Tuesday, October 25, 2005

Selangor Maju: Mana pergi duit zakat?

Masjid Darul Ehsan Subang Jaya sememangnya sebuah masjid yang penuh kontroversi. Masjid yang satu ketika dahulu penuh makmur itu pada hari ini telah diambil-alih oleh pihak kerajaan negeri Selangor melalui JAIS.

Di masjid inilah satu ketika dahulu kuasa anggota jawatankuasa masjid yang dipilih oleh ahli kariah secara syura telah dirampas oleh JAIS. JAIS telah memecat imam-imam lantikan kariah dan kini mengambil-alih sepenuhnya pentadbiran masjid ini dengan melantik imam dan pegawai masjid mereka sendiri.

Malah bagi pengunjung yang biasa ke masjid ini akan dapat menyaksikan antara satu-satunya kesan terbesar pengambil-alihan JAIS itu adalah pada menara dan kubah masjid ini. Satu ketika dahulu kubah dan menara masjid ini berwarna hijau, tetapi hari ini ianya telah bertukar wajah menjadi emas kekuning-kuningan. Untuk rekod kubah dan menara masjid itu ditukar menjadi warna hijau ketika masjid itu dipengerusikan oleh Dato Muhammad Jamrah, bekas SU Parlimen dan bekas ahli Parlimen Bagan Datuk (yang masih Umno sehingga hari ini).

Sebentar tadi ketika menunaikan solat isyak dan tarawih di masjid tersebut, imam lantikan JAIS telah membuat pengumuman. Antara lain beliau merayu agar para jemaah menghulurkan sumbangan bagi membiayai fakir-miskin, terutama ibu-ibu tunggal yang berpusu-pusu membuat rayuan bantuan kewangan ke masjid tersebut.

Baguslah kita membantu dan menolong sesama saudara kita terutama di bulan Ramadhan yang mulia ini. Cuma saya berasa sedikit terkilan, mengapa fakir-miskin dan ibu-ibu tunggal ini sampai perlu menggemis dan merayu ke masjid-masjid? Sedangkan beberapa hari lalu BERNAMA melaporkan yang MB Selangor Khir Toyo mengumumkan bahawa kutipan zakat bagi tahun ini sekitar RM120 juta dan dijangka meningkat ke RM200 juta beberapa tahun lagi!

Mana pergi duit zakat yang banyak itu? Mengapa masih ada fakir-miskin yang tidak terurus di negeri ini sehingga perlu meminta-minta dari masjid ke masjid? Mana pergi Puzat Zakat Selangor, JAIS dan lain-lain yang bertanggungjawab. Selangor kan dah maju, takkan fakir-miskin sehingga tak terurus?

Mudah-mudahan kesusahan mereka akan segera terbela.

No comments: