Hikayat Klasik kejatuhan Datuk Tabib Menteri
Maka murkalah ke bawah duli Raja Perdana. Angkara memanda tabib menteri tidak dapat ia ampunkan. Bukannya kalangan memanda menteri yang lain baik-baik belaka, tetapi masing-masing pandai makan sembunyi tulang, adapun si tabib menteri tidak, bahlul dan tolol lagaknya.
Buaya mana yang menolak bangkai, tamah-tambah bangkai yang tersusun cantik, montok dan molek. Bangkai yang menyerah diri, menggiurkan sehingga meleleh air liur gamaknya. Tetapi kalangan buaya-buaya memanda menteri yang lain, buaya tembaga, bijak dan cerdik belaka. Si tabib menteri, bukan buaya tetapi biawak buta.
Adapun si nyonya yang diberi nama Nyonya ANGELINA YAM, memang putih melepak, lincah dan menggoda. Mujur Raja Perdana sudah ada inang sepupu-sepapat Albuquerque, jika tidak nescaya Raja Perdana pun tergolek juga.
Si tabib menteri gilakan Nyonya ANGELINA, semua hulubalang dan abdinya tahu akan kisahnya. Kemana sahaja tabib menteri merantau maka akan diusunglah Nyonya ANGELINA tanpa si Nyonya Tua di rumah ketahui.
Namun yang Raja Perdana murka adalah si tabib menteri yang tua ini tidak tahu bersorok-sorok. Angkara nafsu yang pasang-surut dan kembang-kempis, habis semua hamba rakyat tahu, sehingga Nyonya Tua yang asalnya sibuk di meja mahjong akhirnya turut tahu juga.
"Patik pohon maaf Tuanku Raja Perdana. Bukan patik seorang, ramai yang lain pun binatang macam patik juga."
"Tapi kamu cuai, kamu bermegah-megah, yang lain berjaga-jaga, bini di rumah tak tahu, kamu sampaikan segenap kampung dan ceruk tahu, lembu dan kambing pun tahu!" bentak Raja Perdana
Terkebel-kebel si tabib menteri menahan murka Tuanku Raja Perdana. Tuanku Raja Perdana memang pantang dicabar, tambah-tambah kalau baru terjaga dari tidurnya, tak kiralah malam, siang, petang atau pagi, jangan sekali-kali menganggu tidur beliau.
"Patik sekadar gilakan Nyonya ANGELINA patik tak rasuah tak makan duit tak tipu wang hamba rakyat seperti memanda menteri yang lain. Patik cuma tercalar angkara nafsu serakah patik pada Nyonya ANGELINA saja Tuanku." rayu tabib menteri.
"Tak rasuah! Tak makan duit! Tengok surat-surat kontrak ini, semuanya dimaklumkan kepada beta oleh Memanda Menteri Peras Ugut. Ni siapa dia MARCUS siapa dia JASON, semuanya juak-juak kamu, semuanya kamu gunakan untuk kumpul harta bertimbun bersekali dengan si ANGELINA itu!" jerkah Raja Perdana sambil menghumbankan berkajang-kajang surat kontrak dan bekalan kerajaan.
Tabib menteri hairan, bagaimana Tuanku boleh tahu? Ciss ini mesti angkara memanda menteri buaya yang lain, mungkin juga angkara menantu Raja Perdana, dia pun buaya juga, buaya muda, dia juga pernah mamah bangkai montok, tetapi terlepas. Kini tabib menteri sedar, beliau sudah tidak boleh lari lagi. Demikianlah amalan dalam kerajaan DARUL HAD HARI ini, sekali jatuh terus terjerlus, tak mampu bangkit-bangkit lagi, ketika itu siapa juga pemimpin akan disepak dan ditendang bagai sampah. Kini tabib menteri sampah dan pasti Nyonya ANGELINA akan lari meninggalkan beliau, mungkin mencari tabib menteri yang baru..............
(Kisah ini tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati ataupun yang hampir mahu mati)
No comments:
Post a Comment