Negara membangun rakyat miskin
Baru-baru ini semasa berucap di hadapan ribuan penyokong BN di Stadium Cheras PM Dollah Badawi mengumumkan yang kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi untuk membasmi kemiskinan dikalangan semua kaum di Malaysia. Jawatankuasa Kabinet ini dikatakan bermatlamat kemiskinan tegar sifar menjelang 2010.
Sesungguhnya menangani kemiskinan ini sesuatu yang sangat wajar terutama dalam kita mahu kejar status maju dan mahu berdiri sama tinggi dengan negara dunia pertama yang lain. Keutmaan sebuah negara Merdeka sepatutnya adalah membela nasib dan kebajikan rakyatnya. Tetapi beretorik dengan kononnya mahu menyifarkan kemiskinan dalam tempoh 5 tahun terlalu bongkak bunyinya, sedangkan di negara maju pun tidak sifar juga.
Berbalik isu kemiskinan di Malaysia, kalau kita mendengar dan asyik dipupuk dengan lagu-lagu enak dan merdu dendangan pimpinan negara saban hari, kita seakan dikhayalkan seolah negara ini serba maju dan makmur, semuanya senang dan mewah. Kita sedang merangsang giur rakyat dengan pelbagai projek pembangunan koridor seluruh pelusuk negara.
Dalam pada itu rupa-rupanya kemiskinan tegar masih menghantui sekelompok kecil rakyat.
Ketika ada CEO di Malaysia yang berelaun lebih dari RM100,000 sebulan dan memandu kenderaan bernilai lebih RM1 juta. Ketika ada ADUN yang membina mahligai bernilai RM8juta ringgit, bekas MB yang ditangkap dengan berkilo-kilo wang tunia. Rupa-rupanya masih ada rakyat Malaysia, anak-anak bangsa yang jatuh di bawah paras kemiskinan kerana berpendapatan kurang dari RM661 sebulan untuk yang di Semenanjung Malaysia.
Bolehkah dengan RM661 sebulan seorang yang berkeluarga katakanlah dengan dua orang anak hidup? Jangankan di Kuala Lumpur mungkin di Kuala Selangor pun si individu berkenaan pasti berhadapan dengan kesusahan. Dan malah jangankan RM661, sebarang angka di bawah RM1,000 pada pandangan saya bagi mereka yang berkeluarga, pasti akan berhadapan dengan kesusahan juga. Sewa rumah, bil air dan api, tambang dan belanja sekolah anak-anak, semuanya menghimpit dan menekan belaka.
Mungkin garis kemiskinan ini perlu dirombak semula, tak perlulah berretorik mahu sifar miskin tegar, sebaliknya ikhlas dan bersungguh-sungguh bekerja bagi menangani masalah besar ini lebih bermkna dan utama. Kerana itulah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia atau MTUC menuntut agar gaji minima sebanyak RM900 diperkenalkan bagi pekerja-pekerja kita disektor swasta disamping COLA sebanyak RM300. Kerana realitinya ramai dikalangan pekerja disektor ini pada hari ini hidup susah, mungkin tidak dibawah RM661 sebagaimana ditetapkan tetapi susah juga walaupun berpendapatan lebih dari itu.
Selain itu harga barangan makanan dan perkhidmatan disamping bahanapi juga perlu dikawal dan dipastikan agar tidak terus membebankan rakyat yang sedia susah. Tidak ada makna contohnya bagi kakitangan awam yang dinaikkan gajinya baru-baru ini (setelah tidak naik 14 tahun) jika pada waktu yang sama kos hidup terus meningkat angkara kenaikkan harga barang dan perkhidmatan ini.
Bagi saya inilah kelemahan dan kegagalan kita, kita sibuk dan berbangga dengan bangunan pencakar langit, kemudahan awam yang canggih dan monumen serta hiasan lanskap yang mahal-mahal, tetapi rupanya rakyat kebanyakkan merungut saban hari kerana bergelut untuk hidup. Keutmaan kerajaan dan negara pada hari ini sepatutnya adalah memberi tumpuan kepada nasib dan kebajikan rakyat. Biarlah negara membangun tetapi dalam waktu yang sama rakyat turut mengecap erti pembanguna itu.
Kalau menurut angka yang dikeluarkan oleh RMK9 angka miskin tegar ini adalah di bawah 6%, tetapi jika kita mengambil kira hal yang saya bangkitkan di atas, dimana gairs yang ditetapkan itu perlukan semakan semula, mungkin lebih ramai lagi yang jatuh di bawah kategori miskin ini dan perlu dibela.
No comments:
Post a Comment