Harga minyak naik lagi:
Mimpi ngeri yang berpanjangan
Sedang tumpuan dan simpati kita menjurus terhadap kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh rakyat di sepanjang Sg. Damansara yang musnah harta-benda mereka akibat banjir kilat luar biasa pada pagi Ahad lalu, seluruh rakyat Malaysia akan bangun pagi ini dengan satu lagi kejutan baru.
Kali ini ianya lebih besar dan menjejaskan hampir seluruh rakyat jelata.
Bahana kenaikkan harga barang dan terbaru kenaikan tambang bas sekolah serta impak selsema burung di sekitar Gombak masih terus menghantui kita semua, kini satu lagi beban besar pula melanda dan menghempap hidup kita.
Menurut BERNAMA satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri lewat malam tadi mengumumkan kenaikan harga runcit produk-produk petroleum termasuk diesel sebanyak 30 sen berkuatkuasa hari Selasa (hari ini).
Harga runcit petrol naik 30 sen seliter manakala LPG naik 30 sen sekilogram. Menurut kenyataan tersebut kenaikkan kali ini (sebagaimana alasan kenaikan-kenaikkan sebelum ini) adalah bagi mengimbangi kesan kenaikkan harga minyak mentah dunia dan membendung penambahan subsidi yang sedia dipikul oleh kerajaan.
Kali terakhir kenaikkan produk petroleum seumpama ini adalah pada 31 Julai tahun lalu, bermakna mimpi ngeri 7 bulan lalu yang masih menghantui hidup kita terus berlarutan malah lebih dahsyat lagi dengan kenaikkan baru ini!
Dan seperti biasa pihak kerajaan tanpa segan-silu membandingkan kenaikkan ini dengan harga petrol di negara-negara lain umpamanya di Thailand dan Filipina yang menurut kenyataan itu lebih mahal dari di Negara kita. Mudah-mudahan dengan perbandingan ini rakyat akan akur dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Alangkah baiknya kerajaan ku kerana harga minyaknya lebih murah dari negara jiran walaupun setelah diumumkan naik 30 sen!
Kenapa tak dibandingkan terus kos sara hidup di Thailand dan Filipina? Harga barangan runcit di Thailand dan Filipina bagaimana? Harga sewa rumah, kenderaan, tambang pengangkutan dan seumpamanya bagaimana?
Kenapa tak pula dikhabarkan yang jumlah minyak yang dikeluarkan dari perut bumi Malaysia lebih banyak dari negara-negara ini, kalau demikian sepatutnya harga runcit minyak di sini jauh lebih murah lagi?!
Barangkali semua itu tak perlu kerana rakyat Malaysia ini baik-baik belaka. Dibakar poketnya, ditebuk tabung simpanannya, mereka kan tetap tunduk dan patuh, tanpa banyak kira bicara.
Keberanian rakyat Thailand, Filipina dan malah Indonesia membantah secara terbuka sebarang perkara yang menjejaskan penghidupan mereka, tidak akan berlaku di Malaysia. Oleh itu dengan senang hati kerajaan mengumumkan kenaikkan harga minyak ini, kepada yang terjejas kami mohon maaf, kepada yang marah-marah harap bersabar, apa pun terimalah ia dengan seadanya, Malaysia Boleh!
No comments:
Post a Comment