Disko kebal ditutup:
Jangan biarkan orang dalam terlepas
Apabila semua akhbar tempatan termasuk siaran berita TV mendedahkan isu ini akhirnya barulah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Datuk Mohd. Arif Abd. Rahman mengumumkan bahawa disko di Komplek The Summit USJ Subang Jaya akhirnya ditutup menurut Seksyen 19 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor (1995).
Setelah pihak polis melahirkan kehairanan mereka bagaimana pusat hiburan yang pernah diserbu lebih 25 kali dan beroperasi sehingga ke awal pagi itu terus hidup aktif barulah melompat tak menentu Yang Dipertua dan para pegawai di MPSJ.
Penjelasan yang diberikan oleh YDP MPSJ dalam hal ini dikira sungguh cetek dan memualkan. Kata beliau pihak MPSJ telah mula mengeluarkan notis kepada premis berkenaan agar menutup operasinya seawal tahun 2004! Dan pihak MPSJ terus mengeluarkan notis sehinggalah bulan Mac tahun lepas.
Namun premis itu tak tutup-tutup, tidakkah ini menghairankan? Kalau rumah setinggan yang dikeluarkan notis berpindah pada hari tamatnya notis itu jentolak dan trak MPSJ dah berkejar-kejar sampai, tetapi dalam hal ini sehingga 24 bulan berlalu namun notis sekadar notis sahaja!
Saya yakin kalau notis memberhentikan operasi itu telah dikeluarkan seawal tahun 2004, silap-silap lesen premis dan cukai berkaitan pun tak dikenakan terhadap taukeh pemilik premis yang kebal ini.
Kita mengalu-alukan langkah menutup premis ini, tetapi jangan berhenti setakat itu sahaj. YDP MPSJ menyebut bahawa suatu penyiasatan dalam atau domestic inquiry akan diadakan untuk menyiasat jika ada penyelewengan dikalangan para pegawainya. Saya rasa dengan perkembangan ini biarlah MPSJ dengan inquiry nya namun pihak BPR perlu segera masuk ke MPSJ dan menyiasat apa yang sebenarnya berlaku di sana.
Bayangkan 24 bulan beroperasi menyalahi peraturan namun YDP MPSJ buat-buat tak tahu, seolah-olah melepaskan diri. Disko yang dimaksudkan itu bukanlah disko kaki lima, tetapi tinggi tarafnya kerana ditempatkan dilokasi antara yang teramai pengunjungnya di Subang Jaya.
Khabarnya banyak lagi perkara silap mata dan hairan takjub telah dan sedang berlaku di bawah bumbung di MPSJ. Mungkinkah ini hasil dari limpahan pengisytiharan Selangor Maju 2005?
Komplek RM30 juta yang tidak beroperasi
Sementara itu Komplek Pusat Kreatif Kanak-kanak di Jalan 13/3 Subang Jaya yang telah pun siap menelan belanja RM30 juta suatu usaha sama antara kerajaan Selangor dan MPSJ terbiar begitu sahaja tidak terurus sehingga hari ini. Komplek itu yang telah siap lebih 1 tahun sehingga kini tidak digunakan.
Apa dah jadi MPSJ, apa dah jadi kerajaan negeri? Berapa banyak lagi yang kebal-kebal berkeliaran di MPSJ?
No comments:
Post a Comment