Monday, February 20, 2006

Debat Perdana yang melahirkan harapan

Debat Perdana di RTM semalam barangkali berlalu tanpa banyak diberi perhatian oleh rakyat kebanyakkan. Ini kemungkinan disebabkan rakyat telah lesu dan bosan dengan siaran-siaran di RTM yang sering one sided dan lebih bertindak sebagai alat kerajaan dan parti pemerintah untuk mempropogandakan pandangan dan perjuangan mereka.

(Menteri Penerangan yang baru apalah kira kalau boleh diharapkan mencuci bersih imej RTM yang telah tercalar itu, kalau pun mampu)

Saya sendiri hampir terlepas rancangan ilmiah dan penuh bermakna ini semalam. Seperti biasa Datuk Johan Jaafar bertindak sebaai moderator (saya sempat diperkenalkan dengan Johan oleh kenalannya dan pernah bersimbang dengan beliau berkenaan tugasnya sebagai moderator itu, ini insyallah akan saya utarakan kemudian) dan ahli-ahli panelnya terdiri dari Prof Di Raja Ungku Aziz, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara (yang tidak nampak pun significant nya beliau disitu kecuali lebih sebagai alat mempertahankan kerajaan) dan Sdr Mujahid Yusof Rawa.

Tajuk yang dibincangkan adalah berkenaan Rukunegara.

Yang menarik minat saya adalah peranan Pak Ungku. Memang program ini adalah program debat, maka perlulah ada pro dan kontra ada sokong dan tentang. Kalau sekadar monotonous ia sudah pasti hambar dan bukan debat namanya. Dan Pak Ungku telah berjaya menghidupkan program semalam dengan style nya yang tersendiri.



Kata kunci yang dilontarkan oleh Pak Ungku dalam mendebatkan isu Rukunegara ini adalah nurani ataupun hati nurani. Kata beliau setiap yang kita lakukan perlulah terbit dari hati nurani kita barulah dalam hal ini Rukunegara itu dikira telah meresap dan berjaya. Kalau sekadar hafal dan dididik dengan prinsip-prinsip Rukunegara tetapi ia tidak melahirkan kesan pada nurani maka kita masih gagal.

Beliau mengambil contoh masyarakat Malaysia yang masih tidak segan-silu membuang sampah-sarap di tempat awam. Ini menunjukkan tiada kesan dalam nuraninya untuk sama-sama menjaga kebersihan. Lebih jauh lagi kata Pak Ungku demikianlah juga dengan kes-kes penggondolan bukit-bukau, pencurian balak ataupun pembalakkan haram, tiada pemimpin tiada wakil rakyat yang ambil peduli.

Seolah-olah kata Pak Ungku tiada elemen dosa dan pahal dalam hal-hal ini.

Lalu Sdr Mujahid pula terus menekankan sebenarnya di sana, prinsip pertama Rukunegara itu sendiri berbunyi: Kepercayaan kepada Tuhan. Ia merupakan persoalan asas. Ia menekankan elemen dosa dan pahala. Lantas ini membuktikan sebagaimana yang di dedahkan oleh Pak Ungku kata Sdr Mujahid bahawa Rukunegara itu sendiri sebenarnya tidak dihayati sebagai satu teras ideologi negara, kerana itulah sehingga perkara-perkara dosa dan pahala langsung tidak diberikan penekanan.

Sdr Mujahid turut menyentuh tentang erti kebebasan. Erti meluahkan pandangan dan fikiran dengan bebas tanpa boleh dianggap sebagai tidak patriotik ataupun anti kerajaan semata-mata kerana memilih untuk berbeza pandangan. Menghormati kebebasan seumpama ini dalam batas peraturan yang sedia ada tidak kelihatan dalam kita mahu menjiwai prinsip-prinsip Rukunegara itu.

Saya kira kehadiran Pak Ungku dan Sdr Mujahid telah benar-benar memberi tenaga kepada program malam tadi dan kita lihat moderator sendiri lebih berminat melaontarkan soalan-soalannya kepada tokoh-tokoh ini kerana ulasan dan pandangan mereka yang lebih ilmiah dan bermakna berbanding dengan dua ahli panel yang lain yang lebih protective dan kadangkala kelihatan terlalu overly submissive (taksub?).

Saya yakin negara dewasa ini dahagakan program-program engagement seumpama ini. Rakyat perlu didedahkan kepada pandangan dan pendapat semua pihak secara terbuka dan bebas tanpa paksaan, rakyat berhak membuat keputusan tanpa dorongan atau tekanan mana-mana pihak, itulah asas kebebasan sebuah negara demokratik yang tulin yang menharai dan mengiktiraf hak asasi kemanusiaan.

Semoga Malaysia akan bergerak ke arah itu satu hari nanti.

No comments: