Sunday, February 12, 2006

Jangan bikin Tok Samy marah

Saya sempat menonton Buletin Utama TV3 jam 8 malam tadi.

Dalam kesibukan meraikan Thaipusam, terbit wajah Samy Vellu yang cuba mengawal emosinya (biasanya beliau tidak akan menyembunyikan kemarahannya dan biasa sahaja terjerit-pekik walaupun di depan kamera), marah tetapi akur bahawa beliau berhadapan dengan banyak masalah disekelilingnya, oleh itu Samy terpaksa berhati-hati walaupun kelihatan tidak selesa.



Bukankah MIC akan menghadapi pemilihan parti sikit hari lagi dan bukan lagi rahsia bahawa Samy dan Timbalannya Subramaniam tidak berlaga angin. Bukankah Samy salah seorang dari 9 Menteri bukan Islam yang telah mengirim memo kepada PM sehingga menimbulkan kemarahan orang-ramai khasnya masyarakat Islam. Bukankah sejak akhir-akhir ini ada suara-suara yang menuntut agar Samy mengundurkan diri kerana terlalu lama bertaut pada jawatan menteri yang dipegangnya itu sehingga menggugat produktivitinya.

Samy terbit kali ini kerana menjelaskan soal rungutan orang-ramai terhadap kerja-kerja yang melibatkan laluan di jalanraya yang kelihatan merbahaya, bermula dari lebuhraya MRR2 yang telah pun ditutup itu sehinggalah ke lebuhraya di Ampang, lebuhraya PLUS dan lain-lain.



Samy marah kerana orang ramai mengadu kepada stesyen-stesyen TV yang akhirnya telah mensensasikan permasalahan itu sehingga menimbulkan masalah kepada beliau.

Kata beliau melalui TV3 tadi, rakyat sepatutnya mengajukan sebarang aduan terus kepada beliau sebagai Menteri Kerjaraya atau Ketuas Setiausahanya atau Ketua Pengarah JKR. Beliau tidak akan melayan lagi sebarang aduan melaui stesyen TV.

Marah sungguh nampaknya Tok Samy dengan stesyen-stesyen TV. Tapi kalau betul laporannya, sahih penyiasatannya, apa salah? Apa yang Tok Samy nak takutkan? Malah kalau bukan kerana asakkan berterusan dari TV3 dan NTV7 serta akhbar-akhbar dan website tempatan saya yakin sampai hari ini lebuhraya MRR2 barangkali akan terus dibuka untuk kegunaan orang-ramai.

Tok Samy kata beliau telus, beliau terbuka. Telefon sahaja handphonenya dan beliau pasti akan mengambil tindakan.

Tapi Tok Samy jangan lupa, rakyat biasanya pergi ke stesyen-stesyen TV atau mana-mana media sekalipun, biasanya kerana saluran yang sepatutnya ada tertutup atau sengaja ditutupkan. Dan biasanya hanya dengan membawa kes-kes seumpama ini ke TV atau akhbar atau laman web barulah ianya diberi perhatian oleh pihak yang berwajib termasuklah Tok Samy sendiri.

Oleh itu janganlah marah kalau rakyat tak telefon beliau tetapi telefon Karam Singh Walia umpamanya. Bagi saya dalam hal ini Samy tak perlu bimbang. Kalau laporan TV atau akhbar tidak betul, bukankah kita ada undang-undang yang boleh mendakwa mereka. Masalahnya apabila perkara yang dilaporkan itu betul, itulah agaknya yang Tok Samy tak boleh terima, nasihat saya kalau tak boleh terima, serahkan sahaja kepada Subramaniam yang sekian lama dipinggirkan itu.

No comments: