Friday, February 24, 2006

Hotel Renaissance perlu jawab kepada umat Islam

Kes Pengarah Akaun, Habsah Jaafar yang diberhentikan oleh hotel bertaraf 5 bintang Renaissance kerana mengenakan pakaian tudung ke pejabat jangan dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Semalam hotel berkenaan dilaporkan bersedia mengambil kembali Habsah atas alasan perselisihan antara pihak hotel dengan Habsah cumalah masalah peribadi yang sulit. Hotel tersebut difahamkan telah mengambil seorang warga asing sebagai pengurus utamanya.



Menurut akhbar UTUSAN hari ini Habash telah pun mendapat tawaran kerja baru di sebuah hotel bertaraf 6 bintang di Kuala Lumpur dan menyatakan beliau sekali-kali tidak akan menjejakkan kakinya kembali ke Hotel Renaissance.

Setakat ini kita tidak pasti samada Habsah mahu melupakan sahaja episode yang melibatkan beliau di Renaissance itu, tetapi pada dasarnya saya kira pihak pengurusan hotel tersebut bertanggungjawab dan perlu menjelaskan kepada umat Islam khasnya di negara ini darihal sikap dan pendirian mereka berhubung pekerja wanita yang bertudung dan agama Islam itu sendiri.

Adakah menjadi polisi Renaissance menolak jenis pakaian ini?

Menurut peguam Sdr. Hanipa Maidin tindakan hotel tersebut terhadap Habsah jelas bertentangan dengan Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan beragama. Dalam emailnya kepada saya Hanifah menegaskan:

Mengenakan tudung (sebagai langkah menutup aurat) merupakan sebahagian dari amalan agama Islam yang mewajibkan pengikutnya menutup aurat. Oleh itu hak asasi ini (yang dijamin oleh Perlembagaan) tidak boleh ditarik balik atau dinafikan oleh mana-mana pihak hatta di dalam suasana darurat sekali pun.

Setakat ini kita tidak lagi mendengar penjelasan dari Hotel Renaissance berkenaan isu ini.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn, majikan di negara ini tidak berhak meminta pekerjanya berhenti semata-mata kerana mereka bertudung. Menurut beliau lagi bertudung tidak termasuk dalam etika pekerjaan dan mana-mana majikan yang bertindak demikian boleh diambil tindakan.

Jelas mana-mana majikan samada asing atau tempatan perlu menghormati hakikat ini. Kita bukan Perancis dimana pakaian bertudung ini dilarang ke sekolah-sekolah awam atas alasan menonjolkan simbol agama yang menganggu penganut agama lain dan sistem pembelajaran.

Sementara itu Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat menyokong penuh sikap dan pendirian Habsah itu. Kata beliau, memakai tudung bukan isu politik tetapi ia adalah masalah agama., agama inilah yang menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.

Tok Guru menambah, arahan bertudung sudah lama sudah dibuat di Kelantan termasuk kepada pekerja-pekerja wanita beragama Islam di pasar raya. Kata beliau:

Saya minta pegawai, kakitangan kerajaan negeri serta rakyat Kelantan yang beragama Islam bertudung. Ini kerana bertudung adalah perintah Allah.

Umat Islam di Malaysia perlu memberi isyarat yang jelas kepada majikan-majikan yang biadap seumpama ini, termasuklah yang tidak mengizinkan kakitangan lelakinya menunaikan solat Jumaaat. Kalau isu karikatur yang menghina Nabi Muhammad saw itu pun kita sanggup membantah secara terbuka, inikan pula isu yang melibatkan terus kebajikan dan batang tubuh umat Islam dalam negara.

No comments: