Sunday, February 05, 2006

Kes karikatur Nabi:
Tak guna demonstrasi dan hantar memorandum kata Hishamuddin

Isu pokok di sini adalah tindakan biadap akhbar Denmark Jyllands Posten mempersenda Islam dengan menerbitkan karikatur Nabi Muhammad saw (yang meundiannya turut diterbitkan oleh akhbar-akhbar Eropah yang lain termasuk di New Zealand kononnya kerana menyatakan solidariti terhadap akhbar Denmark itu).

Rasulullah saw adalah Rasul terakhir yang membawa Islam kepada umat manusia sebagaimana diperintah Allah swt. Oleh itu sebarang tindakan mempersenda atau memburuk-burukkan Baginda bermakna ianya turut mempersenda dan memburukkan Islam itu sendiri.

Oleh itu layaklah umat Islam sebagai penganut yang taat yang beriman kepada Allah dan Rasul Nya bertindak balas menyatakan protes dan bantahan demi membela maruah mereka.


Demonstrasi oleh umat Islam dan rakyat di UK

Bantahan sudah pastilah bertujuan bagi menyatakan secara terbuka sikap umat Islam dengan harapan perkara itu tidak lagi berulang. Ianya boleh dinyatakan dalam pelbagai bentuk samada demonstrasi secara aman, menyerahkan memorandum atau apa sahaja yang sopan dan dalam ruang lingkup peradaban agama.

Dalam akhbar tempatan hari ini Perdana Menteri Dollah Badawi mengeluarkan kenyataannya yang pertama setelah beberapa hari kes ini berlalu. Beliau mengutuk tindakan biadap akhbar-akhbar berkenaan namun dipenghujung kenyataan beliau Dollah menyatakan:

Biarkan mereka yang bertanggungjawab melakukan penghinaan itu melihat kesan daripada kesilapan yang mereka lakukan dan membetulkan keadaan tersebut.

Sebagai PM Dollah berhak menyatakan apa sahaja yang terlintas dibenak fikirannya, dan demikianlah juga sebagai rakyat jelata kita juga berhak bertanya dan mempersoalakn pandangan beliau itu.

Bagaimana agakanya mereka yang berkenaan itu mahu membetulkan keadaan jika kita sekadar menyatakan benci dalam hati (selemah-lemah iman)?

Siang tadi saya sempat mengikuti siaran CNN yang telah membuat lintas langsung dengan Ketua Pengarang akhbar Denmark tersebut. Jelas dari wawancara yang disiarkan secara langsung itu Ketua akhbar berkenaan sedikit pun tidak melahirkan kekesalan di atas apa yang telah diterbitkannya itu.

Dan siang tadi kenyataan Dollah disokong oleh Ketua Pemudanya Hishamuddin Tun Hussien. Kata Hishamuddin demonstrasi dan menyerah memorandum, tidak akan mendatangkan apa-apa kesan, kita perlu bertenang dan mengikuti saranan PM.

Sampai di sini saya masih tidak memahami apakah rasionalnya saranan Dollah itu? Sekurang-kurangnya kalau kita tidak mahu berpanas dengan cara berdemonstrasi atau kita tidak mahu menyerahkan memorandum atas apa sebab sekalipun, sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa kita boleh lakukan mengikut saluran diplomatic.

Sekurang-kurangnya kita memanggil pulang Duta atau wakil kita sebagai satu tindakan simbolik bantahan terhadap tindakan biadap itu. Berani sikit kita panggil Duta mereka di sini untuk memohon penjelasan. Lebih berani lagi sebagaimana kerajaan Saudi dan lain-lain di Timur Tengah kita isytihar pemulauan barangan mereka.

Tapi kalau panggil pulang Duta kita pun tak dilakukan, panggil mengadap Duta mereka di sini pun juga tidak dilakukan, jauh lagi mengisytiharkan pemulauan barangan, lalu kita berharap agar pihak berkenaan melihat kesan dari kesilapan mereka, maaf saya rasa sampai bila pun ianya tidak akan berlaku!

Malaysia yang menyandang jawatan Pengerusi OIC saya percaya boleh lakukan lebih besar lagi dari sekadar benci dalam hati!

Kita tidaklah berhasrat mahu melihat rusuhan dan pemusnahan pejabat-pejabat wakil-wakil asing di Negara kita sebagaimana yang terjadi di Negara Islam lain. Kalau Pemuda Umno tak mahu berdemonstrasi atau menyerahkan memorandum, itu mereka punya hal. Akan tetapi sekurang-kurangnya kerajaan perlulah mengeluarkan suatu kenyataan yang keras dan proaktif demi menjunjung maruah Islam. Jangan sampai kita dilihat lemah dan tidak layak memegang tampuk OIC lantaran kebaculan kita.

No comments: