Sudah semestinyalah mereka yang bekerja di Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menumpang gembira kerana hari Khamis ini sempena perayaan Thaipusam, mereka juga akan diberikan cuti sebagaimana negeri-negeri Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Pualau Pinang dan Johor. Anugerah cuti itu diisytiharkan oleh Perana Menteri Dollah Badawi semalam ketika menghadiri himpunan masyarakat India yang sebenarnya ditaja oleh MIC di Cheras.
Walaubagaimanapun bagi kakitangan kerajaan saya pasti mereka akan lebih germbira jika yang diumumkan bukannya cuti tetapi bayaran honorarium RM2,000 yang dituntut oleh CUEPACS.
Pastinya juga masyarakat India yang beragama Hindu khasnya yang bekerja di KL akan turut lega kerana akhirnya dapat juga mereka merayakan perayaan agama mereka itu tanpa perlu menuntut cuti dari majikan atau pura-pura bercuti sakit jika cuti tidak diberikan. Warga KL juga akan lega kerana pastinya jalan-jalan di sekitar KL kurang sesak jika hari itu adalah cuti umum, yang sesak cuma mereka yang menuju ke Batu Caves sahaja.
Kalau kita lihat aksi Samy Vellu semalam, sebaik sahaja Dollah dalam ucapannya itu mengumumkan cuti untuk KL dan Putrajaya, spontan Samy melompat meluru ke arah Dollah bagi mengucapkan terima kasih. Inilah gimik politik murahan Presiden MIC yang mahu memungut kredit atas pengisytiharan cuti itu. Kononnya nanti terbukti kerana beliaulah maka kerajaan memberikan cuti itu.
Saya tidak menafikan yang memang MIC sentiasa membuat tuntutan agar cuti diberikan kepada warga KL malah MIC menuntut agar Thaipusam dijadikan cuti umum untuk seluruh negara. Namun dari tahun ke tahun tuntutan MIC itu tidak dilayan. Tiba-tiba kali ini Dollah memberikannya, mengapa?
Bagi saya yang sepatutnya menerima kredit adalah kelima-lima pemimpin Hindraf yang sedang merengkok kerana ditahan di bawah ISA di Kamunting. Jika tidak kerana mereka, menggerakkan puluhan ribu masyarakat India keluar ketengah jalanraya tahun lepas, pasti segala tuntutan masyarakat Hindu tidak dilayan. Sejak akhir-akhir ini apa sahaja tunututan dan kehendak masyrakat minoriti India diberi perhatian oleh kerajaan. Demikianlah hebatnya sumbangan Hindraf buat masyrakat India di Malaysia!
Walaupun secara peribadi banyak dari tuntutan dan desakkan pihak itu saya kira melampau namun jelaslah kehadiran Hindraf telah menggoncang Putrajaya dan MIC sehingga nasib dan kebajikan masyarakat India kini tiba-tiba menjadi perhatian dan keutamaan kerajaan. Mungkin sudah tiba masanya bagi orang-orang Melayu pula yang sudah lama terpinggir, ditipu dan dimain-mainkan oleh Umno dan kerajaan (termasuklah ahli-ahli Umno biasa) bangun berarak ke tengah jalanraya sebagaimana Hindraf, barulah nanti mungkin nasib mereka benar-benar terbela dan diberi perhatian serius, tidak lagi ada yang merempat di bumi sendiri!
Selamat bercuti hari Khamis ini untuk semua yang berkenaan.
*MAAF RABU
No comments:
Post a Comment