Thursday, July 10, 2008

Jenayah rogol terus menghantui kita

Semalam Menteri Wanita, Dr Ng Yen Yen (penerima biasiswa kerajaan PAS Kelantan zaman Dato Asri) telah melancarkan buku hasil kajian Rachael Samuel dan Dr Rohana Ariffin berjudul: Rapist adn Rape: Who and Why.

Dalam majlis berkenaan Ng telah memberikan beberapa statistik berhubung kes rogol yang dilaporkan di Malaysia. Menurut beliau pada tahun 2005 terdapat 1,887 kes rogol yang dilaporkan (iaitu bersamaan 5 kes sehari) ia meningkat ke 2,435 pada tahun 2006 (iaitu hampir 7 kes sehari) dan terus meningkat ke 3,177 pada tahun 2007 (iaitu hampir 9 kes sehari).

Ini menunjukkan yang kejadian jenayah seksual khasnya rogol semakin tahun semakin meningkat, itu tidak termasuk kes-kes yang tidak dilaporkan atas pelbagai sebab termasuk malu, dilakukan oleh kaum keluarga dan lain-lain.

Manakala menurut kajian yang dilakukan oleh buku berkenaan yang lebih membimbangkan bahawa hampir 81.1% dari perogol yang sabit kesalanya adalah terdiri dari bangsa Melayu. Mereka ini kebanyakannya dari lingkungan umur 50an diikuti dengan mereka yang berumur 30 ke 21 tahun. Dan sebahagian besar dari mereka yang terlibat dalam kes keji ini terdiri dari mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, berpendidikan rendah dan telah pun berkahwin.

Dan sehingga ke hari ini saya kira kita masih terkapai-kapai mencari jalan mengatasi jenayah yang paling kejam dan keji serta dikutuk oleh semua agama dan bangsa ini. Hakikatnya angka sial ini terus meningkat dan kita sendiri tidak berdaya memastikan yang anak-isteri kita akan terselamat dari menjadi salah satu angka statistik mangsa berkenaan ataupun mungkin kaum keluarga kita pula menjadi angka statistik penjenayah itu.

Di sinilah peranan mereka yang berkuasa sangat penting. Apabila ada pihak menekankan aspek penguatkuasaan termasuklah etika berpakian dan seumpamanya, ada diantara kita mengherdik dengan mengatakan kita tidak harus menjadi "moral police" kerana ia pendekatan yang tidak bijak. Dalam kita ghairah mengherdik tidak pula kita kemukakan alternatif dan dalam pada itu statistik berkenaan terus meningkat.

Malah lebih malang lagi apabila ada pihak menekankan aspek perundangan Islam sebagai opsyen bagi mencegah dan menangani bahana ini, ada pula yang terus mencemuh dengan mengatakan kita ini negara sekular, bermasyarakat majmuk, maka sebarang peraturan biarlah liberal dan boleh diterima oleh semua. Dan seperti biasa dalam kita ghairah mencemuh tiada pula kita kemukakan alternatif yang relistik dan statistik berkenaan terus meningkat.

Selagi amar makruf nahi mungkar tidak menjadi amalan kita, selagi itulah gejala jenayah tidak berperikemanusiaan ini akan terus bermaharajalela. Malah Menteri Wanita itu sendiri dalam ucapannya menyarankan agar perogol berulang dikasi bagi memastikan mereka tidak lagi terus mengulangi jenayah mereka itu.

Orang Melayu/Islam kena serius berfikir akan hal ini kerana ternyata ia terbanyak melibatkan kelompok kita. Kembalilah Allah dan Rasul, insyallah kita dan kaum keluarga serta jenerasi yang mendatang insyallah akan selamat.

4 comments:

M Rajoli Al-Qlantani said...

Semalam Menteri Wanita, Dr Ng Yen Yen (penerima biasiswa kerajaan PAS Kelantan zaman Dato Asri) telah melancarkan buku...

Bro..
tak baik mengungkit pemberian bro..
hehehe..

Anonymous said...

Bro. Roslan,

Bila berdepan dengan masalah sosial seperti rogol dsbnya. Kita selalu salahkan pelakunya. Sedangkan kita lupa bahawa kita yang patut dipersalahkan kerana kita yang benarkan perkara itu berlaku. Kita tidak pernah mengajak umat kita ke jalan Allah swt dengan menegakkan undang-undang Islam. Sedangkan Pope pun mengakui bahawa undang-undang Islam dapat mencegah dan mengatasi masalah sosial yang berlaku masa kini. Ini kita yang Islam pulak tak sanggup mengamalkannya dengan alasan-alasan yang munafik seperti kejam, belum sampai masa lagi, tak sesuai dengan zaman ini dan sehingga mencerca undang-undang Allah kononnya dengan tertegaknya undang-undang Allah akan dapat kita merasa 'sup tangan' setiap hari. Puak-puak munafikun begitu jelas sekarang di mata kita tetapi kita masih menyanjungi mereka semata-mata mereka tu seketurunan dengan kita. Undang-undang barat dah jelas gagal membentuk masyarakat mereka sehingga mereka patah balik kepada amalan agama. Ini kita pulak nak jauhkan diri kita dari agama kita.
Awat angka orang Melayu yang terlibat dalam kes rogol tu memalukan kitakah? Kita tidak malu kat Allah tapi kita malu pasal anak bangsa kita terlibat. Apa yang kita buat? Peribahasa kita yang harus kita tenung seperti SESAT DI HUJUNG JALAN, BALIKLAH KE PANGKAL JALAN, SESAL DULU BERPENDAPATAN, SESAL KEMUDIAN APA GUNA DAN MELENTUR BULUH BIARLAH WAKTU REMBUNGNYA. Adakah kita semai sifat-sifat ni pada anak-anak kita? Yang kita semai pada hari ini ialah ketuanan Melayu yang memang dilarang oleh agama kita. Jadi apabila jadi tuan, tentulah 'bahagian kita pun lebih' dalam semua hal. Begitu juga dalam kes rogol ni.
Saya serulah wahai umat Islam semua, berbaliklah kita kepada agama kita. Baru-baru ini Pak Lah ada menyatakan Pengkhianat Negara. Siapakah Pengkhianat tu? Adakah orang yang rasuah tu bukan Pengkhianat? Adakah orang yang beri projek berbilion kepada menantunya itu bukan pengkhianat? Adakah orang yang kebas harta kerajaan secara haram tu bukan pengkhianat? Siapa mereka kalau bukan Melayu kita? Fikirlah wahai saudara ku...... (Saya harap Sdr Roslan tidak memendekkan apa yang saya tulis ni seperti yang berlaku sebelum ni). Insyaallah.

Anonymous said...

salam, ternyata seluruh manusia inginkan keadilan yang sebenarnya. Dan keadilan itu hanya didalam agama Allah. Bila disebut tentang hudud maka akan banyaklah suara-suara jahat yang mencemuh. Tapi itu adalah lumrahnya, kerna hudud itu hukum Allah, mana mungkin jika didalam hati manusia tersebut tiada keinginan untuk taat perintah Allah terjadinya keinginan untuk melihat hukum Allah tertegak dimuka bumi ini. Sebab itu, usaha yang perlu dilakukan oleh setiap kita adalah keatas hati-hati manusia. Letakkan kegentaran didalam hati mereka akan keagungan Allah s.w.t. Kalau tak sampai kiamat pun kita akan bercakap perkara yang tiada penghujungnya. Kita ajak mereka beriman kepada Allah, biar sampai terkeluar dari mulut mereka herdikan kepada Allah, biarlah Allah yang menghukum mereka.

slyderrose said...

Macam mana tak meningkat rogol dan zina:

1. Bahan-bahan lucah mudah didapati.
2. Cerita-cerita sex disensasikan dalam media perdana.
Apabila hari-hari dibrainwashed dengan bahan-bahan ini imaginasi dengan hasutan syaitan menaikkan syahwat. Dan pakaian menjolok mata menambahkan perasa syahwat. Apa lagi zina dan rogol pun bolih berlaku. Yg kesian, kadang-kadang perempuan yg menutup aurat pun kena rogol sebab escapism. Si perogol melempias nafsu pada yg mudah.