Kasihan Utusan Melayu: Dah terkubur baru nak digali semula
Akhbar Melayu tulisan Jawi Utusan Melayu, asalnya terbit pada 29 Mei 1939. Ia telah melalui pelbagai ranjau evolusi dan akhirnya terbit sebagai salah sebuah akhbar Melayu harian yang terluas sebarannya di tanahair.
Ketika orang Melayu rata-rata hanya lancar membaca dan menulis dalam tulisan Jawi, akhbar ini terbit sebagai sebuah akhbar bebas yang berani, yang berjuang untuk kepentingan bangsa samada di era sewaktu zaman penjajahan sehinggalah ke ambang Merdeka dan terus berperanan besar dalam proses pembangunan Negara selepas Merdeka.
Mendiang Utusan Melayu Mingguan
(diambil dari http://adib.typepad.com)
Malangnya dizaman kita ini akhbar Jawi yang terbukti telah berjasa kepada bangsa dan tanahair itu menjadi semakin terpinggir. Dari sebuah akhbar harian pada 3 Disember 2002 ia bertukar menjadi akhbar mingguan dan baru-baru ini atas alasan kononnya tidak lagi berdaya maju untuk diteruskan pernerbitannya, akhbar mingguan itupun ditamatkan riwayatnya tanpa banyak kira bicara.
Tiba-tiba dalam akhbar hari ini kita lihat Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Rais Yatim menyatakan bahawa kementerian beliau sedang merangka langkah-langkah untuk menghidupkan kembali akhbar Utusan Melayu yang sudah terkubur itu.
Demi menghargai jasa dan peranan akhbar tersebut serta memelihara kelangsungan warisan tulisan Jawi, memang dialu-alukan sangat kenyataan menteri tersebut. Tetapi mengapa tunggu sehingga sudah nazak, ditalkin dan telah pun dikebumikan baru mahu mengoreknya kembali untuk dihidupkan. Mengapa tidak lebih awal lagi? Ia hanya menampakkan betapa tidak seriusnya pihak tertentu dalam mempertahankan khazanah dan warisan Melayu yang sangat berharga dan berjasa itu.
Mogok Utusan Melayu dizaman Pak Said
(gambar dari buku: MENITI LALUTAN GELORA Said Zahari)
Benarkah Utusan Melayu terkubur kerana tidak lagi berdaya maju?
Salah seorang bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu Pak Said Zahari dalam bukunya Dalam Ribuan Mimpi Gelisah yang baru terbit dipasaran (dan semalam pun Pak Said semasa muncul dalam rancangan WTV8, siaran web tv alternatif di http://selangorbaru.org/ telah mengulanginya) menulis:
Kalau mereka (orang Melayu) tidak membeli dan membaca Utusan Melayu bukanlah kerana surat khabar itu bertulisan Jawi atau oleh kerana mereka sudah tidak mencintai lagi tulisan Jawi (sebagaimana didakwa Rais Yatim). Tetapi besar kemungkinannya adalah kerana mutu dan kandungan Utusan Melayu itu sendiri banyak kelemahan dan kekurangannya.
Malah Pak Said dengan sinis menulis dalam buku yang sama:
Kenapa Awang Selamat tidak mahu menyeru kepada tiga juta ahli Umno supaya membeli (akhbar tersebut) sekali gus menyelamatkan surat khabar bertulisan Jawi yang dimiliki oleh Umno itu?
Sesungguhnya Utusan Melayu tercatit dalam lipatan sejarah tanahair sebagai suatu akhbar keramat yang telah banyak menyumbang kearah pembentukkan minda dan keperibadian orang Melayu disamping menyumbang kearah perjuangan kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan kemudiannya.
Jabatan Pengarang dizaman Pak Said
Salah seorang pengasas Utusan, Srd Yusof Ishak pernah menyebut:
Utusan dilahirkan dengan air mata dan darah
Dan siapa lagi yang dapat membuktikannya jika tidak Pak Said Zahari sendiri yang telah merengkok dalam penjara selama 17 tahun kerana ditahan dibawah akta laknat ISA.
Pak Said yakin kerana peranannya meneruskan perjuangan Utusan sebagai sebuah akhbar yang bebas dan berani dan cuba menangkis pengambil-alihan Utusan oleh pihak Umno dizamannya sehingga mencetuskan Mogok Utusan 1961 itulah yang telah mengakibatkan beliau ditahan (walaupun kertas pertuduhan menuduh kononnya beliau terlibat dengan tindakan subversif dan komunis).
Bermakna akhbar bersejarah ini telah menyaksikan perjuangan dikalangan anak-anak bangsa yang terdiri dari para pendokongnya berpuluh tahun dahulu yang telah beriltizam bekerja untuk bangsa Melayu dan tanahair, berjuang sehingga ada yang diambil tindakan, dibuang kerja dan terpaksa bermogok sehinggalah ada seperti Pak Said yang merengkok dalam penjara kerananya, tiba-tiba hari ini segala pengorbanan itu dipandang sepi dan tidak dihargai langsung kerana kononnya Utusan Melayu sudah tidak dapat berdaya maju lagi!
Hidupkanlah kembali Utusan Melayu itu Pak Rais, tetapi hidupkan juga kembali ia sebagai sebuah akhbar yang benar-benar bebas, sehingga ia benar-benar mampu berjuang untuk kepentingan bangsa dan tanahair dengan berani tanpa mengambil pihak sebagaimana bentuk asalnya berpuluh tahun dahulu.
Benar juga barangkali kata Awang Selamat itu:
Utusan Melayu lahir zaman papa, mati zaman kaya.
No comments:
Post a Comment