Dari raut wajah Dollah
Saya bukan jenis yang pandai membaca mimik muka seseorang, memang ada yang kononnya pakar, tetapi apabila melihat wajah Presiden Umno selepas mempengerusikan mesyuarat majlis Tertinggi Umno semalam, saya mahu juga mencuba-cuba.
Beberapa akhbar tempatan hari ini memetik pelbagai sudut kenyataan Dollah semasa sidang akhbar semalam, tetapi yang saya dapat tangkap beliau mengatakan jentera BN sudah bersedia namun ada banyak kerja lagi perlu dilakukan. Bermakna bersedia tetapi belum bersedia, negatif dan positif dihimpunkan sekali, sesuatu yang biasa keluar dari mulut Dollah dan Dollah seorang sahaja.
Saya mendapat tahu ekoran dari itu berkemungkinan tarikh pilihan raya umum yang kononnya dijadualkan bulan Mac akan ditangguhkan mungkin sampai ke Ogos. Apa yang belum selesai? Nombor satu adalah pembahagian kerusi sesame BN dan keduanya isu calon. Parti-parti komponan BN masih lagi berbalah darihal pembahagian kerusi Umno-MCA-Gerakan-MIC masih bertarik-tarik tali. Itu belum ambil kira lagi PPP dan parti-parti di Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu isu calon-calon Umno juga masih belum beres. Adat dalam Umno jika ada yang digugurkan maka akan protes dan melentinglah calon yang digugurkan itu bersama penyokong-penyokongnya sekali. Ini bahana politik wang yang sudah menjadi darah daging dalam parti itu. Nama Idris Jusoh umpamanya disebut dalam sidang akhbar semalam. Katakanlah Idris Jusoh dipindahkan ke Pusat, apakah penyokongnya malah Idris sendiri boleh terima? Memanglah Idris selamba mengatakan dia bersedia berkhidmat dimana sahaja, tetapi menolaknya ke Pusat bermakna tidak mengiktiraf sumbangannya menumbangkan kerajaan PAS dan sekaligus menarik kuasa-kuasanya selaku MB yang sememangnya besar dan lubang peluang, projek dan kekayaan bagi sesiapa yang pandai menyalah-gunakan kuasa.
Begitu juga halnya krisis Umno Perlis antara Shahidan, Radzi dan Azmi. Siapa yang akan gugur siapa yang akan ditolak ke sana ke mari? Selangor juga dikatakan bermasalah, ramai yang mahu digugur dan ditarik ke Pusat termasuklah Khir khabarnya. Munasabahkah Umno kekalkan Zakaria Md Deros? Begitu juga di negeri-negeri lain, bermakna rumah tangga Umno masih kacau dan sengketanya sengit, bagaimana mahu panggil pilihanraya, itulah kekusutan dalam kepala Dollah!
Krisis kenaikkan kos hidup dizaman Dollah ini juga banyak tidak membantu. Dalam pada senak dan tenat dengan krisis itu berlaku pula kekurangan bekalan bahan makanan dan kini harga petrol dan diesel juga perlu dinaikkan. Dalam pada itu CUEPACS terus menuntut honorarium manakala MTUC terus mendesak untuk gaji minima bagi para pekerja.
Kemudian lebih parah lagi adalah sentiment para pengundi. Pengundi Cina dan India dikatakan sudah mula bosan dengan BN atas pelbagai isu yang melibatkan kaum mereka yang gagal ditangani dengan baik oleh Dollah.
Kesimpulannya banyak kerosakkan yang perlu ditampal, dijahit dan dibaik-pulih oleh Dollah. Kalau panggil juga pilihanraya bulan Mac ini tidak mustahil BN akan dipukul teruk, tapi jika tidak panggil mungkin segala kekusutuan ini menjadi semakin parah, Anwar Ibrahim pula nanti boleh bertanding.
Lalu lantaran bertubi-tubi asakkan ini Dollah berdasarkan mimik mukanya itu semalam mungkin menimbang-nimbangkan untuk tidak memanggil lagi pilihanraya Mac ini, mungkin masanya belum sesuai dan selamat. Saya mungkin silap sebab saya memang tidak pakar dalam membaca mimik muka, kalau saya silap maka dipanggil juga bulan Mac ini maka kita tunggulah apa kesudahan BN nanti, jika saya betul dipanggil pula bulan Ogos begitu, pun belum tentu semuanya baik bagi BN, malah mungkin lebih parah lagi.
Begitulah keadaannya gergasi bernama BN setelah 50 tahun berkuasa, usia semakin lanjut, badan penuh dengan kurap dan kudis buta, namun terus mahu memperaga diri bagai jejaka tampan. Sesiapa yang sudi silakan.
No comments:
Post a Comment