Monday, October 03, 2005

Selamat menyambut Ramadhan al Mubarak

Alhamdulillah umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa di bulan Ramadhan bermula pada hari Rabu ini. Allah swt berfirman dalam surah al Baqarah 185:

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.


Dalam siaran TV saluran Al Jazeera sebentar tadi Sheikh Dr Yusof al Qardhawi menjelaskan bahawa pada bulan Ramadhan umat Islam sepatutnya mengambil kesempatan berlumba-lumba mengumpulkan bekalan akhirat melalui pelbagai aktiviti ibadah yang dilipat gandakan oleh Allah swt ganjaran pahalanya.

Kata beliau lagi, peniaga-peniagan di dunia akan sentiasa mencari dan mengejar keuntungan begitu jugalah peniaga-peniaga akhirat, sepatutnya di bulan Ramadhan ini mencari dan mengejar pahala untuk kegunaan di hari kemudian.

Ulamak besar itu turut menganjurkan agar di bulan mulia ini umat Islam bukan sekadar memperbanyakkan bacaan al Quran tetapi turut berusaha memahami maksudnya dan sudah pastilah lebih penting lagi melaksanakan kandungannya.

Mudah-mudahan Ramadhan kali ini untuk kita menjadi lebih baik dari Ramadhan yang lalu.



Sementara itu sebahagian besar penduduk dunia khususnya di Semenanjung Iberia (termasuk Sepanyol, Portugal) dan negara-negara di utara Afrika berpeluang menyaksikan gerhana bulan penuh, sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak 200 tahun lalu. Menurut CNN bulan hampir-hampir menyelubungi keseluruhan bola matahari laksana sekeping pinggan hitam yang dilingkari cahaya.

Kebetulan dengan kuasa Allah fenomena alam ini berlaku disaat umat islam seluruh dunia menyambut kedatangan bulan Ramdhan yang penuh barakah itu.

Selamat menjalani ibadah puasa Ramadhan, insyallah.

No comments: