Saturday, July 12, 2008

Faham betul-betul maksud kenyataan Tuan Guru Presiden PAS

Saya difahamkam ramai yang telah menyatakan sokongan terhadap kenyataan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam keluaran harakah terbaru. Ia terus menarik perhatian kawan dan lawan. Antaranya termasuklah pimpinan kawasan-kawasan, pimpinan negeri-negeri dan pimpinan Pemuda, Muslimat dan Ulamak Pusat. Banyak saya terima SMS, email dan panggilan selain posting di beberapa laman web alternatif.

Namun sebagaimana yang dijangka ada juga yang tidak senang, malah memberikan reaksi yang negatif termasuklah seorang rakan blogger yang kebelakangan ini seronok dengan mendedahkan maklumat bocor yang half truth dan fitnah.

Seperti biasa antara yang terdahulu memberi reaksi adalah adinda Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz http://nikabduh.wordpress.com/ yang antara lain menyebut:

Anda tak boleh baca maksud saya? Ah, tiba - tiba tuan presiden boleh baca maksud saya.

Oh, tidak. Saya telah membaca maksud tuan presiden. Tahniah tuan presiden! Maksud presiden adalah maksud saya. Jika anda tak faham dan keliru apa yang saya tulis, fahami sahaja komentar tuan presiden.

Apa yang Tok Guru Hj hadi sebut dalam temuramahnya dengan wartawan Harakah, itulah yang menerangkan apa yang saya maksudkan dalam tulisan saya, “Apa alternatif PAS?”

Indahnya jelas. Jelas adalah hikmah. Jelas menyapu dan mencuci kekaburan dan sarap sampah.

Seorang lagi aktivis PAS dari utara adinda Ustaz Yussaine Yahya http://jihategakislam.blogspot.com/ pula menulis:

Saya secara peribadi, amat berharap sikap yang tegas dalam mempertahankan prinsip dan uslub dakwah seperti yang ditunjukkan oleh TGHH akan berterusan selamanya.

PAS tetap akan menjadi sebuah gerakan Islam yang berjuang untuk mempertahankan aqidah dan agama serta memperteguhkan bangsa dengan keduanya. Sejak kepimpinan ulama’ diperkenalkan, PAS telah mengubah cara dan uslub pergerakannya daripada parti politik yang menggunakan wajah Islam dalam bergerak kepada sebuah gerakan Islam yang tidak pernah jemu mengajak manusia taat kepada Allah dengan menjadikan politik sebagai cabang kecil aktivitinya.

Dan yang terbaru yang saya kira sangat penting dan harus difahamis ecara mendalam oleh seluruh petugas dan pendukung parti adalah kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh, mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=015751&Itemid=85

Dewan Ulama PAS Pusat ingin mengalu-alukan dan menyatakan sokongan sepenuhnya kepada kenyataan yang dibuat oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS sebagaimana yang telah dimuatkan dalam Harakah keluaran 13-28 Rejab 1429/ 16-31 Julai 2008 yang antaranya memperjelaskan peranan PAS dalam arus politik perdana masa kini.

Dewan Ulama PAS Pusat amat prihatin dengan isu negara yang berlaku dan sentiasa memastikan agar ianya memberi kesan yang baik untuk Islam dan ummahnya.
Dewan Ulama juga berkeyakinan bahawa masyarakat Malaysia pada hari ini menaruh harapan yang tinggi kepada PAS untuk menerajui negara, bahkan telah ramai yang ingin melihat wujudnya Negara Islam atau negara berkebajikan yang sebenar yang memberi jaminan keamanan dan kesejahteraan kepada semua kaum dalam negara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS sememangnya mengambarkan bahawa perjuangan PAS adalah jelas iaitu menyeru manusia ke arah yang maaruf dan berusaha menjauhkan manusia dari kemungkaran dan kezaliman.

Apa saja cara yang diajar oleh Islam itulah teori dan landasan yang dibawa oleh PAS. Pendekatan yang diambil oleh PAS dalam arena politik tanah air sememangnya berbagai-bagai dan PAS ternyata telah matang.

Dewan Ulama percaya bahawa semua ahli PAS seharusnya menyedari bahawa bertemu dan berbincang dengan mad’u yang mempunyai pelbagai latarbelakang adalah penting untuk memastikan sasaran dakwah dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Semua ahli diajar bahawa Tahaluf Siyaasi adalah satu juzuk yang penting dalam politik Islam. Ia mesti diguna pakai oleh Jamaah Islam seperti PAS agar dasar yang diperjuangkan oleh PAS dapat dihayati dengan lebih dekat oleh rakan-rakan di dalam gagasan tahaluf siyaasi ini.

Selain dari itu juga, kehadiran PAS dalam Pakatan Rakyat adalah perlu difahami dalam konteksnya yang luas.

Kerjasama yang dibuat oleh PAS amat jelas iaitu untuk menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran (Islam). Kerjasama dan pakatan yang boleh merealisasikan hasrat murni ini sudah pastinya akan terus dijulang oleh PAS. Begitu juga sebaliknya kalau pakatan yang merugikan Islam dan perjuangannya pasti akan ditolak oleh PAS.

PAS bukannya parti yang melukut di tepian yang boleh diletakkan di mana-mana. Parti-parti lain yang turut mendukung cita-cita membentuk kerajaan baru di Malaysia pula perlu terlebih dahulu menjaga sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia.
Isu-isu syiar agama yang menjadi tuntutan dan prinsip kepada orang yang beragama Islam perlu juga difahami tahap sensitivitinya.

Wujudnya tuntutan untuk memperlahankan suara azan sebagai contohnya menunjukkan segelintir masyarakat masih tidak memahami urusan penting bagi umat Islam. Perkara ini sepatutnya difahami oleh semua kaum di Malaysia.

Saya akui kenyataan Presiden PAS itu memerlukan bacaan yang teliti, malah ia juga mudah diberikan pelbagai tafsiran oleh sesetengah pihak sehingga lari dari maksud dan tujuan asalnya (oleh itu kita perlu berhati-hati). Bagi saya tafsiran Dewan Ulamak PAS Pusat di atas meneguhkan pemahaman kita, dan siapakah lagi yang lebih baik sebagai rujukan dalam hal yang serba mencabar ini jika tidak ulamak!

Allah swt berfirman:

"Sesungguhnya yang takut kepada Allah dikalangan hamba-hambanya adalah ulamak" (Faathir:28)

5 comments:

Anonymous said...

Betullah kita kena berda'awah dengan sesiapa sahaja, dan sudah tentunya UMNO.

Tapi, untuk berlaku adil kepada rakan2 PR, sudahkah juga kita mengambil sebarang inisiatif untuk berda'awah pada kadar yang sama ataupun lebih gigih dengan PKR dan PAS. Saya rasa kalau ada pun belum cukup.

Apa yang saya difahamkan belum ada komitmen sama ada secara bertulis atau verbal daripada pimpinan PKR untuk memberikan PAS ruang yang secukupnya untuk menjalankan kerja-kerja Islam sekiranya PR diamanahkan oleh Allah s.w.t. untuk memerintah Malaysia. Soalnya, kalau ia tidak pernah keluar dari mulut sebelah sana, apa salahnya kita yang sebelah sini yang memulakan pertanyaan.

Kalau depa tak mula, apa salah TGHH atau Ust Nasha, yang cakap macam ni, dalam suatu perjumpaan tertutup, "Look bro A..., please give us your commitment to allow us to ....". Takkan tak boleh kot.

PAS bukan parti betina yang perlu tunggu orang jantan bersuara dulu. Kalau depa tak mula, baik kita yang mula.

Saya rasa kita masih belum cukup, (ntah-ntah tiada langsung) daawah dengan rakan-rakan dekat, tiba-tiba bergegas mah mendaawahkan yang jauh. Di mana awliyat kita?

slyderrose said...

Sebagai ahli PAS saya berharap PAS dapat memerintah Malaysia tanpa bergantung pada parti lain termasuk umno, PKR atau apa pun. Dengan ini lebih mudah PAS untuk melaksanakan misi PAS selama ini. Tetapi sebelum itu PAS kena menyakinkan rakyat tentang keadilan dan kebaikan Islam. Atau setidak-tidaknya PAS memenangi lebih banyak kerusi parlimen dan DUN dari pihak pakatan lain. Target rampas Trengganu dari umno. Kelantan, Insyaallah. Tambah kerusi Parlimen di Kedah, Perak, Selangor dan Pahang. Johor juga. PAS kena kerja cukup kuat.
Kalau tidak jangan membebellah. Nak bergabung dengan umno, mana ada pemimpin umno nak laksana islam. Adake? Islam hadhari adalah.

Anonymous said...

Saya bebesar hati menyatakan setuju saya 100% dalam kenyataan Ustaz Hadi. Nampak DSAI pun tidak banyak cakap pasal hal peribadinya dalam Ceramah Beliau di Putik, Kelantan. Semoga kita di Pakatan Rakyat sentiasa bersatu. Harapan saya.

Rakan2
Jangan Lupa layari blog saya di http://khairilazuar.wordpress.com
bagi komen setiap artikel yang saya tulis. …ada artikel baru

Unknown said...

Jatuh bangun sudah menjadi asam garam PAS. Kita bersyukur apabila mencapai kemenangan. Kita juga tidak berputus asa apabila PAS ditolak. Walau apa keadaanpun, PAS sentiasa menang. Ini kerana PAS bukanlah semata-mata sebuah parti politik tetapi PAS adalah sebuah badan gerakan dakwah. Kita kena pertahankan prinsip itu, barulah kita dianggap sentiasa menang.

Anonymous said...

Tulisan-tulisan yg kononnya utk bermuhasabah dah tegur-menegur terhadap PAS(constructive critism), sedangkan pada hakikatnya hendak menghancurkan PAS(destructive critism) secara halus mmg sebegitu banyak dialam maya dan juga di alam nyata...

Tidak seperti media arus perdana yg mmg mahu menjatuhkan PAS secara terang-terangan,tulisan-tulisan ini pada mulanya kelihatan seakan-akan mmg secara ikhlas mahu melihat PAS mara kehadapan dan menjadi lebih baik, tetapi lama-kelamaan semakin terserlah belang dan ekor mereka. Pendedahan-pendedahan berkenaan kononnya cerita dalaman, yg entahkan betul atau tidak...kemudian beralih kepada cerita-cerita sensasi berbaur fitnah dah tohmahan yg tidak benar sama sekali. Seterusnya berkembang kepada cacian dan makian kepada pemimpin, penggerak dan ahli2 PAS seluruhnya.

Disinilah penyokong2, ahli2 dan pendokong PAS khususnya diperingkat akar umbi, mendambakan kenyataan-kenyataan sebegini dari pucuk pimpinan tertinggi PAS, terutamanya dari Tuan Presiden. Selain utk makluman kepada semua ttg halatuju dan matlamat perjuangan PAS, ianya juga menjadi panduan utk kita semua membetulkan kembali aqidah perjuangan kita masing-masing, yg mungkin sedikit goyah ekoran lambakan tulisan-tulisan dan artikel di alam maya mahupun alam nyata yg bermotifkan sedemikian...

Saya yakin ruang utk 'constructive critisim' sentiasa terbuka luas didalam PAS. Namun pastinya ada adab dan tatasusilanya, yg selalu kita diperingatkan.