Skim pinjaman buku teks untuk semua menjelang 2008
Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana akan memberikan pinjaman buku teks kepada semua pelajar sekolah rendah tanpa mengira status mulai tahun 2008 nanti.
Sesungguhnya perbelanjaan untuk membeli buku-buku teks merupakan beban yang besar kepada ibu-bapa pada setiap sessi baru persekolahan kerana kos buku-buku teks semakin tahun semakin naik. Mudah-mudahan usaha ini akan meringankan beban ibu-bapa seluruh negara.
Cuma pihak kementerian mestilah memastikan bekalan buku-buku teks itu mencukupi dan dapat digunakan oleh semua pelajar apabila sessi sekolah bermula. Jangan nanti anak-anak di Bandar lengkap dengan buku teks manakala anak-anak di luar Bandar terpaksa tunggu beberapa bulan atas alasan tidak cukup stok atau apa sahaja alasan yang tidak dapat diterima.
Menteri Pelajaran Hishamuddin Tun Hussien juga dilaporkan sebagai berkata bahawa satu mekanisma sedang dibentuk bagi memastikan ibu-bapa pelajar yang berpendapatan tinggi yang turut menerima skim buku teks pinjaman ini akan membayar balik bantuan kerajaan itu kepada mereka dengan cara lain.
Cuma yang saya agak musykil adalah darihal angka yang diberikan oleh Hishamuddin dalam akhbar-akhbar tempatan hari nini
Menurut Hishamuddin:
Setakat ini kerajaan sudah memberikan kemudahan SPBT (Skim Pinjaman Bukut Teks) kepada lebih 80 hingga 90 peratus pelajar termasuk anak-anak guru yang menikmatinya secara automatik bermula tahun ini.
Apa salahnya kalau kita luaskan kemudahan ini kepada baki 10 peratus yang tidak mendapatnya. Apa yang penting kita perlu pastikan tiada pelajar terpinggir daripada menerima kemudahan tersebut.
Benarkah anak-anak yang layak menerima SPBT dicampur dengan anak-anak kakitangan Kementerian Pelajaran mewakili 80 ke 90 peratus dari murid-murid sekolah rendah?
Tidakkah mereka yang layak untuk SPBT ini selain kakitangan Kementerian Pelajaran tadi adalah anak-anak yang ibu-bapanya berpendapatan kurang dari RM1500 sebulan sahaja?
Takkanlah 80 ke 90 peratus murid-murid sekolah rendah termasuk anak-anak kakitangan kementerian tadi tergolong dikalangan anak-anak miskin?
Takkanlah hanya 10 peratus ibu-bapa murid-murid sekolah di negara berpendapatan lebih dari RM1500 sebulan? Kalau demikian maka miskin sungguhlah rakyat Malaysia jadinya!
Saya pada mulanya menyangka akhbar THE STAR tersalah petik namun saya dapati UTUSAN juga memetik angka yang sama, jadi siapakah yang salah di sini?
Saya rasa ada yang tidak kena, samada menteri tersilap atau sengaja buat-buat silap (kerana yang kaya nanti pastinya adalah pembekal buku teks), tak tahulah. Yang pastinya kelihatan seolah-olah SPBT ini sudah diluar kawalan dan inilah agaknya yang mendorong Hishamuddin membuat pengumuman supaya semua orang kelak layak untuk SPBT ini tanpa mengira status, habis cerita.
Sementara itu para pembekal buku teks akan tergelak besar sambil terketek-ketek menuju ke bank masing-masing.
No comments:
Post a Comment