Akhirnya kerana kononnya menghormati amalan Islam Hadhari, dan menganggap rakyat Malaysia mengamalkan pendekatan "Holier than thou", semuanya macam Ulamak (kata Dr Chua), Menteri Kesihatan yang juga ahli Parlimen Labis dan Naib Presiden MCA meletakkan semua jawatannya dalam kerajaan dan parti setelah mengaku beliaulah lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita yang rakamannya kini menjadi DVD dan disebarkan ke seluruh negara.
Sekurang-kurangnya kata Dr Chua beliau berani mengaku dan memikul tanggungjawab. Beliau tidak pernah menafikan perkara tersebut atau mengatakan yang rakaman itu direka-reka (sebagaimana setengah-setengah pihak lain).
Lalu episod Dr Chua ini mengingatkan saya kepada apa yang berlaku di Selangor satu ketika dahulu. Kerajaan Selangor bukan sekadar menjaja Islam Hadhari sebagaimana di Pusat malah kerajaan Khir Toyo juga kononnya mengamalkan Dasar Selangor Maju Menuju Wawasan Syumul 2005, dimana melalui dasar itu Selangor mahu melahirkan masyarakat madani yang dilimpahi dengan insan-insan rabbani.
Tetapi apabila meletup skandal seorang ahli parlimen Umno Selangor bergomol dengan seorang ahli dewan negara Umno Selangor (yang kedua-duanya masing-masing telah ada suami dan isteri) tidak pula berlaku apa-apa sebagaimana yang berlaku ke atas Dr Chua seorang tokoh MCA yang bukan Islam!
ADUN DAP Sekinchan telah membawa foto kedua-dua pemimpin Umno ini berdakap-dakapan ke Dewan Undangan Negeri Selangor sambil bertanya inikah contoh pemimpin Islam Hadhari yang mahu MB Selangor lahirkan, speaker dewan telah membantah usaha YB Ng itu dan kebetulan speaker adalah ayahanda kepada Senator yang juga Ketua Wanita Umno bahagian Kelang itu.
Kedua-dua ahli Parlimen Gombak dan Senator Norhayati masing-masing pada mulanya membuat kenyataan menafikan gambar tersebut. Kononnya difitnah oleh pihak pembangkang. Tetapi apabila ADUN DAP Sg Pinang mendedahkan laporan polis yang dibuat oleh suami Senator berkenaan dan rakyat pula diberitahu bahawa Senator berkenaan sedang menuntut cerai dari suaminya dan kesnya sedang dibicarakan di mahkamah syariah, barulah kita tahu bahawa memang mereka berdua ada hubungan sulit.
Dr Chua berkata sekurang-kurangnya beliau berani buat dan berani bertanggungjawab dan memetik pula dasar Islam Hadhari amalan kerajaan Dollah sebagai alasan untuk beliau melepaskan jawatan, ahli Parlimen Gombak dan Senator yang sudah tentu Islam kedua-duanya itu bagaimana?
Jika benar kita mahu dipimpin oleh pemimpin yang bukan hanya tidak rasuah dan menyeleweng tetapi juga baik akhlak dan pekertinya, maka sebagaimana Naib Presiden MCA ini, rakyat Selangor juga sepatutnya mendesak agar ahli Parlimen Gombak dan Senator berkenaan melepaskan jawatan masing-masing demi membuktikan mereka berdua adalah insan-insan rabbani yang mahu dibentuk dan dilahirkan oleh Khir Toyo.
Malu kita kepada pemimpin MCA yang bukan Islam yang berani itu, sedangkan pemimpin Umno bersenang-senang enggan memikul tanggungjawab.
No comments:
Post a Comment