Najib ajak rakyat kuburkan Kerajaan PAS Kelantan
Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno mengadakan lawatan ke Kelantan semalam. Ketika berucap di Majlis Perhimpunan Pemimpin Masyarakat Bersama Timbalan Perdana Menteri anjuran Majlis Kemajuan Kelantan (MKK) di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Peringat beliau berkata bahawa tahun 2008 ini adalah tahun ke 18 PAS memerintah Kelantan, oleh itu rakyat negeri ini mesti menjadikan tahun ini sebagai tahun terakhir PAS memerintah.
Kelantan bertukar kerajaan negeri sebanyak tiga kali. Pada Pilihan Raya Umum yang pertama tahun 1959 rakyat Kelantan telah memberi mandat kepada PAS untuk memerintah. Dan PAS telah memerintah negeri tersebut sehinggalah Pilihan Raya Negeri 1978 apabila ia ditumbangkan oleh BN Negeri diketuai Umno dan Berjasa. BN memerintah pula dari 1978 sehingga Pilihan Raya Umum ke 8 pada tahun 1990 apabila Angkatan Perpaduan Ummah iaitu gabungan PAS dan Semangat 46 berjaya menumbangkan pula BN. Pas menerajui Kelantan sejak itu dan kini 2008 telah masuk tahun ke 18 ia memerintah.
Dalam erti kata lain maksud Najib jika pada tahun 1978 iaitu setelah memerintah Kelantan selama 18 tahun, PAS boleh dijatuhkan maka tidak ada sebab kini pada tahun 2008, sempena 18 tahun pemerintahannya, mengapa rakyat Kelantan tidak boleh mengulangi perkara yang sama. Alasan Najib PAS tidak memberikan apa-apa kepada rakyat dan negeri tersebut.
Saya memahami keghairahan Najib untuk merampas Kelantan ini. Sudah pastilah habuan dan kemegahannya besar bagi sesiapa yang berkuasa dalam Umno yang berjaya melakukannya. Semasa Allahyarham ayahnya menjadi PM dahulu, Tun Razak gagal berbuat demikian, malah kemudiannya demi kepentingan perpaduan Melayu selepas Perisitiwa Hitam 13 Mei, Tun Razak sebaliknya mengorak langkah menyatukan kedua-dua parti Melayu terbesar ini melalui kerajaan campuran dan kemudiannya mengundang PAS menyertai BN.
Tetapi anak Tun Razak ini lebih bernafsu mahu membunuh sahaja PAS. Bagi beliau PAS adalah penghalang dan perlu dimusnahkan. Apa yang PAS bawa dan perjuangkan tidak penting, yang penting Umno dan BN mesti kembali berkuasa dan Annuar Musa dinobatkan sebagai MB Kelantan. Nanti projek boleh mencurah-curah turun ke bumi Kelantan, rakyat Kelantan nanti mewah, negerinya nanti makmur. (Walaupun negeri yang Umno telah perintah sejak 1959 ada juga yang masih tidak mencapai tahap demikian).
Bolehkah atau bersediakah atau berselerakah rakyat Kelantan menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Tok Guru Nik Abd Aziz ini semata-mata atas alasan yang diberikan Najib itu?
Saya yakin rakyat Kelantan masih ingat mengapa mereka menumbangkan kerajaan Umno pada tahun 1990 dahulu. Ketika itu kerajaan pimpinan Umno bertalian terus dengan Umno diperingkat Pusat yang menguasai Kerajaan Persekutuan. Walaupun demikian namun rakyat Kelantan menumbangkan juga Umno, mengapa?
Bermakna kemajuan penting, pembangunan penting, tetapi yang lebih penting dan utama khususnya bagi rakyat Kelantan ternyata adalah pemimpin yang bertaqwa, bersih, tidak rasuah dan berakhlak mulia. Ternyata bab ini tidak mampu dipertonjolkan oleh Umno. Kalau sekadar “figure” seperti Annuar Musa, Awang Adek, Sazmi Miah mahu diketengahkan untuk menolak tokoh seumpama Tok Guru Nik Abd Aziz, saya rasa jangankan pengundi di Kelantan, budak-budak sekolah pun tidak berkenan.
Rakyat Kelantan telah merasai hidup di bawah Umno, berketuakan pemimpin yang lebih mememintangkan kaum keluarga, puak dan kroni masing-masing, mewah memang mewah, tetapi kemewahan milik pimpinan Umno!
Kini Najib menjanjikan lonjakkan berganda untuk Kelantan.
Kalau lonjakkan berganda itu bermakna bermenteri besarkan Annuar Musa, menolak sebuah kerajaan negeri yang mahu melaksanakan Islam, menumbangkan satu-satunya ulamak yang menjadi Ketua Negeri iaitu Tok Guru Nik Abd Aziz, saya yakin dan percaya rakyat Kelantan berkemungkinan bukan hanya tidak akan menurut malah akan meneguhkan lagi kedudukkan PAS dengan majoriti yang lebih baik kali ini. Yang akan terus dikuburkan bukannya PAS tetapi Umno Kelantan.
No comments:
Post a Comment