Wednesday, February 22, 2006

NST perkecil bantahan awam

Disaat umat Islam seluruh dunia masih terluka dengan tindakan biadap akhbar Denmark Jyllands Posten yang menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad saw, sepatutnya semua pihak khasnya di Malaysia mengambil jalan tengah menyejuk dan meredakan keadaan. Jangan lagi diguris dan ditoreh luka yang masih merah berdarah itu.

Apabila akhbar Sarawak Tribune turut menyiarkan semula karikatur yang sama, pihak kerajaan segera mengambil tindakan dengan menggantung lesen penerbitannya. Demikian juga apabila akhbar harian Cina Guang Ming Daily mengeluarkan foto sebuah akhbar yang menyiarkan karikatur tersebut, kerajaan telah serta-merta menggantung penerbitannya selama dua minggu.

Semua ini dilakukan demi memelihara sensitiviti umat Islam yang telah tidak dihormati atau dipedulikan oleh anasir-anasir dari Barat itu.

Kita sangkakan keadaan akan kembali tenang, rupa-rupanya masih ada pihak yang cuba menangguk di air keruh. Dan kali ini pihak berkenaan bukan calang-calang statusnya, iaitu salah sebuah akhbar media perdana yang tersohor dalam negara yang ada pula kaitan langsung dengan parti pemerintah. Akhbar NST telah menyiarkan kartun karikatur berikut dalam ruangan kartun akhbarnya Isnin lepas:



Ekoran penyiaran karikatur tersebut beberapa badan NGO seperti GPMS, Persatuan Pengguna Islam PPIM, KIMMA, MAPAN termasuklah PAS telah membuat laporan Polis kerana menganggap kartun tersebut menghina Nabi Muhammad saw.

NST sepatutnya bertindak dengan penuh tanggungjawab dan segera memohon maaf di atas kelalaiannya itu. Akan tetapi penjelasan yang disiarkan di muka dua akhbar NST hari ini tidak langsung mencerminkan keinsafannya. Sebaliknya ia menganggap mereka yang membuat laporan termasuklah pihak media lain yang menyerang tindakannya menyiarkan kartun di atas sebagai memiliki agenda jahat terhadapnya.

Do we continue to be a society where a vocal few, with personal vendettas and less than honourable motives, can whip up sentiments and make the innocent guilty?
(Adakah kita mahu menjadi satu masyarakat dimana segelintir kecil yang begitu vokal, yang masing-masing dendam kesumat dan maksud jahat, memukul gendang dan membuat tuduhan sesuka hati)

NST cuba membela tindakan mereka dengan menyatakan:

The issue we have to decide here is whether the cartoon has transgressed the limits; whether it has crossed the boundaries, and whether it has insulted Islam and the Prophet.
(Isu yang perlu kita putuskan adalah, apakah kartun (itu) telah melampaui batas-batas yang ditetapkan dan apakah ia menghina Islam dan Nabi nya?)

Saya sendiri pada awalnya menganggap kartun ini biasa sahaja dan tidaklah setanding dengan karikatur terbitan Jyllands Posten yang biadap itu. Namun setelah lama berfikir saya terpaksa bersetuju dengan pihak-pihak yang telah membuat laporan Polis itu kerana bahang karikatur Jyllands Posten masih panas membara, mengapa NST tidak ambil pusing dan berhati-hati agar maksud yang sama tidak lagi dieksploitasi oleh mana-mana pelukis kartun dan karikatur.

Mungkin kartun terbitan NST itu berbeza dari kartun Jyllands Posten, tetapi maksudnya tetap sama iaitu memperlekeh dan merendah-rendahkan kecintaan umat Islam terhadap Nabinya Muhammad saw.

Dalam hal ini saya kira NST perlu segera memohon maaf dan pihak kerajaan sendiri, suka tak suka, kalau berani bertindak terhadap Sarawak Tribune dan Guang Ming Daily, maka walaupun NST kerabat kroni sendiri, tindakan tegas perlu juga dikenakan.

Dan NST janganlah lagi bermain api, setelah berjaya melepaskan diri bermain api ketika isu Perkara 121 (1)(A) dan isu Allahyarham Sarjan Moorthy (dan memo Geng 9) dahulu. Semoga dalam kes ini NST tidak dapat melepaskan diri.

No comments: