Saturday, January 05, 2008

Kemajuan ummah dunia dan akhirat teras perjuangan Umno?

Dalam heboh Ketua Pembangkang mengumpamakan Timbalan Presiden Umno yang juga TPM Najib Tun Razak sebagai bapa ketam yang mahu mengajar anak berjalan lurus, tiba-tiba kita terbaca dalam akhbar tempatan hari ini kenyataan Najib di Kuala Krai ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Masjid Baru An-Nur, Guchil. Kata Najib:

Kita akan bangunkan suatu tamadun yang dirancang dengan berteraskan usaha mengangkat ummah yang berjaya dan cemerlang di dunia serta akhirat, yang turut menjadi teras perjuangan Umno.

Kalau kita beria-ia untuk membangunkan Islam, asas utamanya ialah institusi masjid perlu diperkasa sebagaimana langkah Rasulullah dengan penekanan tauhid, akidah dan persaudaraan Islam.

Selain pembinaan masjid-masjid, siapakah yang sentiasa mempertahan sebarang cubaan untuk menodai agama kalau bukan Umno? Begitu juga usaha untuk membina generasi al-Quran melalui j-QAF, melatih guru-guru dan membina sekolah-sekolah agama yang diperjuang oleh Umno.

Umno tidak melihat Islam dari sudut pemikiran yang sempit, jumud kerana pemikiran seumpama itu tidak mungkin mengangkat kecemerlangan umat Islam, malah akan terus dihina dan dicurigai.

Saya tidak tahu tentang apa yang Kit Siang maksudkan itu, dan saya juga tidak tahu menahu tentang peristiwa "hangat" yang kononnya berlaku di Port Dickson yang dimaksudkan oleh para pembaca di blog ini. Saya tidak ada kena mengena dengan gambar seorang artis wanita yang laman web Tranungkite “paste” kan pada artikel saya diblog ini yang merujuk kepada Najib.

Apa yang saya mahu ulas di sini adalah kenyataan Najib di atas. Teras perjuangan Umno kata Najib adalah mengangkat dan membangunkan tamadun ummah sehingga berjaya dan cemerlang di dunia dan di akhirat. Jarang-jarang juga kita dengar perkataan ini meniti di bibir pemimpin Umno apabila mereka berada di luar Kelantan.

Di Konsert “Seri Perdana Soiree 1957-2007” contohnya yang turut dihadiri pemenang anugerah Grammy iaitu George Benson dan Al Jarreau, yang turut dihadiri tetamu yang berbaju singkat dan jarang tidak pula kita dengar berkenaan Tamadun Islam, berkenaan penekanan tauhid dan akidah. Begitu juga di konsert Bollywood yang turut dihadiri isteri Najib, atau adakah ini semua sebahagian dari tamadun yang dimaksudkan?



Benarkah Umno sahaja yang berada di hadapan dalam mempertahankan sebarang cubaan untuk menodai agama? Saya tidak mahu mengemukakan bukti-bukti semasa, tetapi jika anda membaca sejarah Peristiwa Natrah yang meletus pada 12 Disember 1950, apabila umat Islam di Singapura dan Tanah Melayu bangkit memprotes keputusan mahkamah penjajah yang mahu memurtadkan secara paksaan seorang gadis Belanda bernama Natrah yang telah pun berkahwin dengan pemuda Melayu bernama Mansor Abadi, semua pihak berdukacita dan menentang keputusan itu kecuali Presiden Umno, ketika itu, Dato Onn Jaafar yang menganggap tindakan protes itu sebagai tindakan puak pelampau. (Dr Burhanuddin al Helmy ( yang kemudiannya nanti akan menjadi Presiden PAS) dan beberapa pemimpin NGO dan masyarakat Islam/Melayu telah ditangkap dan merengkok dalam penjara British kerana mempertahankan Natrah).


Dan sehingga kini lebih 50 tahun berlalu dan kuasa kini berada ditangan anak-anak bangsa yang diterajui Umno, isu murtad masih terumbang-ambing, dan diwaktu saya menulis ini mayat seorang wanita yang dikatakan telah memeluk agama Islam sebelum meninggal, masih berada di bilik mayat HUKM kerana suaminya yang bukan Islam mahu menuntut mayat tersebut untuk dikebumikan mengikut agamanya.


Ketika IFC membawa petisyen tuntutan mereka di bangunan Parlimen beberapa pemimpin termasuk menteri-menteri Umno telah menurunkan tandatangan sokongan, sedangkan badan inilah yang mahu merobek dan memusnahkan Islam yang kononnya mahu dipertahankan Umno itu.

Kesimpulannya Najib tak perlulah bermain politik di Kelantan sehingga sanggup berpura-pura semata-mata kerana bernafsu mahu menawan negeri tersebut. Najib bermegah dengan masjid-masjid yang dibina Umno, apa guna masjid berjuta ringgit kiranya ia sekadar satu monumen tetapi tidak diimarahkan. Kuliah disekta-sekat, gerak kerja dakwah dihalang, masjid sekadar penghias, sekadar tempat untuk bersolat dan tidak lebih dari itu, selain tempat Menteri dan wakil rakyat datang sewaktu hari-hari perayaan.

Tidak ada orang yang sayangkan Islam yang mahu menyempit dan menjumudkan agama tersebut. Kalau benar mahu kepada Islam kita bersama-sama kembali kepadanya secara total atau keseluruhan (tanpa memaksa yang bukan Islam tetapi mewajibkan sesama Islam). Bukan mengikut sempadan dan batas tertentu. Apabila menjejak kaki ke Kelantan, kita terus jadi Islamik tetapi bila melangkah keluar, kita boleh lakukan apa sahaja walaupun yang bertentangan dengannya.

Kalau benar ikhlas dan jujur mahukan Islam, ayuh kita “Membangun Bersama Islam”.

No comments: