JUMPA ANDA DI MASJID KG. BARU
Isunya karikatur biadap yang kononnya menggambarkan Baginda Rasulullah saw yang diterbitkan asalnya oleh akhbar Denmark Jyllands Posten. Karikatur yang sama kemudiannya turut diterbitkan oleh akhbar negara-negara Eropah yang lain termasuk New Zealand, sebagai tanda solidariti dan simpati terhadap nasib yang menimpa akhbar Denmark itu.
Saya yakin sehingga ke hari ini umat Islam seluruh dunia telah tahu darihal isu ini. Saudara-saudara kita di Afghanistan yang jauh kebelakang dari segi pembangunan dan kemudahan itu pun telah keluar berama-ramai menyatakan bantahan secara terbuka terhadap kebiadaban ini, takkanlah kita di Malaysia ini diceruk mana pun kita tinggal boleh tak tahu lagi!
Lalu apa tindakan kita?
Tak cukup sekadar berborak-borak kosong, bersemangat sehingga hentak-hentak meja. Tak cukup sekadar mengumpul dan membaca apa sahaja berita berkenaan isu ini serta bergegas menonton apa sahaja siaran di TV berkenaannya. Tak cukup sekadar geleng-geleng kepala dan mengeluh.
Lalu apa tindakan kita?
Kepada kita yang prihatin. Yang sedar dan insaf bahawa tindakan ini benar-benar telah menjejas, mencalar dan menghina kemuliaan Islam, kita perlu lakukan sesuatu.
Menghina Rasulullah saw itu bermakna menghina Islam, sedangkan diwaktu hidup Baginda ketika dikepung dalam Perang Uhud para sahabat ketika itu rela menjadi perisai hidup, melindungi tubuh badan Baginda dari pedang, tombak dan anak panah, ada yang cedera dan ada yang syahid mempertahankan batang tubuh Rasulullah yang mulia lagi dicintai itu, ini diwaktu hidup kita Rasulullah dihina dan kita masih tidak berganjak tidak bergerak, duduk selesa di rumah atau pejabat masing-masing atau sekadar berpuas hati dengan berkata itu hak mereka, tergamakkah demikian?
Lalu apa tindakan kita?
Dalam dunia moden dan beradab ini, kita tak perlulah mengamuk dan mencetuskan huru-hara. Tak perlulah membakar bangunan atau mencederakan sesiapa, nanti kita dicap pengganas dan Islam semakin menjadi bahan serangan.
Yang mampu kita lakukan hari ini adalah bergerak dalam satu kumpulan, satu jemaah. Hari ini di Masjid Kg. Baru, Kuala Lumpur, sahabat-sahabat kita yang prihatin seperti saudara dan saya sendiri insyallah, akan berkumpul beramai-ramai selepas solat Jumaat. Dari situ kita bergerak beramai-ramai dengan penuh sopan dan beradab menuju ke Wisma Denmark di Jalan Ampang. Kita serahkan bantahan secara terbuka kepada Kedutaan Denmark di sana. Jangan lagi kamu melakukan kerja biadap ini!
Mengapa kita perlu bertindak demikian?
Dengan cara inilah kita dapat menunjukkan kepada dunia secara simbolik bahawa umat Islam di Malaysia turut merasa luka dan terhina dengan tindakan biadap akhbar Denmark itu. Demonstrasi secara aman ini sesungguhnya adalah amalan mana-mana dunia demokrasi samada di Amerika sendiri, Eropah atau mana sahaja (yang menganggunya itulah negara mundur).
Kerana itu kita tinggalkanlah apa sahaja yang sedang kita lakukan. Saya dan anda marah dengan kes karikatur ini, kalau sekadar bertindak sendiri-sendirian tidak kemana mesej kita itu. Sekarang peluangnya terbuka, samada anda ahli PAS atau Umno atau mana-mana gerakkan dan NGO atau sekadar umat Islam bebas yang tidak menganggotai mana-mana pertubuhan, ayuh dalam hal ini kita bersatu hati. Kita bergerak bagi menyatakan pendirian kita, demi kasih kita pada Rasulullah saw.
Tak kiralah anda lelaki maupun wanita, pokoknya anda Muslim yang cintakan Rasulullah saw. Marilah kita ke sana tengahari nanti, biar kita terbilang diantara mereka yang berani menzahirkan diri, berdiri mempertahankan Islam, ketika dunia Barat mengambil peluang mempersendakannya dan bertindak kurang ajar.
Insyallah jumpa anda di sana.
Firman Allah swt dalam surah al Maidah 54-56:
Wahai orang-orang yang beriman! Barang siapa yang murtad di kalangan kamu dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin, yang bersikap keras keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela, itulah kurnian Allah yang diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki Nya dan Allah Maha Luas (pemberian Nya) lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya wali kamu hanyalah Allah, Rasul Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa yang mengambil Allah, Rasul Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolong mereka, maka sesuangguhnya HIZBULLAH itulah yang pasti menang.
No comments:
Post a Comment