Guantanamo Bay dan Kamunting:
Tutup sahaja kedua-duanya
Kenyataan Perdana Menteri Dollah Badawi agar Amerika Syarikat menutup sahaja Kem Tahanan Guantanamo Bay di Cuba yang menempatkan apa yang dikatakan pejuang-pejuang al Qaeda, mendapat liputan media dunia hari ini.
Dollah dipetik sebagai berkata:
It is the opinion of many people that the camp should be closed because of the photographs and stories about it showed that it is a prison where torture is carried out.
(Ramai berpandangan bahawa kem tersebut perlu ditutup oleh kerana gambar-gambar dan cerita yang terbit darinya menunjukkan bahawa berlaku penyiksaan di penjara itu)
Gesaan untuk menutup kem ini sebenarnya berbangkit apabila sepasukan penyiasat yang dilantik oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang ditugaskan menyiasat keadaan para tahanan di Kem Guantanamo itu berpandangan bahawa berlaku penderaan dan penyiksaan terhadap kebanyakkan dari 490 orang yang ditahan sejak Januari 2001 di kem itu
Menurut salah seorang dari 5 anggota pasukan tersebut Prof Paul Hunt seorang pakar kesihatan fizikal dan mental dari New Zealand, memang berlaku penyiksaan fizikal dan mental terhadap para tahanan dan yang pentingnya hak mereka untuk dibicarakan atau mempertikaikan penahanan mereka di mahkamah turut dinafikan.
Saya kira perkara prinsip di sini adalah hak seseorang yang ditahan itu. Tak kiralah samada beliau dituduh sebagai anggota pengganas atau apa sahaja yang seumpamanya. Sebagai seorang insan beliau sewajarnya diberikan hak untuk mempertahankan dirinya melalui proses undang-undang. Menafikan hak ini sesungguhnya adalah penyiksaan yang paling dahsyat dan zalim!
Kalau sekadar penderaan fizikal, tak payah di Guantanamo, di Amerika Syarikat pun kita biasa melihat para tahanan jenayah dan bukan jenayah termasuklah kesalahan trafik (memandu dalam keadaan mabuk umpamanya) dibelasah dan diperlakukan macam haiwan. Dan malah dimana-mana di dunia termasuklah di lokap-lokap polis di negara kita, penderaan seumpama ini terus diperkatakan.
Tetapi jika yang didera tidak dinafikan hak untuk membela dan mempertahankan diri, bermakna mereka boleh bawa ke pengadilan mana-mana pihak yang mendera mereka itu dan hak untuk didengar bagi mereka tetap ada dan tidak dapat dinafikan.
Masalahnya di sini adalah bagi mereka yang ditahan tanpa perlu dibicarakan. Dituduh terlibat dalam kerja-kerja keganasan atau lebih malang lagi dituduh BAKAL melakukan sesuatu yang ganas, lalu tuduhan tadi tidak perlu diketengahkan untuk proses pembicaraan, cukup dengan kertas tuduhan dan merengkoklah si hamba Allah tadi selama mana difikirkan perlu mereka berada dalam tahanan. Adilkah demikian?
Di soal-siasat semasa dalam tahanan bagaikan haiwan kerana mereka dianggap bukan macam tahanan biasa yang perlu perintah reman dan dituduh di mahkamah. Mereka boleh diperlakukan sesuka hati orang yang menahan, samada benar atau tidak mereka terlibat, itu soal kedua.
Lalu sesungguhnya tiada banyak beza antara Guantanamo dan Kamunting! Kamunting juga menjadi pusat yang menahan sesiapa sahaja yang kerajaan rasakan mengancam keselamatan negara, tanpa perlu dakwa dan bicara. Sebelum disumbat ke Kamunting, ditahan selama 60 hari dimana-mana lokasi yang pihak keselamatan rasakan wajar, untuk menjalani proses soal-siasat yang biasanya di luar waktu soal-siasat tahanan biasa.
Ada tak penderaaan fizikal? Malaysia ada ratusan bekas tahanan ISA yang masing-masing boleh bercerita panjang-lebar darihal pengalaman masing-masing. Malah salah-seorang bekas Ketua Penyoal-siasat dalam Kem TAPOL ini pun sekarang sudah menyertai Keadilan!
Bacalah buku-buku karangan Kasim Ahmad (Universiti Kedua), Suhaimi Said, Ahmad Boestamam, Dr Tan Seng Giaw, Dr Syed Hussin Ali, Said Zahari dan ramai lagi darihal pengalaman mereka ketika berada dalam tahanan.
Dan kini di Kamunting sebagaimana di Guantanamo, masih ramai lagi yang terus ditahan tanpa bicara, entah sampai bila.
Lalu kalau atas nama Pengerusi OIC Dollah berani menuntut agar Kem Guantanamo ditutup, maka tutup sekali Kem Kamunting yang saling tak tumpah Guantanamo juga. Jangan kita mahu jadi juara dunia membela nasib warga asing tetapi dalam negara kita bagaikan serigala lapar membaham siapa sahaja yang lalu di depan mata tanpa belas ihsan.
No comments:
Post a Comment