Bila PBT tidak lagi pedulikan MB
Dari Shah Alam ke Petaling Jaya, Kelang, Subang Jaya, Selayang dan Ampang, Selangor adalah antara negeri yang paling banyak Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran. Setelah Shah Alam adalah difahamkan Petaling Jaya pula akan diiktiraf sebagai Majlis Bandaraya sedikit masa lagi.
Sepatutnya dalam pentadbiran negeri, tidak ada insan yang lebih berbangga dengan perkembangan dan kemajuan semua ini selain Menteri Besarnya, selaku Ketua Eksekutif Negeri.
Tetapi tidak di Selangor. Walaupun MBnya begitu ghairah mengisytiharkan Selangor sebagai sebuah Negeri Maju pada tahun 2005 lalu (walaupun tidak menerima pengiktirafan antarabangsa), rupanya kepesatan pembangunan dan kemajuan PBT-PBT ini kelihatan seolah telah mengerhanai MBnya.
Lantaran lajunya arus pembangunan dan kemajuan di PBT masing-masing, MB bagaikan hanyut dipukul arus itu dan akhirnya menjadi kecil dan tidak lagi dipedulikan.
Manalah gagahnya seorang MB apabila PBT-PBTnya seolah bermaharajalela dan tidak ambil pusing padanya. PBT-PBT ini laksana negeri-negeri kecil yang bebas dalam negeri Selangor yang besar.
Semalam dalam BULETIN UTAMA TV3 Khir dilaporkan sebagai berkata:
Arahan kita seolah tidak diikuti oleh PBT. Kita arahkan PBT agar: Go back to basic (beri tumpuan pada kerja-kerja asasnya). (Hasil) Cukai pintu (sepatutnya) digunakan untuk perbaiki kehidupan rakyat dari digunakan untuk perkara-perkara lain.
Dan semalam juga dala sisipan akhabr THE STAR iaitu STAR METRO muka depannya terpapar:
Enough Excesses! No more unnecessary events and diners, no more functions at luxury hotel, not at the public expense anyway.
Hentikan pembaziran! Tiada lagi majlis dan makan malam yang tidak perlu, tiada lagi majlis yang diadakan di hotel-hotel mewah, bukan atas perbelanjaan yang ditanggung orang awam.
Menurut akhbar tersebut Laporan Audit Negeri menunjukkan kerugian besar yang dialami Selangor adalah akibat:
dishonesty, expenditure exceeding allocation and purchases made without following correct procedure
(penyelewengan, perbelanjaan melebihi peruntukkan dan pembelian yang dilakukan tanpa mengikuti prosedur yang ditetapkan)
Berdasarkan perkembangan ini Selangor Maju nampak-nampaknyanya dilanda penyakit penyelewengan, korupsi dan salah guna kuasa yang besar dan serius. Dan dalam waktu yang sama rakyat jelata tidak menerima layanan dan perkhidmatan yang setimpal dengan yuran dan cukai yang dibayarnya kepada kerajaan dan badan-badan berkanun di bawahnya.
Khir jelas berada dalam dilemma yang besar. Selangor Maju yang dijajanya rupa-rupanya menelan dan menyusahkan dirinya sendiri. Dalam kekalutannya beberapa hari lalu Khir mengarahkan anggota-anggota EXCOnya agar mengintip ke sekitar kawasan PBT dalam negeri dan mengambil gambar-gambar sebagai bukti kerja-kerja PBT yang diabai dan tidak dilakukan. Kemudian beliau sebagai MB akan bertindak.
Nampak macam berserabut dan tidak profesyional sungguh kerajaan negeri di bawah Khir yang sepatutnya berstatus Maju itu!
Kesimpulannya MB sudah bagaikan tidak mampu mengawal jentera pentadbirannya. PBT-PBT naik tocang dan lebih gagah dari MB sendiri.
Semasa menghuraikan Konsep Selangor Maju 2005 dahulu, Khir di dalam buku panduannya yang diberi nama Dasar Selangor Menuju Wawasan Syumul 2005 menyebut:
(semasa menghuraikan dua dari empat formula pentadbiran 4E)
EFFICIENT: Cara-cara bekerja dalam abad baru ini tidak seharusnya terkongkong pada cara-cara bekerja abad yang lepas. Sekarang semuanya berlaku atau bergerak dengan pantas.
EFFECTIVE: Jika kita meluluskan peruntukkan maka golongan yang sepatutnya menerima manfaat memang akan menerima manfaat yang maksimum. Jika kita buat peraturan maka pertauran itu akan melindungi hak-hak mereka. Kita tidak mahu dikenali sebagai indah khabar dari rupa. Apa yang akan disebut orang adalah pencapaian kita yang hakiki dan bukannya retorik kita yang bermusim
Sekarang semuanya berlaku sebaliknya, dan Khir mula terasa hangat dari bahang pendurhakaan atau insubordination ini. PBT terus berbelanja dan menjalankan projek pembangunan sesuka hati mereka. Ini tidak termasuk lawatan-lawatan ke luar negara atas tajaan PBT masing-masing (selepas ini MBSA difahanmkan akan membawa hampir 40 orang kakitangannya ke Eropah untuk lawatan sambil belajar kononnya).
Kita dapat melihatkan dalam setengah-setengah PBT tiang-tiang lampu ditukar sekerap mungkin, dari satu design ke satu design. Bulatan-bulatan dihias dan dirombak untuk hiasan baru hingga dua kali setahun. Kerja-kerja lanskap berterus-terusan dilakukan sedangkan sampah-sarap, dan jalan serta lorong-lorong tidak diturap dan dipelihara. Longkong-longkang tersumbat tetapi PBT berbelanja untuk hiasan taman, air pancut dan waterfall.
Dan jangan kita lupa pula PBT yang bersekongkol dengan pusat-pusat maksiat sehingga berpuluh kali diserbu polis pun pusat-pusat ini masih beroperasi di bawah dagu PBT berkenaan.
Saya rasa segala ini adalah bukti ketidakcekapan MB dalam menjalankan tugasnya sebagai Ketua Eksekutif Negeri. Kalau MAS yang hampir terhempas itu mahu diselamatkan dengan mengantikan kepala nombor satunya maka saya rasakan Selangor juga sudah mula perlu menimbangkan hal ini.
Dari Khir sibuk dengan tugas belia di MBM, sibuk dengan krisis GPMS, lebih baik beliau tumpukan sahaja pada kerja-kerja memperkasakan tugasnya sebagai MB. Atau memang mungkin Khir hanya layak sebagai Ketua Belia dan bukan Ketua Eksekutif Negeri?
No comments:
Post a Comment