Kerajaan baru Palestin menzahirkan kemunduran peradaban Barat
Parlimen Pentadbiran Palestin semalam telah pun menamakan Ahli Parlimen HAMAS Ismail Haniyeh 43, sebagai Perdana Menteri mereka yang baru berikutan selesainya pilihanraya umum Palestin baru-baru ini.
Ismail dijangka membentuk kabinetnya dan mengemukakan calon-calonnya kepada Presiden Mahmoud Abbas untuk pegesahan selewat-lewatnya dalam tempuh tiga minggu.
Proses demokrasi dan peralihan kuasa nampaknya berjalan lancar dalam suasana penuh tertib dan beradab di bumi Palestin, pusat konflik dan keteangan dunia itu. Sepatutnya dunia memberikan sokongan dan pengiktirafan terhadap apa yang sedang berlaku dan berkembang di sana.
Walaubagaimana belum pun sempat Ismail memanaskan kerusinya, Rejim Zionis Israel yang sentiasa berada dalam pelukan Amerika dan Barat itu telah pun melancarkan serangan pertamanya kea rah kerajaan baru ini.
Serangan terbaru itu dalam bentuk serangan ekonomi iaitu menahan serta-merta bayaran USD50 juta dalam bentuk hasil cukai bulanan yang dikutip bagi pihak kerajaan Palestin. USD50 juta ini merupakan hak rakyat Palestin dikutip atas amanah dan bukannya hak Regim Zionis tersebut. Namun demikian Israel menngunakannya sebagai senjata pertama untuk menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat yang tidak mereka senangi itu.
Adalah dianggarkan dengan penahanan itu serta sekatan-sekatan lain yang dikenakan oleh Amerika dan Barat, kerajaan Pentadbiran Palestin akan menghadapi kesukaran bukan sekadar untuk mentadbir tetapi membiayai lebih 100,000 kakitangannya.
Segala-gala ini dilakukan kerana HAMAS itu dicap sebagai kumpulan pengganas. HAMAS dikatakan enggan mengiktiraf kewujudan Israel, HAMAS dikatakan enggan menghentikan tindakan keganasannya.
Tetapi tidakkah penyertaan HAMAS dalam proses demokrasi itu sendiri satu bukti menunjukkan HAMAS bersedia mengunakan kaedah berbeza untuk meneruskan perjuangannya? Tidakkah mandat besar yang diberikan oleh rakyat melalui proses demokrasi yang diiktiraf dunia yang telah memenang HAMAS membuktikan bahawa rakyat Palestin selesa dan yakin dengan mereka?
Mengapa apabila HAMAS berjaya dan diberi kuasa memerintah tiba-tiba proses diplomatik, tolak ansur dan perundingan yang merupakan amalan dan adab dunia bertamaddun tiba-tiba dilupakan dan tidak terpakai?
Tetapi kita lihat contohnya dalam hal kumpulan pengganas IRA ataupun Irish Republican Army, dunia tidak pula memandang mereka sebagai pariah sebagaimana mereka memandang HAMAS pada hari ini.
Baru beberapa hari lepas keluarga juara Olimpik Musim Sejuk dari Britain Shelley Rudman mengenang kembali tragdei sedih yang pernah menimpa keluarga mereka angkara pembunuhan yang dilakukan oleh IRA. Dua orang bapak saudara Shelley terbunuh kerana ditembak mati oleh pengganas IRA satu ketika dahulu.
Hari ini IRA memiliki sayap politiknya iaitu Sinn Fein pimpinan Gerry Adams dan mengambil bahagian secara terbuka di dalam pilihanraya umum UK. Ia diwakili oleh 5 orang ahli Parlimen di Westminster (walaupun nasibnya dalam pilihanraya taklah sebaik HAMAS).
IRA menurut rekod telah membunuh ribuan orang awam dan anggota tentera Britain samada dalam pertempuran atau serang hendap ataupun tindakan sabotaj. Mereka pernah memusnahkan bangunan dan tempat awam termasuklah terlibat dalam penculikkan dan perompakkan. Pada tahun 1979 kumpulan pengganas ini telah membunuh Lord Mountbatten iaitu bapa saudara kepada Queen Elizabeth II.
Namun tidak seperti HAMAS Sinn Fein dan IRA hari ini tidak lagi dilihat pengganas, tetapi pejuang kebangsaan, pejuang nasionalis.
Demikianlah undang-undang rimba yang diamalkan Barat pada hari ini. Jika sesama kulit putih walaupun pernah membunuh dan melakukan keganasan boleh dimaafkan begitu sahaja kerana mereka dari agama, keturunan dan warna kulit yang sama, tetapi sebut sahaja HAMAS, terus-menerus muncul prejudis, HAMAS itu Arab, Islam, pengganas dan lain-lain.
Dalam hal ini umat Islam seluruh dunia samada melalui OIC, Liga Arab dan lain-lain perlu prihatin dan segara menghulurkan bantuan dan sokongan kepada kerajaan Ismail Haniyeh yang dipilih oleh rakyat Palestin itu. Jangan pula kita angguk dan akur kepada standard hutan rimba yang diamalkan Barat itu.
Kita bertanggungjawab membantu saudara-saudara se Islam kita yang berdekad-dekad berada di bawah bayangan kezaliman regim Zionis Israel dan konco-konconya. Kini mereka telah bersedia bertolak ansur, kini mereka sedang berusaha meredakan konflik, mereka sewajarnya menerima bantuan dan sokongan kita. Biar kita pula ajar Barat yang telah sesat itu akan erti diplomasi, tolak-ansur dan perundingan yan sebenarnya. Kalau mereka sudah sasau dan mereng jangan pula kita ikut sasau dan mereng.
Rakyat Palestin sudah sekian lama hidup dengan darah dan airmata, berilah mereka peluang pula untuk hidup aman dan selesa sebagaimana kita.
No comments:
Post a Comment