Friday, January 11, 2008

Antara Mat Jenin dan Mat Taib

Dalam mSTAR online, versi Melayu akhbar The Star, Ketua Penerangan Umno Muhammad Mohd Taib berkata bahawa harapan PAS untuk memerintah 4 buah negeri hanyalah merupakan angan-angan yang tidak kesampaian. Kata beliau lagi jangankan tambah jajahan, malah Kelantan yang PAS perintah pun akan dirampas semula oleh BN.

Mat Taib mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS yang juga ahli parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub baru-baru ini bahawa PAS sedang mengintai peluang memerintah 3 buah negeri tersebut selain Kelantan.





Pada Mat Taib ianya mungkin angan-angan Mat Jenin, dan padanlah pun, takkanlah beliau mahu mengeluarkan kenyataan menyokong pandangan Salahuddin itu. Sebagai Ketua Penerangan, tugas beliau adalah menangkis dan menyerang apa sahaja kenyataan pembangkang, tanpa memperdulikan samada ianya benar atau sebaliknya. Dan tambah-tambah kita sedang menghadapi musim pilihan raya, Mat Taib sudah pasti mahu menonjolkan dirinya, manalah tahu diberi kesempatan menduduki kembali takhta MB Selangor yang dirampas darinya (kerana isu akhlak dan dituduh terlibat kes rasuah) satu ketika dahulu atau sekurang-kurangnya berpeluang menjadi menteri kabinet.

Mat Taib tidak salah untuk memiliki cita-cita sedemikian, (walaupun rekodnya terlalu buruk untuk dimajukan ke hadapan), sebagaimana Salahudin dan PAS juga berhak mempunyai sasaran. Janganlah sapu semua sebagai angan-anag Mat Jenin belaka.

PAS hilang kuasa di Kelantan pada tahun 1978, dan tidak siapa menyangka yang parti Islam itu akan mampu berkuasa kembali setelah Umno dan BN bertapak kembali, tetapi ditakdirkan Allah swt PAS berjaya pada tahun 1990 dengan bantuan Tengku Razaleigh (orang yang sama yang menjatuhkan PAS). Begitu juga di Terengganu setelah tidak cukup penggal memerintah negeri tersebut selepas Pilihanraya Umum 1959, PAS diramalkan tidak akan berpeluang kembali berkuasa tetapi dengan 4 kerusi pada tahun 1995 ia bangkit semula dan menumbangkan kerajaan Terengganu pimpinan Wan Mokhtar yang dikatakan kebal itu pada tahun 1999.

Memang kalau kita lihat pada keputusan pilihanraya 2004, PAS sukar bangkit kembali, tetapi waktu dan suasana sudah berubah. Jika Mat Taib bersandar pada keputusan 2004 semata-mata, maka beliau ternyata silap bacaan. Hari ini rakyat sudah berani menilai kepimpinan Dollah Badawi, jika 2004 dahulu beliau muncul dengan imej bersih dan menjanjikan harapan baru, tetapi sehingga kini rakyat ternyata sudah hilang keyakinan.

Krisis kos hidup yang melanda rakyat adalah sesuatu yang serius tidak seperti pada 2004. Krisis kehakiman, rasuah, isu moral pemimpin yang berkuasa, ketidakseimbanagn ekonomi, jenayah semuanya terus menerus menghilangkan keyakinan dan kepercayaan rakyat pada Umno dan BN. Takkanlahs ebagai Ketua Penerangan Umno, Mat Taib tidak tahu akan sentimen ketidakpuasana hati ini?

Berasaskan suasana yang ada, serta persiapan rapi jentera PAS dan BA serta pembangkang, Salahudin tidak salah meletakkan andaian yang PAS mempunyai peluang besar di negeri-negeri berkenaan. Soal Mat Taib percaya atau tidak, itu tidak penting. Yang penting adalah rakyat di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis malah seluruh negara. Mereka yang tertekan, mereka yangs engsara, mereka yang mengalami dan menanggung realiti hidup yang ada pada hari ini.

Apakah opsyen atau pilihan mereka? Tiada lain melainkan beralih sokongan pada pembangkang. Jika ini berlaku andaian Salahudin itu tidak mustahil. Ini bukan kisah Mat Jenin atau Mat Taib (macam adik beradik), ini kisah kehidupan sebenar, berlaku atay tidak terletak pada ketentuan Illahi, tetapi PAS dan lain-lain perlu berusaha dan bekerja kuat. Mat Taib terus-terusanlah memandang rendah dan memperlekehkan harapan PAS itu, kerana yang pentinga dalah rakyat dan para pengundi. Ayuh kita lenyapkan Mat Jenin, Mat Taib dan yang seumpamanya.

No comments: