Wednesday, February 08, 2006

TBP: Tabung yang tak kena atau orangnya

Isu Tabung Bantuan Perubatan atau TBP ini terus dipertikaikan.

Ianya meletus apabila Menteri Kesihatan mengumumkan bahawa pada tahun lepas hanya RM18 juta dari RM25 juta yang terkumpul dalam tiga dana yang dimaksudkan digunakan untuk tujuannya, bermakna masih ada RM7 juta berbaki.

Dan bagi tahun ini menurut UTUSAN hanya RM1.6 juta setakat ini telah dibelanjakan dari peruntukkan sebanyak RM100 juta.



Menurut menteri berkenaan Dr. Chua Soi Lek, tabung itu tidak mendapat sambutan orang ramai disebabkan kurang publisiti dan bukannya masalah birokrasi.

Benarkah kurang publisiti puncanya? Kalau kurang publisiti maka atas kementerian beliaulah untuk memastikan agar publisiti terhadapnya dilebihkan.

Hakikatnya hampir hari-hari kita menyaksikan samada dalam akhbar ataupun melalui TV ada sahaja warga Malaysia yang memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan anak atau kaum keluarga masing-masing. Kos perubatan untuk merawat penyakit kronik dalam negara terlalu mahal untuk golongan ini.

Mereka yang terlibat sehingga terpaksa meminta-minta, umpama pengemis sedangkan tujuan tabung ini adalah untuk membantu golongan seumpama ini, lalu dimana silap kita?

Ada pihak yang menagatakan karenah birokrasi mengakibatkan mereka yang terlibat sehingga tawar hati dan berputus asa, walaupun Dr Chua beria-ia menafikan.

Hari ini PM Dollah Badawi sebagaimana dilaporkan dalam akhbar-akhbar tempatan mengarahkan kementerian berkenaan agar melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi permohonan TBP ini agar ia tidak lagi menyusahkan rakyat. Sekaligus ini membuktikan memang selama ini prosedur yang ada sesungguhnya telah menyusah dan membebankan rakyat yang telah sedia terbeban menanggung penyakit masing-masing itu.

AJK PAS Pusat Hj Mahfuz Omar dalam kenyataannnya kepada pemberita menuntut supaya prosedur permohonan untuk mendapatkan bantuan TBP ini dirombak, dengan melantik orang awam menganggotai jawatankuasanya bagi memastikan perlaksanaannya dibuat secara telus dan bertanggungjawab. Kata Mahfuz yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS, ahli Parlimen dan pakar dalam bidang kesihatan perlu menganggotai jawatankuasa tersebut.

Kita hairan tabung ada, namun rakyat yang memerlukan masih menunggu-nunggu sehingga ada yang terkorban kerana terlalu lama mengharapkan bantuan yang tak kunjung tiba. Malu dibuatnya, negara ghairah mengejar kemajuan, tapi rakyat mati kerana tidak mendapat bantuan perubatan yang sepatutnya.

Dan Dollah menurut UTUSAN hanya dapat mengeluh seraya berkata:

Saya tidak tahu mengapa, sudah dilonggarkan (syarat) masih susah hendak dapat, tentu ada sebab tertentu yang membuat (orang) mengatakan susah.

Kasihan, bila tercetus bencana di luar kita bergegas menghulurkan bantuan atas nama kemanusiaan tetapi anak di rumah rupa-rupanya tak kita pedulikan tercegat keras, mati kelaparan.

No comments: