang memang meramalkan bahawa sebaik-baik bulan untuk BN panggil pilhan raya adalah Mac, kerana bulan-bulan berikutnya dalam tahun “tikus” yang mendatang ini tidak baik buat BN.

Kalau Imam Hadhari dah dengar tukang telek dan Feng Shui, apa nak dikatakan, lawanlah sahaja bila tiba masnya nanti.

Friday, January 25, 2008

Esok kita PROTES di KLCC

Esok jam 3.00 petang PROTES akan mengadakan himpunan aman di hadapan KLCC. PROTES adalah badan yang memperjuangkan bantahan terhadap kenaikkan harga minyak dan barangan. Himpunan protes seperti biasa akan menyaksikan ucapan oleh pimpinan parti-parti politik dan NGO dan kali ini saya difahamkan suatu pementasan sketsa turut akan dilakukan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi telah membuat kenyataan bahawa pihak polis tidak akan membenarkan himpunan dianjurkan atas alasan tidak ada permit polis dikeluarkan. Pihak polis menganggap himpunan itu haram dan menasihatkan rakyat agar tidak mengambil bahagian.

Ini sudah pasti bertentangan dengan pendirian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia SUHAKAM yang sebelum ini telah menyatakan bahawa himpunan aman rakyat seperti yang mahu dianjurkan protes ini dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah dibenarkan berjalan dengan aman.

Kebetulan semalam di hadapan Istana Presiden Indonesi di Jakarta, warga Indonesia telah menganjurkan himpunan yang sama. Protesnya adalah protes terhadapa kenaikkan harga barang makanan dan inflasi yang turut melanda bumi Indonesia. Anehnya tidak ada pihak polis yang menganggu atau menghalang mereka walaupun berhimpun di hadapan Istana Presiden.






PROTES di Istana Presiden di Jakarta semalam




Kita mendabik dada mahu menjadi negara dunia pertama, setanding dengan negara maju yang lain, tetapi negara jiran nampaknya lebih demokratik dari kita dan pihak polisnya tidak pula mengasari dan menghalang-halang anak-anak bangsa dari bersuara.

Ayuh kita semua keluar beramai-ramai mengamalkan hak kebebasan kita. Ayuh kita berhimpun secara aman menjayakan PROTES esok di KLCC jam 3.00 petang.

Bloggers semua "sampah": Rafidah

Berita pertama yang menarik perhatian saya dalam akhbar tempatan hari ini adalah kenyataan Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz bahawa kritikkan pemilik-pemiliki blog terhadap kerajaan tanpa asas dan fakta semuanya adalah "pure rubbish" ataupun "sampah" belaka.

Saya membaca kenyataan ini sambil tersenyum kerana kalau rakyat yang mengatakan sumbagan para bloggers itu "pure rubbish", maka seharusnya ia mencetuskan kebimbangan dan kerisauan, tetapi apabila yang merungut dan berleter adalah Ketua Wanita Umno Malaysia, maka saya mahu mengambil kesempatan mengucapkan syabas kepada semua bloggers, ayuh kita menyumbang lagi kerana ternyata ianya begitu berkesan sehingga menganggu pemimpin sehebat dan seperkasa Rafidah!





Menurut Utusan Malaysia, Rafidah kononnya mendakwa bahawa parti-parti pembangkang "terpaksa" menggunakan internet kerana kononnya majlis-majlis ceramah pembangkang sudah tidak lagi mendapat sambutan. Dan kononnya lagi internet digunakan oleh pembangkang lantaran takut mahu mengkritik kerajaan secara terang-terangan kerana mahu mengelakkan disaman.

Rafidah perlu tahu ruangan internet sebenarnya adalah "extension" dari usaha rakyat Malaysia yang mahu menegak dan memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Parti-parti pembangkang dan NGO terus-menerus menganjurkan ceramah dan himpunan di seluruh negara, itu tugas dan tanggungjawab serta medan mereka. Internet adalah lapangan baru, lalu ia juga perlu digunakan jika ia dapat membantu dan memberi manfaat kepada perjuangan yang besar ini.

Jika apa yang diusahakan ini "pure rubbish" belaka tak perlulah Rafidah melenting kerana "sampah" itu adatnya busuk, dan manusia ini benci kepada apa sahaja yang busuk-busuk. Hakikatnya bloggers kini menerima kunjungan dan bacaan dari ribuan malah ada yang mencecah ratusan ribu pengunjung, di "forward" pula kepada puluhan dan ratusan ribu yang lain, dan ada yang dicetak dan diedar pula. Sebenarnya apa yang dihasilkan bukan "pure rubbish" tetapi mendedahkan "pure rubbish" yang diusaha dan dilakukan oleh Rafidah dan suku sakat kroni dan rakan-rakannya.

Rakyat yang membaca dan melayari blog-blog ini medapat tahu apa yang tidak dapat mereka ketahui dari media arus perdana. Jika ianya "pure rubbish" sudah pasti tidak ada sesiapa yang berminat, namun yang nyatanya ia semakin hangat dan dicar-cari rakyat. Oleh itu bukan bloggers yang perlu bimbang dan cemas, yang perlu bimbang dan cemas adalah esiapa sahaja yang mengeluarkan bau busuk seakan "pure rubbish" itu. Kami tidak tetapi yang rakyat tahu melalui sumbangan kami, bahawa yang busuk laksana "pure rubbish" itu adalah BN dan orang seperti Rafidah.

Terima kasih Kak Pidah.

Thursday, January 24, 2008

Dollah minta "extra time" dari rakyat

Beberapa bulan dahulu apabila ditanya oleh para wartawan darihal tarikh pilihan raya umum ke 12, PM Dollah Badawi pernah mengatakan bahawa beliau sedang menunggu "FEEL GOOD FACTOR" yang bakal menjelang sebelum mengumumkannya. Beliau membayangkan pentadbirannya bakal mencetuskan suatu suasana yang sangat meriah sehingga rakyat seluruh negara bakal memberikan mandat tanpa berbelah bahagi kepada beliau dan partinya.

Tidak dapat dinafikan yang pada pilihan raya umum ke 11 pada tahun 2004 lalu, BN telah diberikan mandat besar oleh rakyat, hasil dari peralihan kuasa dari Tun Dr M kepada Dollah. BN menang besar diperingkat parlimen dan negeri-negeri, berjaya menumbangkan PAS di Terengganu dan hampir sahaja berjaya menamatkan kuasa PAS di Kelantan.

Kini tahun 2008.

Semalam dalam akhbar The Star apabila Dollah ditanya apakah BN akan mengulangi kejayaan besarnya pada tahun 2004 itu, beliau menjawab, beliau tidak fikir BN akan begitu lagi. Menurut The Star:

"If I get it I will be very happy. But I am being very, very practical," he said adding that the 2004 result was overwhelming because of the leadership change when replaced Tun Dr M. "It was the a time of hope There was expectation that a lot of things would change, but we cannot change, I cannot change everything."

"Sekiranya saya dapat (menang besar sebagaimana 2004) saya akan gembira. Tetapi saya perlu lebih praktikal," tambahnya kemenangan 2004 lalu adalah kerana sokongan besar terhadap peralihan kuasa dari Tun Dr M kepada beliau.
"(Ketika itu) Ianya masa untuk meletakkan harapan. Terdapat banyak pengharapan yang banyak perkara akan berubah, tetapi kita tidak boleh ubah, saya tidak boleh ubah segala-galanya."


Saya tidak tahu bagi yang lain, tetapi bagi saya kenyataan Dollah ini memberikan pelbagai maksud dan makna. Pertama mungkin beliau mahu bermain "reverse psychology" dengan harapan menagih simpati. Apabila orang membaca luahan hatinya ini maka rakyat akan berbondong-bondong terus mengundi BN.

Kedua Dollah memang bermasalah. Kini beliau baru terjaga dans edar dari tidurnya, rupanya tidak ada apa-apa pengisian selama beliau memegang teraju selain mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tun Dr M. Selain itu tiada perubahan fizikal yang dapat dilihat atau disentuh selain projek-projek Tun yang dibatalkan. Yang ada cuma janji demi janji dan pelancaran program dan koridor itu dan ini, tetapi hakikatnya tidak ada apa yang telah tercapai!

Selain itu bagi saya jika Dollah tidak mengharapkan kemenangan sebagaimana yang tercapai pada tahun 2004, bermakna pembangkang akan mampu tambah kerusi. Ini juga bermakna "Manifesto Tawan Kelantan Annuar Musa" turut berkubur kerana jika "performance" PAS contohnya lebih baik dari 2004 (iaitu tahun paling buruk bagi PAS) bermakna PAS akan mampu mempertahankan Kelantan dan malah tidak mustahil pencapaiannya pada tahun 1999 dengan menawan Terengganu dan menang 27 kerusi Parlimen akan dapat diulangi.

Itu semua kerana Dollah sendiri mengakui tidak yakin akan dapat mengulangi kejayaan 2004 nya.

Kini Dollah merungut bahawa beliau perlukan lebih masa sebelum semua pelan dan perancangannya dapat berjalan dengan lancar dan baru mampu diliha rakyat. Oleh itu rakyat perlu berikannnya mandat baru untuk terus memerintah. Tak mengapalah minyak naik, tol naik, harga barangan naik, harga perkhidmatan naik, air dan elektrik juga naik, rakyat perlu berkorban yang pentingnya nanti kita menjadi bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Jadi kepada mereka yang boleh bersabar, bersabarlah. Dollah baru terjaga, berilah lebih masa kepada beliau, sama-samalah kita berkorban, boleh?

Tuhan hanya akan tolong BN dan MIC


Benarkah perayaan Thaipusam di Batu Caves semalam diboikot sehingga mengakibatkan bilangan yang hadir jauh berkurangan dari tahun-tahun sebelum ini? Khabarnya para penyokong Hindraf telah menjalankan kempen bisik-bisik agar penganut Hindu tidak meraikan Thaipusam di Batu Caves kerana beberapa faktor termasuklah bahawa AJK Kuil berkenaan telah membenarkan pihak polis masuk keperkarangan kuil terbesar di Malaysia itu semasa tercetus perhimpunan Hindraf tahun lepas. Juga kerana MIC telah mengambil-alih pengurusan dan peguasaan kuil tersebut sejak dari itu.


Kalau mengikut Presiden MIC Samy Vellu, kempen Hindraf itu gagal. Dan yang paling kuat menyokong kenyataan Samy itu tidak lain dan tidak bukan akhbar-akhbar yang didokong oleh Umno belaka, antaranya:
UTUSAN: SMS boikot tidak diendah
BERITA HARIAN: SMS hasutan tak jejas Thaipusam
SINAR: SMS boikot tak jejas Thaipusam, lebih sejuta kunjungi Batu Caves

Memang padanlah akhabr-akhbar Umno menyokong Samy Vellu, soal samada benar atau tidak berita mereka tidak penting, yang pentingnya Samy Vellu mesti terus dinobat sebagai Kapitan orang-orang India, kerana ia penting bukan hanya buat survival MIC tetapi juga buat Umno dan BN!

Saya pun sebenarnya mahu tahu juga, benar atau tidak penganut Hindu telah berjaya melancarkan boikot itu, merayakan Thaipusam bukan di Batu Caves tetapi di kuil-kuil lain. Kerana jika ia berjaya atau setidak-tidaknya berjaya mensusutkan bilangan yang hadir di Batu Caves, terbukti kesataun mereka itu kukuh dan bakal merupakan suatu kekuatan yang nanti mampu menggugat kestabilan politik BN.

Kalau kita baca akhbar-akhabr pro atau milik Umno di atas sudah tentulah kita akan menyimpulkan bahawa Samy Vellu dan MIC telah berjaya memecahkan tembok rintangan yang dibina Hindraf itu. Bagi saya memang saya membacanya, tetapi saya sekali-kali tidak pernah menaruh harapan apalagi keyakinan terhadap perkakas Umno itu.

Lihatlah berita yang dibawakan oleh THE SUN:

Smaller crowd at Batu Caves (Himpunan lebih kecil di Batu Caves)

Akhbar-akhbar NST dan The Star pula walaupun juga pro BN namun melaporkan:

For the first time in 40 years the Divine Life Society (DLS) has actually been forced to throw away the free food it gives out during the Thaipusam celebrations at Batu Caves. The DLS ashram, located next to the Batu Caves temple prepared food for 20,000 people but the lower than expected turnout meant some of the food would have been wasted. (NST)

Buat pertama kali dalam 40 tahun Perstauan Divine Life (DLS) telah terpaksa membuang makanan percuma yang biasa ia berikan semasa perayaan Thaipusam di Batu Caves. Ashram DLS terletak bersebelahan kuil Batu Caves dan telah menyediakan makanan percuma untuk 20,000 orang akan tetapi dengan kehadiran yang lebih rendah dari biasa ini telah mengakibatkan banyak makanannya dibazirkan begitu sahaja.(NST)

Devotees who went to Batu Caves yearly said the crowd this year was smaller than in previous years The said people were streaming freely through the gates of the Batu Caves temple when in the past the virtually could not move because of the crowd. Traders also said there was less business this year. (THE STAR)

Para penganut Hindu yang saban tahun mengunjungi Batu Caves mengakui bahawa himpunan tahun ini lebih kecil dari tahun-tahun sebelumnya. Kata mereka orang-ramai bergerak dengan selesa melepasi pintu pagar kuil Batu Caves sedangkan pada tahun-tahun sebelumnya tempat itu sesak dan padat. Malah para peniaga juga mengakui bahawa perniagaan pada tahun ini sangat berkurangan. (THE STAR)

Manakala berita lain pula melaporkan kuil-kuil di sekita Lembah Kelang selain Batu Caves kelihatan menerima kehadiran penganut Hindu yang luar biasa. Ini membuktikan yang terdapat sebahagian penganut Hindu telah benar-benar memboikot Batu Caves dan sebaliknya menjalankan upacara keagamaan mereka di kuil-kuil lain selain kuil besar itu.
Kerana itulah disamping cuaca yang panas semalam, antara yang turut terlebih panas selain kesan cuaca adalah Samy Vellu dan berkemungkinan barisan pimpinan MIC nya dan rakan-rakan dalam Umno. Thaipusam kali ini memberi isyarat bahawa masyarakat India yang beragama Hindu sudah mula dingin terhadap BN. Justeru itulah Samy kelihatan agak tidak selesa semalam sehingga berkata bahwa masyarakat India perlu melupakan terus kumpulan pembangkang kerana menggunakan agama untuk kepentingan politik (skrip yang sama yang telah lama digunakan oleh Umno terhadap PAS). Seterusnya sebagaimana dilaporkan oleh The Sun Samy berkata:

God knows what is happening and what we (MIC-BN) have done and he will only help MIC and BN.

BN sudah mula dipinggirkan, anda bagaimana?

Wednesday, January 23, 2008

Hanya kuasa Allah boleh mengembalikan adik Sharlinie

Sehingga ke hari ini kita masih tertunggu-tunggu lagi berita perkembangan kes culik adik Sharlinie yang nampaknya tidak menunjukkan sebarang kemajuan. Seluruh rakyat Malaysia yang prihatin masih menaruh harapan dan berdoa agar adik kecil yang tidak berdosa itu akan selamat pulang kepangkuan ibu-bapa mereka di Taman Medan.



Saya terkejut apabila terbaca dalam akhbar pagi ini bahawa serombongan 50 orang bomoh turut mengunjungi kediaman keluarga malang ini dan mengajak mereka ke tengah padang permainan di tempat dimana adik Sharlinie hilang dan telah melakukan beberapa “ritual” kebomohan dengan penyertaan ibu-bapa dan kaum keluarga yang malang itu.


Jika ya sungguh bomoh-bomoh ini mahu memberi khidmat, tidak perlulah sehingga mengambil kesempatan dari kesusahan kaum keluarga ini sehingga menyeret sama mereka melakukan upacara yang entahkan betul entahkan tidak itu. Saya tidak berani menyatakan yang ianya termasuk dalam amalan syrik tetapi apabila ia menjadi tontonan orang awam, apabila keluar di dada-dada akhbar, yang saya bimbang orang akan mempersendakan Islam yang kononnya toleran dan menerima jenis amalan bomoh seumpama ini.

Pagi tadi saya difahamkan MB Kelantan seawal jam 8pagi telah mengunjungi rumah keluarga berkenaan ketika penduduk Taman Medan masih berihat-rihat cuti Thaipusam. Tok Guru MB Kelantan singgah di masjid berdekatan mengerjakan solat tahiyatul masjid dan terus menuju ke rumah Sharlinie. Di sana beliau dan isteri bertanya khbara kepada ibu-bapa anak berkenaan. Tok Guru telah memberikan tazkirah ringkas sambil didengar dengan penuh teliti oleh kedua ibu-bapanya dan mereka yang hadir. Majlis diakhiri dengan doa oleh Menteri Besar Kelantan itu, saya kira satu-satu VVIP yang membaca sendiri doa sambil diaminkan oleh semua yang hadir.

Mudah-mudahan tazkirah dan doa Tok Guru itu menyuci sebarang amalan syihir (jika ada) oleh Tok-tok Bomoh sehari sebelumnya. Mudah-mudahan Allah swt mengembalikan Sharlinie berkat doa dan ikhtiar halal semua yang ikhlas dan prihatin.

Tuesday, January 22, 2008

Negara membangun rakyat miskin

Baru-baru ini semasa berucap di hadapan ribuan penyokong BN di Stadium Cheras PM Dollah Badawi mengumumkan yang kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi untuk membasmi kemiskinan dikalangan semua kaum di Malaysia. Jawatankuasa Kabinet ini dikatakan bermatlamat kemiskinan tegar sifar menjelang 2010.

Sesungguhnya menangani kemiskinan ini sesuatu yang sangat wajar terutama dalam kita mahu kejar status maju dan mahu berdiri sama tinggi dengan negara dunia pertama yang lain. Keutmaan sebuah negara Merdeka sepatutnya adalah membela nasib dan kebajikan rakyatnya. Tetapi beretorik dengan kononnya mahu menyifarkan kemiskinan dalam tempoh 5 tahun terlalu bongkak bunyinya, sedangkan di negara maju pun tidak sifar juga.

Berbalik isu kemiskinan di Malaysia, kalau kita mendengar dan asyik dipupuk dengan lagu-lagu enak dan merdu dendangan pimpinan negara saban hari, kita seakan dikhayalkan seolah negara ini serba maju dan makmur, semuanya senang dan mewah. Kita sedang merangsang giur rakyat dengan pelbagai projek pembangunan koridor seluruh pelusuk negara.

Dalam pada itu rupa-rupanya kemiskinan tegar masih menghantui sekelompok kecil rakyat.
Ketika ada CEO di Malaysia yang berelaun lebih dari RM100,000 sebulan dan memandu kenderaan bernilai lebih RM1 juta. Ketika ada ADUN yang membina mahligai bernilai RM8juta ringgit, bekas MB yang ditangkap dengan berkilo-kilo wang tunia. Rupa-rupanya masih ada rakyat Malaysia, anak-anak bangsa yang jatuh di bawah paras kemiskinan kerana berpendapatan kurang dari RM661 sebulan untuk yang di Semenanjung Malaysia.

Bolehkah dengan RM661 sebulan seorang yang berkeluarga katakanlah dengan dua orang anak hidup? Jangankan di Kuala Lumpur mungkin di Kuala Selangor pun si individu berkenaan pasti berhadapan dengan kesusahan. Dan malah jangankan RM661, sebarang angka di bawah RM1,000 pada pandangan saya bagi mereka yang berkeluarga, pasti akan berhadapan dengan kesusahan juga. Sewa rumah, bil air dan api, tambang dan belanja sekolah anak-anak, semuanya menghimpit dan menekan belaka.

Mungkin garis kemiskinan ini perlu dirombak semula, tak perlulah berretorik mahu sifar miskin tegar, sebaliknya ikhlas dan bersungguh-sungguh bekerja bagi menangani masalah besar ini lebih bermkna dan utama. Kerana itulah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia atau MTUC menuntut agar gaji minima sebanyak RM900 diperkenalkan bagi pekerja-pekerja kita disektor swasta disamping COLA sebanyak RM300. Kerana realitinya ramai dikalangan pekerja disektor ini pada hari ini hidup susah, mungkin tidak dibawah RM661 sebagaimana ditetapkan tetapi susah juga walaupun berpendapatan lebih dari itu.

Selain itu harga barangan makanan dan perkhidmatan disamping bahanapi juga perlu dikawal dan dipastikan agar tidak terus membebankan rakyat yang sedia susah. Tidak ada makna contohnya bagi kakitangan awam yang dinaikkan gajinya baru-baru ini (setelah tidak naik 14 tahun) jika pada waktu yang sama kos hidup terus meningkat angkara kenaikkan harga barang dan perkhidmatan ini.

Bagi saya inilah kelemahan dan kegagalan kita, kita sibuk dan berbangga dengan bangunan pencakar langit, kemudahan awam yang canggih dan monumen serta hiasan lanskap yang mahal-mahal, tetapi rupanya rakyat kebanyakkan merungut saban hari kerana bergelut untuk hidup. Keutmaan kerajaan dan negara pada hari ini sepatutnya adalah memberi tumpuan kepada nasib dan kebajikan rakyat. Biarlah negara membangun tetapi dalam waktu yang sama rakyat turut mengecap erti pembanguna itu.

Kalau menurut angka yang dikeluarkan oleh RMK9 angka miskin tegar ini adalah di bawah 6%, tetapi jika kita mengambil kira hal yang saya bangkitkan di atas, dimana gairs yang ditetapkan itu perlukan semakan semula, mungkin lebih ramai lagi yang jatuh di bawah kategori miskin ini dan perlu dibela.

Kini giliran rakyat untuk bersuara

PAS sedang menjalankan "Program Jelajah Presiden" dimana rombongan pimpinan PAS diketuai sendiri Presiden dan Timbalannya akan menjelajah ke seluruh negeri-negeri di Malaysia bagi berjumpa rakyat selain memeriksa persiapan jentera pilihan raya PAS disetiap negeri. Setakat ini menurut laporan media, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Jika ianya tidak dilaporkan oleh akhbar berbahasa Melayu, akhbar berbahasa Inggeris ada memuatkannya. Dan jika tidak oleh kedua-dua, akhbar berbahasa Cina sudah pasti menyentuhnya.

Satu contoh apabila akhbar The Star baru-baru ini melaporkan program seumpama itu di Tumpat, Kelantan telah dibanjiri lebih 100,000 rakyat Kelantan, satu angka yang sungguh luarbiasa!

Terbaru adalah di Pahang dan Negeri Sembilan. Saya tertarik apabila wartawarn Utusan dari Kuantan, di dalam ruangan "Khabar dari Kuantan" turut melaporkan darihal program ini di sana. Beliau melaporkan bahawa suatu ceramah perdana anjuran PAS telah diadakan di Madrasah as Saadah, Jalan Gambang dekat Kuantan. Dan penceramahnya kata beliau terdiri dari Presiden dan Timbalan Presiden PAS, Ketua Penerangan dan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man.

Cuba perhatikan apa yang beliau tulis:

Walaupun Umno Pahang yakin mampu mempertahankan kedudukan selesa mereka namun "perang" yang diisytiharkan Tuan Ibrahim dalam ucapannya mahu tidak mahu perlu diberi perhatian.

Dan beliau membuat suatu pemerhatian yang sangat penting dalam menganalisa kekukuhan daya perjuangan orang-orang PAS dengan menyebut:

Semangat juang para pemimpin dan pengikut setia PAS tidak dapat dinafikan apabila hujan yang turun agak lebat tidak langsung menganggu "mood" mereka untuk sama-sama menghayati amanat yang disampaikan.

Suasana "on the ground" atau peringkat akar umbi ternyata berbeza dengan apa yang cuba disampaikan oleh pimpinan Umno dan BN dari Putrajaya atau PWTC. Rata-rata pihak pembangkang seakan menerima suntikkan semangat dari rakyat kebanyakkan, ekoran pelbagai krisis dan kehimpitan hidup yang menimpa mereka tidak berjaya diselesaikan oleh parti pemerintah.

Mungkinkah suasana pilihan raya umum 1999 dahulu akan berulang dimana Kelantan dipertahankan dengan baik dan Terengganu rebah ketangan PAS? Atau mungkinkah ianya kali ini lebih baik dari itu. Segala-galanya terletak atas kemahuan rakyat kerana apabila parlimen dibubarkan, kuasa diserahkan kembali ketangan rakyat. Oleh itu jangan silap dan jangan terperangkap. Gunakanlah kuasa itu dengan sebaik-baiknya dengan menaikkan mereka yang layak dan menjauhkan diri dari mereka yang punah dan zalim.

Monday, January 21, 2008

Pemanggil sadis 013 375 2319

Menjelang pilihan raya ini akan ada sahaja pihak yang mahu membantu, yang mahu memberikan nasihat dan macam-macam lagi kepada parti-parti pembangkang yang bakal bertarung dengan gergasi keparat bernama BN itu.

Sesungguhnya bantuan seumpama ini sangatlah dihargai tambah-tambah lagi jika ianya jujur dan ikhlas kea rah emmantap dan mengukuhkan lagi kekuatan dan harapan parti-parti pembangkang tersebut. Namun tidak kurang jika kita menerima pandangan dari mereka yang mersakan dirinya terlalu bijak dan pintar mengatasi siapa sahaja yang lain.

Nasihat dan kritikkan yang membina mestilah berasas dan tidak bergelumang dengan serangan peribadi dan niat buruk yang tersembunyi. Saya sendiri akui menerima banyak pandangan dan nasihat dari kawan-kawan yang atas sebab-sebab tertentu tidak dapat bersama PAS atau PKR tetapi mahu melihat PAS dan PKR termasuklah DAP menang kali ini apabila bertarung dengan BN dan kekuatannya. Kepada mereka ini terima kasih diucapkan, dan kami menghargai pandangan anda itu.

Walaubagaimanapun saya kesal dan tidak dapat menerima mereka yang jenis sasau dan meracau. Yang menyangkakan dirinya serba tahu dan pandai, jenis yang ini sebenarnya lebih merupakan gunting dalam lipatan, yang lebih baik dinyahkan sahaja dari berada di bawah panji-panji perjuangan ini.

Saya menerima SMS dari seorang yang tidak saya kenali, bertalu-talu datangnya, hari ini sahaja, dengan mesej yang sangat menyedihkan dan kadangkala terlalu biadap. Beliau menggunakan nombor telefon 013 3752319. Berikut antara mesejnya:

1: Ana risau hj hadi jer. Dah mula hilang akal dkt2pru. Ari ni kata yakin tawan 2 negeri. Ini stamen org gila. Tahun 2004 pun sama, merapu macam2. Tlg2 nasihat hj hadi

2: Kerja x seberapa,ckp pula merapu. Baik hadi diam. Serah pd ketua penerangan pusat je buat statemen. Biar selaras. Yg lain2 jgn buka mulut dgn media walau sapa pun.

3: Elok la 2. Dah la presiden ckp merapu su akhbar pula buta huruf

4: Tugas su akhbar presiden mesti lebih dr taraf ketua pasukan soark bola sepak . Kena beritahu apa yg berlaku jika bos jenis tak suka baca paper. Mungkin dia tak

5: Tahu sharlinie dah berbelas hari hilang. Sbb2 dia tak pergi ziarah dan arah penyokong pas solat hajat. Tp mmg dasar ulama pas jenis lembu kenyang.

Rupanya ada juga manusia yang terganggu akalnya yang sanggup membuang masa dan wang, berseronok dengan SMS sadis seperti ini. Kalau sesiapa ada masa bolehlah menghubunginya 013 3752319.

Sudahkah pembangkang bersedia bagi menghadapi pilihan raya umum?

Ramai bertanya apakah parti-parti pembangkang khasnya PAS, PKR dan DAP sudah bersedia bagi menghadapi pilihan raya umum kali ini?

Saya sendiri tidak mempunyai jawapan kerana jika persediaan yang dimaksudkan adalah bersedia sebagaimana BN bersedia, maka sudah pastilah jawapannya tidak. Kerana parti-parti pembangkang serba kekurangan terutama dari segi kewangan dan kemudahan. Contohnya saya diberitahu oleh seorang rakan wartawan, perhimpunan kaum India semalam di Cheras, sebenarnya menghimpunkan ahli-ahli MIC iaitu 2 bas dari setiap kawasan parlimen emngikut pengakuan mereka yang hadir.

Memang dari sudut kewangan dan kemudahan parti-parti pembangkang bagaikan langit dan bumi kalau mahu dibandingkan dengan BN. Sudahlah kewangannya kukuh, segala harta benda dan kemudahan awam disalah guna sebagai bilik gerakan dan pejabatnya! Seperkara lagi semasa pilihan raya olok-olok mereka, segala pegawai yang dilatih oleh SPR telah mereka gunakan.

Namun demikian dalam serba kekurangan, parti-parti pembangkang bergelut juga untuk membuat persiapan masing-masing dan saya kira mereka telah bersedia menurut kemampuan mereka masing-masing. Yang lebih dipihak mereka adalah semangat. Semangat perjuangan inilah, yang kental, yang ikhlas dan jujur, tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit dan kekayaan. Berbekalkan semangat perjuangan inilah mereka bekerja berhadapan dengan gergasi hodoh bernama BN.

Kita masing-masing mahu membuat perubahan. Tidak cukup dengan kita menunggu dan menuntut persediaan dari para pejuang dipihak pembangkang semata-mata. Kita semua seharusnya bersama-sama membantu menyumbang tenaga, kepakaran dan wang ringgit. Ini bukan pertarungan main-mainan. Ini pertempuran antara yang hak dan batil. Jika kita mahukan yang hal muncul berjaya, maka sewajarnyalah kita membantu.

Saya harian dalam tempuh hampir 4 tahun lebih kita bekerja tanpa mengira penat-lelah untuk bersedia bagi menghadapi pilihan raya umum ke 12 ini, tiba-tiba di fasa akhir ini ada pihak yang lebih berminat menuding jari menyalahkan pihak itu dan ini, pemimpin itu dan ini. Dan malah kita pula bagaikan menjadi alat melagakan pihak itu dan ini. (Tak putus-putus contohnya saya menerima SMS mengutuk pimpinan PAS dengan berbagai kutukkan)

Sesungguhnya diperingkat ini kita sepatutnya “close ranks”, bersatu dan bekerja bagaikan satu binaan kukuh untuk menghadapi musuh bernama BN itu. Kita pertahankan semua pemimpin kita dan kita bergerak mengikut arahan, tanpa mendahului kepimpinan. Musuh politik kita hanyalah satu iaitu BN. Jika kita belum cukup matang atau dewasa untuk menerima dan bekerja kea rah itu, lebih baik kita duduk berihat dari membenarkan diri kita menjadi alat menganggu perjuangan.

Ayuh kita bersatu, bekerja mendukung perjuangan yang benar ini. Saya masih ingat pesanan Allahyarham Pak Nik Rashid, semasa saya pelajar dahulu: Allah swt menjadikan kita satu mulut untuk bercakap dan dua tangan untuk bekerja, oleh itu kurangkanlah bercakap dan lebihkanlah bekerja!

Kalau tidak kerana Hindraf tidak cutilah Thaipusam ini......................


Sudah semestinyalah mereka yang bekerja di Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menumpang gembira kerana hari Khamis ini sempena perayaan Thaipusam, mereka juga akan diberikan cuti sebagaimana negeri-negeri Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Pualau Pinang dan Johor. Anugerah cuti itu diisytiharkan oleh Perana Menteri Dollah Badawi semalam ketika menghadiri himpunan masyarakat India yang sebenarnya ditaja oleh MIC di Cheras.



Walaubagaimanapun bagi kakitangan kerajaan saya pasti mereka akan lebih germbira jika yang diumumkan bukannya cuti tetapi bayaran honorarium RM2,000 yang dituntut oleh CUEPACS.

Pastinya juga masyarakat India yang beragama Hindu khasnya yang bekerja di KL akan turut lega kerana akhirnya dapat juga mereka merayakan perayaan agama mereka itu tanpa perlu menuntut cuti dari majikan atau pura-pura bercuti sakit jika cuti tidak diberikan. Warga KL juga akan lega kerana pastinya jalan-jalan di sekitar KL kurang sesak jika hari itu adalah cuti umum, yang sesak cuma mereka yang menuju ke Batu Caves sahaja.

Kalau kita lihat aksi Samy Vellu semalam, sebaik sahaja Dollah dalam ucapannya itu mengumumkan cuti untuk KL dan Putrajaya, spontan Samy melompat meluru ke arah Dollah bagi mengucapkan terima kasih. Inilah gimik politik murahan Presiden MIC yang mahu memungut kredit atas pengisytiharan cuti itu. Kononnya nanti terbukti kerana beliaulah maka kerajaan memberikan cuti itu.

Saya tidak menafikan yang memang MIC sentiasa membuat tuntutan agar cuti diberikan kepada warga KL malah MIC menuntut agar Thaipusam dijadikan cuti umum untuk seluruh negara. Namun dari tahun ke tahun tuntutan MIC itu tidak dilayan. Tiba-tiba kali ini Dollah memberikannya, mengapa?

Bagi saya yang sepatutnya menerima kredit adalah kelima-lima pemimpin Hindraf yang sedang merengkok kerana ditahan di bawah ISA di Kamunting. Jika tidak kerana mereka, menggerakkan puluhan ribu masyarakat India keluar ketengah jalanraya tahun lepas, pasti segala tuntutan masyarakat Hindu tidak dilayan. Sejak akhir-akhir ini apa sahaja tunututan dan kehendak masyrakat minoriti India diberi perhatian oleh kerajaan. Demikianlah hebatnya sumbangan Hindraf buat masyrakat India di Malaysia!

Walaupun secara peribadi banyak dari tuntutan dan desakkan pihak itu saya kira melampau namun jelaslah kehadiran Hindraf telah menggoncang Putrajaya dan MIC sehingga nasib dan kebajikan masyarakat India kini tiba-tiba menjadi perhatian dan keutamaan kerajaan. Mungkin sudah tiba masanya bagi orang-orang Melayu pula yang sudah lama terpinggir, ditipu dan dimain-mainkan oleh Umno dan kerajaan (termasuklah ahli-ahli Umno biasa) bangun berarak ke tengah jalanraya sebagaimana Hindraf, barulah nanti mungkin nasib mereka benar-benar terbela dan diberi perhatian serius, tidak lagi ada yang merempat di bumi sendiri!

Selamat bercuti hari Khamis ini untuk semua yang berkenaan.

*MAAF RABU

Saturday, January 19, 2008

Jangan sampai Islam dipandang buruk dan lekeh

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memerintahkan agar mayat mendiang Wong Sau Lan yang ditahan di bilik mayat HUKM diserahkan kepada suaminya Ngiam Tee Kong untuk disempurnakan menurut kepercayaan mereka. Mayat tersebut telah berada di bilik mayat HUKM sejak 3 minggu lalu apabila pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mendakwa yang mendiang telah memeluk agama Islam pada 24 Disember lalu di rumah pangsa Jalan Siakap, Cheras.

Semalam di mahkamah pihak MAIWP membuat pengakuan bahawa apa yang didakwa peng “Islam”an mendiang itu adalah tidak sah menurut peruntukkan Hukum Syarak sebagaimana termaktub di bawah Akta Undang-undang Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan. MAIWP kononnya mendapat tahu apa yang dikatakan pengislaman mendiang itu sebenarnya adalah tindakan mendiang membaca ayat-ayat al Quran semasa beliau dirawat oleh seorang bomoh di sana.


Suami mendiang Wong
Sekali lagi pentadbiran Islam menjadi perhatian Negara khasnya masyarakat bukan Islam.

Kes seumpama ini semakin ketara kebelakangan ini terutama selepas kes Allahyarham Moorthy, Nyonya Tahir dan lain-lain. Sesungguhnya pertikaian seumpama ini sangat sensitif kerana ia pertamanya ia melibatkan yang mati yang sukar membela diri dan keduanya ianya berkaitan pertikaian agama. Kerana itu kita mengharapkan sekiranya pihak berkuasa agama ada asas dan mahu membuat tuntutan maka pastikanlah segala maklumat dan faktanya betul dan tepat.

Kerana apabila berlaku seperti dalam kes mendiang Wong ini, maka bukan MAIWP atau kerajaan sahaja yang malu, tetapi seluruh umat Islam dalam Negara menanggung malu dan pasti terbuku dalam hati masyarakat bukan Islam persepsi yang buruk terhadap kita.

Saya mengikuti dengan dekat kes Allahyarham Sjn Moorthy umpamanya, di sana pihak majlis agama memiliki bukti dan fakta kukuh, walaupun dalam kes itu masih banyak kekurangan pada pihak berkuasa agama, khasnya dalam bab susulan ketika Allahyarham masih hidup, namun bukti pengislaman dan segala rekod yang ada adalah kukuh dan berasas.

Saya membangkitkan hal ini kerana tidak mahu Islam dilihat lekeh dan dikatakan gemar “mencuri mayat orang”! Kalau betul sebagaimana saya sebutkan di atas pihak berkuasa agama punya bukti dan asas kukuh, maka sewajarnya kita semua mempertahankannya, tetapi jika main serkap jarang dan berpandukan pada maklumat “bomoh” seperti dalam kes ini, ianya amatlah mendukacitakan.

Saya difahamkan keluarga simati akan menuntut pampasan dn gantirugi dari pihak kerajaan dan majlis, sebagai seorang manusia biasa, saya boleh memahamitrauma dan kepiluan keluarga semati walaupun mereka bukan beragama Islam.

Friday, January 18, 2008

Dari raut wajah Dollah

Saya bukan jenis yang pandai membaca mimik muka seseorang, memang ada yang kononnya pakar, tetapi apabila melihat wajah Presiden Umno selepas mempengerusikan mesyuarat majlis Tertinggi Umno semalam, saya mahu juga mencuba-cuba.

Beberapa akhbar tempatan hari ini memetik pelbagai sudut kenyataan Dollah semasa sidang akhbar semalam, tetapi yang saya dapat tangkap beliau mengatakan jentera BN sudah bersedia namun ada banyak kerja lagi perlu dilakukan. Bermakna bersedia tetapi belum bersedia, negatif dan positif dihimpunkan sekali, sesuatu yang biasa keluar dari mulut Dollah dan Dollah seorang sahaja.

Saya mendapat tahu ekoran dari itu berkemungkinan tarikh pilihan raya umum yang kononnya dijadualkan bulan Mac akan ditangguhkan mungkin sampai ke Ogos. Apa yang belum selesai? Nombor satu adalah pembahagian kerusi sesame BN dan keduanya isu calon. Parti-parti komponan BN masih lagi berbalah darihal pembahagian kerusi Umno-MCA-Gerakan-MIC masih bertarik-tarik tali. Itu belum ambil kira lagi PPP dan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu isu calon-calon Umno juga masih belum beres. Adat dalam Umno jika ada yang digugurkan maka akan protes dan melentinglah calon yang digugurkan itu bersama penyokong-penyokongnya sekali. Ini bahana politik wang yang sudah menjadi darah daging dalam parti itu. Nama Idris Jusoh umpamanya disebut dalam sidang akhbar semalam. Katakanlah Idris Jusoh dipindahkan ke Pusat, apakah penyokongnya malah Idris sendiri boleh terima? Memanglah Idris selamba mengatakan dia bersedia berkhidmat dimana sahaja, tetapi menolaknya ke Pusat bermakna tidak mengiktiraf sumbangannya menumbangkan kerajaan PAS dan sekaligus menarik kuasa-kuasanya selaku MB yang sememangnya besar dan lubang peluang, projek dan kekayaan bagi sesiapa yang pandai menyalah-gunakan kuasa.

Begitu juga halnya krisis Umno Perlis antara Shahidan, Radzi dan Azmi. Siapa yang akan gugur siapa yang akan ditolak ke sana ke mari? Selangor juga dikatakan bermasalah, ramai yang mahu digugur dan ditarik ke Pusat termasuklah Khir khabarnya. Munasabahkah Umno kekalkan Zakaria Md Deros? Begitu juga di negeri-negeri lain, bermakna rumah tangga Umno masih kacau dan sengketanya sengit, bagaimana mahu panggil pilihanraya, itulah kekusutan dalam kepala Dollah!

Krisis kenaikkan kos hidup dizaman Dollah ini juga banyak tidak membantu. Dalam pada senak dan tenat dengan krisis itu berlaku pula kekurangan bekalan bahan makanan dan kini harga petrol dan diesel juga perlu dinaikkan. Dalam pada itu CUEPACS terus menuntut honorarium manakala MTUC terus mendesak untuk gaji minima bagi para pekerja.

Kemudian lebih parah lagi adalah sentiment para pengundi. Pengundi Cina dan India dikatakan sudah mula bosan dengan BN atas pelbagai isu yang melibatkan kaum mereka yang gagal ditangani dengan baik oleh Dollah.

Kesimpulannya banyak kerosakkan yang perlu ditampal, dijahit dan dibaik-pulih oleh Dollah. Kalau panggil juga pilihanraya bulan Mac ini tidak mustahil BN akan dipukul teruk, tapi jika tidak panggil mungkin segala kekusutuan ini menjadi semakin parah, Anwar Ibrahim pula nanti boleh bertanding.

Lalu lantaran bertubi-tubi asakkan ini Dollah berdasarkan mimik mukanya itu semalam mungkin menimbang-nimbangkan untuk tidak memanggil lagi pilihanraya Mac ini, mungkin masanya belum sesuai dan selamat. Saya mungkin silap sebab saya memang tidak pakar dalam membaca mimik muka, kalau saya silap maka dipanggil juga bulan Mac ini maka kita tunggulah apa kesudahan BN nanti, jika saya betul dipanggil pula bulan Ogos begitu, pun belum tentu semuanya baik bagi BN, malah mungkin lebih parah lagi.

Begitulah keadaannya gergasi bernama BN setelah 50 tahun berkuasa, usia semakin lanjut, badan penuh dengan kurap dan kudis buta, namun terus mahu memperaga diri bagai jejaka tampan. Sesiapa yang sudi silakan.

Thursday, January 17, 2008

Antara BLOG dan GOBLOK?

Menurut Webopedia, sebuah ensaiklopedia online ICT, BLOG adalah :

A webpage that serves as a publicly accessible personal journal for an individual. Typically updated daily, blogs often reflect the personality of the author.

Sebuah laman web yang bertindak sebagai jurnal peribadi seseorang yang dapat diakses oleh orang awam. Lazimnya blog dikemaskini setiap hari dan ianya mencerminkan personality penulis atau pemiliknya.

Bagi saya sebuah BLOG itu adalah sesuatu yang sangat “personal” mewakili suara hati, pandangan, perasaan dan jiwa penulis atau pemiliknya, tetapi ia dikongsi untuk tontonan awam. Dan orang awam yang mengunjunginya diberikan ruang melontarkan pandangan dan komen.

Bagi saya juga penulis atau pemilik BLOG berhak bersuara menurut kemahuannya, jika ia cenderong atau condong kepada mana-mana fahaman atau pendirian, ia berhak menyuarakannya dan menulis berdasarkan sentiment tersebut, semahunya. Ia bebas dan tidak dikekang atau terikat dengan apa-apa disiplin tertentu. Apabila sesuatu BLOG itu terikat dengan mana-mana pihak sehingga tulisannya tertakluk kepada kemahuan sesuatu pihak, boleh ditapis dan disunting oleh pihak lain, maka ia bukanlah bagi saya sebuah BLOG kerana ia telah hilang kebebasannya.

BLOG lantaran ia jurnal peribadi akan terus kekal sebagai BLOG jika ia hanya dikawal dan ditentukan arah oleh pemiliknya dan tidak mana-mana pihak lain.

Roslan SMS Corner, dimiliki sepenuhnya oleh saya. Saya menulis apa yang saya percaya dan apa yang saya yakini. Saya mungkin betul dan mungkin juga tersasar apa pun segala-galanya adalah cetusan hati dan jiwa saya. Citarasanya mungkin berdasarkan anutan politik dan kepercayaan saya, itu hak saya. Saya berhak mengkritik dan memberi pandangan, sesiapa yang bersetuju dengan saya berhak mengunjungi BLOG ini begitu juga yang membenci. Tetapi tidak ada sesiapa pun yang berhak mengarahkan saya menulis apa yang mereka mahu atau mengeluarkan dari BLOG ini apa yang mereka tidak mahu.

Saya menulis dengan penuh tanggungjawab dan kiranya saya melanggar apa-apa peraturan atau undang-undang maka sayalah yang akan memikul tanggungjawabnya, bukan pihak atau orang lain. Sebagaimana yang selalu saya tegaskan saya tidak sekali-kali akan menulis sesuatu yang saya yakini palsu, tidak berasas dan berunsur fitnah dan adu-domba. Segala-galanya tidak ada tempat di sini insyallah.

Apa maksud artikel ini? Hari ini seorang sahabat BLOGGER seakan buntu dan melahirkan kekeciwaan dalam tulisannya. Terus-terang saya sendiri bimbang dan terganggu dengan beberapa tulisannya sejak kebelakangan ini, tetapi jika ia benar datang dari hati nurani, jiwa dan perasaan peribadinya, beliau perlu berani mempertahankannya. Tetapi di dalam posting terakhirnya beliau seakan mengalah dengan menulis:

This shall be the last post by Kickdefella for now.

Pengurusan kabinet Dollah caca-marba

Dari Madrid dengan garang PM kita Dollah Badawi melenting dan mengeluarkan kenyataan bahawa Menteri Pelancongan beliau Tengku Adnan Mansor sepatutunya melaporkan kepada BPR mengenai kes dua orang pegawai kementeriannya yang telah menyalahgunakan wang kerajaan dan tidak mengadakan penyiasatan dalaman sendiri.

BPR perlu diberitahu dan jangan halang BPR melakukan penyiasatan, kata Dollah.
BPR menurut laporan telah memulakan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa kedua pegawai berkenaan telah menyalahgunakan sejumlah RM850,000 wang kerajaan dalam membuat promosi pelancongan, dengan memberikan suatu kontrak kepada sebuah syarikat yang tidak wujud.

Tetapi mengapa dalam kesnya sendiri Dollah tidak pula kelihatan garang? Dalam siasatan Suruhanjaya Diraja rakaman klip video "Lingam" Selasa lepas, saksi Loh Mui Fah yang hadir semasa video kontroversi itu dirakam, telah menyatakan bahawa pada 5 November 2007 beliau telah menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri menawarkan dirinya membantu dalam penyiasatan klip video berkenaan.

Malangnya beliau tidak menerima sebarang makluman atau balasan dari Pejabat Perdana Mneteri. Dalam erti kata lain Pejabat Perdana Menteri lansgung tidak bertindak atas surat beliau itu sedangkan kes ini merupakan suatu kes serius yang melibatkan kewibawaan Badan Kehakiman dan kerajaan sendiri. Mengapa PM berdiam? Mungkinkah beliau tidak tahu atau pegawainya tidak mahu beliau tahu? Bagaimanakah perjalanan urusan Pejabat Perdana Menteri di bawah Dollah?

Bagi saya Pejatat PM pun patutu terus sahaja menyerahkan surat Loh itu ke BPR untuk bertindak. Jika Tengku Adnan dalam kes beliau dikatakan cuba menganggu tugas BPR, dalam kes surat Loh ini Dollah bagaimana? Beliau tidak menganggu tetapi sebelakinya memendamkan suatu perkara penting dalam perkembangan kes yang begitu besar!
Kalau Tengku Adnan perlu dimarah Dollah bagaimana?

Saya tidak tahu, tetapi dalam hal ini saya suka memetik kenyataan Datuk Mahadev Shankar dalam siasatan Suruhanjaya DiRaja semalam ketika menyoal bekas KSN Samsuddin Osman berkenaan bagaimana maklumat dari surat Pejabat PM boleh bocor kepengetahuan orang lain (dalam kes ini kepengetahuan Lingam). Samsuddin bertegas menyatakan yang segala hal ehwal kabinet dikawal dengan rapi, lalu Mahadev berkata:

If it is so tight how is it that somebody can mention in the video clip something so confidential? If he knows this he might know a lot of other things too.

Jika ia ketat (kawalan hal ehwal kabinet) bagaimana orang lain boleh mendedahkan perkara rahsia dalam klip video berkenaan? Jika beliau (Lingam) tahu berkenaan hal ini beliau mungkin tahu tentang banyak hal lain.

Itu kabinet Tun Dr M, kabinet Dollah, entahlah? Surat sepenting surat Loh itu pun entah terpelenting kemana, bayangkan yang lain-lain! Malangnya Malaysia!

Wednesday, January 16, 2008

PAS tadbir Kelantan dengan baik akui ahli Parlimen Umno

Kerja untuk meyakinkan rakyat, mengajak mereka menolak BN dan mengundi pembangkang bukanlah sesuatu yang mudah. Selalu kita lihat petugas-petugas parti-parti pembangkang bertungkus-lumus bekerja bagi mendapatkan sokongan rakyat. Kadangkala kaedah yang mereka gunakan samada dalam bentuk ceramah, berdailog, ziarah, risalah berjaya membawa hasil tetapi ada juga yang gagal dan bagaikan senjata makan tuan.

Ringkasnya ia bukan calang-calang kerja.

Tetapi kerja-kerja ini menerima seakan lonjakkan atau bantuan besar kiranya ia dibantu oleh mereka yang berada dalam lubuk dan bilik tidur BN sendiri. Apabila mereka ini bersuara, menyatakan sesuautu yang positif berkenaan pembangkang, ketika itu kerja-kerja para petugas tadi menjadi semakin ringan, kerana peluru dalam kubu meletus dalam kubu sendiri.

Dalam akhbar THE SUNDAY STAR Ahad lepas, ahli Parlimen Kota Bharu yang juga bekas Ketua Umno bahagian, Zaid Ibrahim telah secara terus-terang memberikan pandangan beliau berkenaan musuh politiknya PAS. Zaid memang dikenali sebagai seorang tokoh yang berani dan terbuka, dan tindak-tanduk beliau kadangkala tidak disenangi bukan hanya oleh pihak lawan malah sesama kawan sendiri.

Dalam ruangan tersebut beliau menceritakan darihal pengalaman dan persepsinya terhadap PAS di Kelantan. Kata beliau:

I have always had this fear of PAS, seeing it as an authoritarian party, more autocratic and not a religious body.

PAS sering menakutkan saya, saya melihatnya sebagai sebuah parti otokratik dan bukannya sebuah gerakan agama.

Itu pandangan awal beliau terhadap PAS, dan beliau menyambung:

But the years have proven me wrong. They have ruled for 17 years and they have done quite well except for personal liberties, (traditional dance) Mak Yong (which PAS has banned), women etc.

Tetapi ternyata dari tahun ke tahun (persepsi saya itu) terbukti salah. Mereka (PAS) telah memerintah (Kelantan) selama 17 tahun dan (pentadbiran) agak baik kecuali masalah hak peribadi, Mak Yong (yang telah diharamkan), wanita dan lain-lain.

Bermakna ahli Parlimen Umno/BN sendiri mengakui yang kerajaan PAS di Kelantan telah berjaya memerintah negeri tersebut dengan baik! Kalau tiadalah isu-isu yang beliau tidak berapa berkenan sebagaimana yang dibangkitkannya itu bermakna beliau akan akui bahawa kerajaan PAS adalah baik, mungkin lebih baik dari BN sendiri.

Isu hak peribadi atau "personal liberties" yang beliau rujuk itu mungkin berkait dengan beberapa peraturan Islam yang dilaksanakan kerajaan negeri, yang saya yakin jika diterangkan kepada beliau secara mendalam insyallah akan mampu merongkaikan apa sahaja kekusutan yang mungkin berada dalam dirinya. Begitu juga isu Mak Yong dan lain-lain yang terlalu kecil dan remeh.

Yang lebih penting Zaid mengakui secara keseluruhan kerajaan PAS baik, bermakna sia-sialah jika rakyat Kelantan menukar kerajaan yang musuh PAS sendiri akui baik.

Kemudian Zaid terus membuat suatu pengakuan yang saya kira sangat penting untuk difahami dan direnungkans ecara mendalam oleh rakyat Kelantan keseluruhannya tidak kiralah orang PAS, Umno atau tidak berparti, kata Zaid:

On a personal level, he remains on friendly personal terms with Nik Abdul Aziz and PAS does not make personal attacks against him.

Secara peribadi, beliau memang berkawan dengan Nik Abdul Aziz (MB dan Mursyidul Am PAS) sebagai kawan, dan PAS tidak (pernah) menyerangnya secara peribadi.

Kalau begitulah PAS Kelantan maka anak-anak Kelantan sewajarnya mengenepikan apa sahaja sentimen dan dalam pilihan raya nanti bersatu mempertahankan kerajaan PAS demi masadepan rakyat dan negeri tersebut.

Tuesday, January 15, 2008

Haram bentang Bajet di bulan puasa?

Tiba-tiba Menteri Kewangan II Nor Mohamed Yakcop mengumumkan yang Bajet 2009 akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Ogos dan bukannya bulan Oktober seperti yang lepas-lepas. Mengikut tradisi Bajet akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan di Parlimen pada hari Jumaat ke 4 setiap bulan Oktober.

Alasannya bagi mengelakkan pembentangan di bulan puasa. Sejak bila pula makruh atau haram membentangkan Bajet Negara pada bulan puasa?

Bagi saya berkemungkinan besar peralihan tarikh secara tiba-tiba ini adalah disebabkan dua faktor. Pertama, pilihanraya umum akan dipanggil selepas pembentangan Bajet dan tidak pada bulan Mac ini seperti dijangkakan, ini kerana kerajaan BN mahu menambahkan lagi gula-gula dan manisan dalam Bajet bagi memenangi undi rakyat.

Keduanya Bajet ini sengajakan dianjakkan ke hadapan oleh kerana kerajaan Bn sudah terlalu berbesar kepala dan mahu menunjukkan Negara bahawa mereka sudah bersedia untuk melangkah ke tahun berikutnya sedangkan jika diadakan pilihan raya umum di bulan Mac ini, belum tentu kerajaan yang ada masih akan kekal di situ. Jika pun katakanlah kekal berkemungkinan kepimpinannya sudah bertukar tangan, siapa yang tahu?

Selain dari dua kemungkinan di atas saya tidak nampak langsung sebab dan rasional bagi ianya di awalkan, anda bagaimana?

Pastikan calon BN bersih moral

Sejak kebelakangan ini MB Selangor Khir Toyo banyak mendapat liputan dalam akhbar-akhbar tempatan. Ada diantaranya menjulang tinggi beliau sehingga mencecah langit, tidak kurang juga, samada beliau sedari atau tidak, lebih mahu membinasakan beliau.

Sepanjang kariernya sebagai MB sejurus Abu Hassan Omar melucutkan sendiri jawatannya ekoran terlibat dalam skandal seks bersama adik iparnya sendiri, Khir terus cuba melonjakkan dirinya ke atas dalam keadaan beliau tidak berpengalaman dan punya banyak pengaruh. (Jika tidak kerana bantuan Tun Dr M pastilah Khir sampai sekarang sekadar memberi tumpuan pada klinik pergigiannya sahaja).

Kini setelah hampir 8 tahun memimpin negeri, rakyat sudah mula meninjau-ninjau dan menelaah kad laporannya. Apabila bekas Menteri Kewangan, Tun Daim, baru-baru ini menyatakan yang Selangor adalah antara 3 buah negeri yang bermasalah (hotspot) buat BN dalam pilihanraya umum akan datang, sudah pastilah kedudukan Khir goyang. Selangor adalah sebuah negeri yang masyarakatnya begitu berbilang kaum. Pengundi menurut kaum secara keseulurhannya hampir seimbang antara Melayu, Cina dan India.

Yang pastinya masyarakat India di Selangor begitu tidak berpuas hati dengan Khir. Antara isu yang dibangkitkan Hindraf adalah berkait dengan masalah kuil dan peminggiran masyrakat India yang sebenarnya banyak tertumpu di Selangor. MIC di Selangor pula terus didominasi oleh puak yang yang kurang disenangi masyarakat India.

Kaum Cina di Selangor khasnya sekitar Lembah Kelang adalah yang paling vokal meluah dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan negeri khasnya dalam isu keselamatan, ekonomi, PBT dan rasuah. Dan kebetulan di Selangor cuma sekitar 12 dari 56 kerusi DUN memiliki majoriti lebih 60% pengundi Melayu selebihnya iaitu 44 adalah kerusi campuran termasuklah beberapa majoriti Cina seperti di PJU dan beberapa kawasan bandar lain.

Cuma tinggal lagi orang-orang Melayu. Tetapi bolehkah Khir menjamin yang orang-orang Melayu setelah dihimpit dengan isu kenaikkan kos hidup, akan terus taat dan setia di belakang beliau? Pada tahun 1999 kerana marahkan layanan yang diterima oleh Anwar Ibrahin dan keluarganya, orang Melayu telah bertindak-balas akibatnya 4 kerusi Melayu dan 1 kerusi campuran jatuh ke tangan BA, kali ini?

Lalu kini Khir mengeluarkan kenyataan bahawa calon-calon BN di Selangor nanti akan ditapis untuk memastikan moralnya bersih termasuklah tidak terlibat dengan skandal seks. Langkah tersebut menurut beliau bagi mengelakkan timbulnya masalah dari segi kepimpinan dan keyakinan rakyat terhadap BN.

Hairan bermakna baru hari ini calon-calon BN dipastikan bersih dan baik, sebelum ini?
Setahu saya antara pemimpin BN yang adas krisis moral (samada terbabit kes BPR atau disiasat pihak berkuasa) atau terlibat dengan skandal seks ini ramai. Ahli Parlimen Gombak, Ampang, Shah Alam, ADUN Pelabuhan Kelang, ADUN Sementa (EXCO Agama yang pernah disaman oleh seorang wanita berkaitan kes penjualan tanah) semuanya terbabit sedikit-sebanyak. Malah MB sendiri pun ada banyak laporan BPR dibuat terhadap beliau.

Bermakna krisis ini memang serius melanda BN negeri, ditambah pula dengan perkembangan di atas, dan pandangan Tun Daim, tergugatkah BN di Selangor? Kata Khir tidak, kalau ada pun masalah hanya di Parlimen Petaling Jaya Utara (majoriti pengundi Cina), yang lain semua OK termasuk DUN Sg. Pinang dan Sekinchan yang kini dikuasai DAP, akan disapu bersih oleh BN.

Khir OK kata BN OK, rakyat bagaimana?

Monday, January 14, 2008

Kerjaaan Negeri Selangor bawah Khir Toyo gagal

Negara kita dijangka mencapai status Negeri Maju pada tahun 2020, sekurang-kurangnya itulah impian kerajaan BN sejak zaman Tun Dr Mahathir lagi. Di Malaysia walaubagaimanapun sebuah negeri telah pun mengisytiharkan negerinya maju iaitu 15 tahun sebelum Malaysia sendiri mencapai status itu. Negeri tersebut adalah Selangor yang MB nya Khir Toyo, telah isytiharkan sebagai sebuah Negeri Maju pada tahun 2005 lalu.

Apakah pengisytiharan itu benar-benar mencerminkan kedaan rakyat di negeri itu atau sekadar retorik politik, jawapannya hanya rakyat di negeri itu yang lebih arif untuk menilainya.

Semalam akhbar NST telah memberikan liputan satu muka buat MB Selangor Khir Toyo. Dalam wawancara itu Khir dengan bangganya menyatakan bahawa dalam satu kajian yang dibuat oleh BN negeri sebanyak 70 peratus rakyat di Selangor berjanji akan terus menyokong BN dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Ringkasnya segala-galanya OK di Selangor, dan beliau selaku MB telah memperkenal dan melaksanakan banyak langkah-langkah yang kini menurut pemerhatiannya telah memuaskan hati rakyat di negeri tersebut. Adapun yang tak berpuas hati kata beliau hanya tertumpu di satu kawasan parlimen iaitu Petaling Jaya Utara (anehnya kerusi Parlimen dan dua DUN di sini dimiliki BN), dimana pengundinya majoriti Cina.

Wawancara Khir itu dimuatkan pada muka 13 tetapi dimuka 12 penulis NST Abdul Razak Ahmad pula membuat liputan berkenaan kajian sebuah badan bebas iaitu Merdeka Centre berkenaan keadaan di negeri Selangor. Ternyata apa yang Khir sebutkan di muka 14 itu lebih indah khabar dari rupa, kerana kajian yang badan ini lakukan menerbitkan hasil yang agak berbeza.

Salah satu soalan yang diajukan dalam kajian tersebut berbunyi: Sejauh manakah anda berpuas hati atau tidak berpuas hati dengan cara kerajaan (Selangor) menguruskan ekonomi negeri? Jawapannya:

50% Berpuas hati
43% Tidak berpuas hati
(Dengan 7% tidak tahu)

Ini bermakna hanya separuh sahaja rakyat yang berpuas hati dengan Khir Toyo manakala selebihnya tidak! Dan pecahan pandangan tadi menurut kaum menunjukkan 58% kaum Cina tidak berpuas hati diikuti 44% kaum India dan 32% Melayu.

Satu lagi soalan yang menarik dari kajian itu adalah: Bagaimanakah anda menghadapi kesan kenaikkan kos hidup? Jawapannya:

55% Mampu hadapi
44% Tidak mampu hadapi
(Dengan 1% tidak tahu)

Bagi saya Khir tidak boleh langsung berbangga sekiranya 44% rakyatnya tidak mampu menghadapi kesan kenaikkan kos hidup yang semakin kronik hari ini. Dan pecahan pandangan tadi menurut kamum menunjukkan 51% kaum India tidak mampu hadapi kesan kenaikkan kos hidup ini diikuti 44% Melayu dan 40% Cina.

Dan akhirnya soalan yang paling menarik itu dilihat hasil kajiannya adalah: Bagaimanakah berleluasanya rasuah pada pandangan anda diperingkat kerajaan tempatan? Jawapannya:

54% Tidak serius
26% Serius

(Dengan 19% tidak tahu)

Yang menariknya di sini adalah keputusannya menurut pecahan kaum. 63% masyarakat Cina mengatakan masalah rasuah ini serius, diikuti 51% Melayu dan 44% India. Ini menunjukkan penyakit rasuah terus-menerus membarah dalam kerajaan negeri di Selangor.

Adakah hasil kajian ini benar-benar mencerminkan denyut nadi dan jantung rakyat di Selangor atau mungkinkah realitinya lebih parah lagi? Jika beginilah keadaannya maka memang berasaslah anggapan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa Selangor adalah salah sebuah negeri yang dikiran ”Hotspot” bagi BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Kalau tanya Khir: Ahhh semuanya OK!