Keluarlah Jumaat ini Umno, PAS dan semua sekali
Nyatakan bantahan atas nama Islam
Saya sendiri pun sudah terlupa akan kejadian itu lalu berterima kasih kepada sahabat di www.umno-reform.com/ kerana membangkitkan isu ini kembali bagi menggerakkan minda kita yang selalu tertidur itu.
Kini terbayang ketika isu itu meletus dahulu sayalah antara yang terawal mengutuk penerbitan karikatur tersebut kerana merasakan kartunis tersebut agak keterlaluan dalam menggambarkan seorang pemimpin negara ketika itu (walaupun ada juga yang tidak bersetuju dengan pandangan saya pada awalnya).
Sebahagian dari kartun Zunar yang dimaksudkan
Isu yang dimaksudkan tercetus sekitar bulan Jun 2003, apabila akhbar HARAKAH menerbitkan karikatur berikut yang telah dihasilkan oleh Zunar:
Pihak PAS dan HARAKAH ketika itu telah membuat permohonan maaf. Malah pihak KDN sendiri telah memberikan amaran keras kepada HARAKAH. Suatu pengajaran yang baik untuk pihak-pihak berkenaan.
Apa yang mahu dibangkitkan di sini adalah reaksi kawan-kawan dalam Umno ketika itu.
Contohnya Exco Pergerakan Pemuda Umno, Ikmal Hisham Abdul Aziz telah mendesak agar pihak KDN jangan sekali-kali memaafkan HARAKAH dan membatalkan terus permitnya kerana menganggap tindakan HARAKAH itu sebagai biadap.
Hamid Zainal Abidin (orang kuat agama Umno ketika itu) pula telah mengharamkan terus perbuatan Zunar yang menjatuhkan maruah pemimpin Umno itu.
Dan yang paling keras adalah Ketua Puteri ketika itu Azalina Othman yang telah mendesak agar dibakar sahaja Pejabat HARAKAH di Jalan Pahang dan tuntutan ekstrim serta bercorak militan itu telah disambut oleh Ketua Pemuda Umno Hisahmuddin Tun Hussien yang turut menyatakan persetujuannya.
Demikianlah betapa prihatinnya keluarga Umno apabila pemimpin mereka diaib dan dipermainkan. Dan dalam hal ini kita faham sangat perasaan mereka.
Cuma yang saya mahu tekankan di sini kepada kawan-kawan dalam Umno, di saat ini, isunya lebih mendesak lagi. Pada hari ini kita berhadapan dengan akhbar negara asing yang telah menyiarkan karikatur biadap bukan menggambarkan pemimpin negara kita tetapi pemimpin agama kita iaitu Rasulullah saw.
Kalau pemimpin negara kita dulu Puteri dan Pemuda Umno tergamak menuntut agar dibakar sahaja Pejabat HARAKAH, maka dalam bab ini sepatutnya kita lebih terpangil lagi kerana Rasulullah adalah pemimpin kita di dunia dan di akhirat, pemimpin yang diberikan permit menganugerahkan syafaat ketika kita berasak-asak di Padang Mahsyar nanti, pemimpin sebenar kita yang bukan hanya manusia kasihi tetapi turut dikasihi oleh Allah swt.
Kesimpulannya tindakan akhbar Denmark itu sungguh biadap dan kurang ajar kerana menghina agama kita, suatu tindakan yang tidak boleh dipandang sepi atau dibiarkan.
Kesimpulannya ayuhlah kita bersama menunjukkan keprihatinan kita. Hari Jumaat ini umat Islam seluruh negara diajak berkumpul di Masjid Kg. Baru, berarak menuju ke Kedutaan Denmark di Wisma Denmark bagi menyatakan bantahan kita secara aman namun tegas dan tiada kompromi.
Tak perlu bakar Wisma Denmark sebagaimana Pejabat HARAKAH, kita bertindak secara jamaah melahirkan ketidakpuasan hati kita secara terbuka dalam keadaan aman. Biar dunia tahu bahawa umat Islam Malaysia juga tidak merestui tindakan biadap ini. Kemudian kita bersama melancarkan boikot terhadap barangan dan produk mereka, biar mereka beringat dilain kali.
Oleh itu dalam hal ini biarlah kita bersatu. Ketepikan sentimen politik, ketepikan pergeseran dan perbalahan. Kita nyatakan bantahan kita sebagai umat Islam yang bermaruah dan punya harga diri, ayuh, boleh?
No comments:
Post a Comment